Monday, 29 April 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 5


   






      Jam di dinding kamarnya sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Haikal memejamkan matanya sekejap lalu celik semula. Matanya terkebil-kebil memandang siling bilik. Badannya sangat letih. Sudahlah tadi pulang lewat ke rumah. Rasanya memang dia tak mengantuk lagi tetapi masalahnya esok dia perlukan tumpuan dan persediaan yang secukupnya untuk membentangkan pelan bangunan muzium yang diarahkan oleh ketuanya pada bulan yang lalu. Kepalanya amat sarat dengan pelbagai projek yang perlu disiapkan dalam masa beberapa bulan ini. Selepas kejayaan pertamanya menyiapkan projek pusat perniagaan di Subang Jaya tahun lepas, Haikal mula menjadi harapan ketuanya untuk memberikan kejayaan yang sama kepada syarikat. Kini, dia menggalas tanggungjawab untuk menjayakan pembinaan muzium di Melaka pula. Belum sempat dia menyiapkan lukisan pelan muzium tersebut, dia sudah diarahkan untuk memegang projek pembinaan pasar raya di Kuala Lumpur pula. Serabut!


     Haikal bangun dan berjalan ke arah jendela yang terletak di sisi katilnya. Pintu jendela tersebut ditolak perlahan. Dingin malam serta-merta menyentuh kulit wajahnya. Sejuk. Didongakkan kepalanya ke arah langit. Kepekatan malam memang sangat mendamaikan! Bulan purnama dipandangnya lama. Tenang sekali rasa hati. Hilang segala kekusutan yang merosot dalam kepalanya.


     “Kau ni, datang melepak rumah aku pulak! Nek Milah tak marah ke? Pukul 9 dah ni.” Qaisara duduk di kerusi batu di laman rumahnya. Baru saja dia keluar rumah tadi untuk menghantar minuman kepada abang-abangnya dia sudah nampak Haikal sedang berbual-bual dengan Amsyar dan Akif yang hendak mencuci kereta masing-masing di halaman rumah.


     “Kalau kau nak tahu, Nek Milah tu lah yang menyuruh aku datang ke sini. Katanya kau selalu kena buli dengan abang-abang kau. Jadi, dia kirimkan kau hero ini!” Jawab Haikal sambil mendabik dada. Dia tersenyum bangga lalu duduk di sebelah Qaisara.


     “Kau nak jadi hero? Selalunya dengan kau-kau sekali kena belasah dengan abang-abang aku! Untungnya hari ini Angah dengan Achik sibuk luangkan masa membersihkan isteri-isteri mereka.” Qaisara memandang sekilas ke arah abang-abangnya. Sayang sungguh dengan kereta mereka! Tiap-tiap hari dimandikan!


    “Aku bosan kat rumah tu. Kau tahu ajelah aku tinggal berdua dengan nenek aje. Kalau bukan sebab abang-abang kau bagi mandi bini-bini mereka tak adanya aku sampai sini. Karang berdua-duaan dengan kau kena tangkap basah pulak!” Tinggal berdua dengan neneknya memang sangat membosankan. Kalau dapat bersembang dengan nenek memanglah seronok tetapi nenek selalu tidur awal. Lepas solat isya' berjemaah terus nenek masuk bilik. Aku yang muda belia ini yang termangu-mangu depan tv menonton cerita yang entah apa-apa.


     “Kau ingat aku nak ke kawin dengan kau? Baik aku kawin dengan Man Skema lagi daripada kau.”


     “Amin!”


  “Haikal!” Bulat mata Qaisara memandang Haikal. Segera dia mencapai dulang minuman lalu dipukul-pukul bahu lelaki itu beberapa kali.


    “Kau yang nak, kan? Aku aminkan ajelah. Doa seorang sahabat sejati senang dimakbulkan, tahu!” Haikal menggosok-gosok bahu kanannya yang terasa sengal. Minah ni memang brutal!


    “Aku sebenarnya nak ucapkan terima kasih kat kau,” kata Qaisara sambil matanya meliar-liar mencari kelibat sang bulan. Dia tersenyum senang hati apabila matanya sudah dapat menangkap kehadiran bulan purnama pada malam itu.


     “Kenapa?” Haikal memandang wajah Qaisara. Comel betul budak ni. Benarlah kata rakan-rakannya di sekolah, dia beruntung kerana rapat dengan Qaisara sedangkan ramai lelaki yang hanya boleh melihat Qaisara dari jauh saja. Tetapi bukan itu yang dibanggakan. Dia ikhlas berkawan dengan Qaisara.


    “Sebab kau susah-payah belikan kek dengan hadiah-hadiah tu. Kalau nak harapkan Lina memang dia boleh tolong kau bawakkan kotak hadiah itu ajelah. Entah-entah birthday aku pun dia tak ingat!”


     “Sama-sama. Sebenarnya itu semua separuh daripada agenda aku nak pujuk kau supaya kau tak marahkan kami kerana kejadian kau kena berdepan dengan Firas seorang diri hari tu. Mulanya aku nak buat surprise kat kau pagi tadi kat sekolah tapi kau pulak yang tak datang. peninglah konon!” Haikal tersengih. Memang dia tak sanggup biarkan Qaisara marahkan dia dan Alina lama-lama.


   “Aku tak kisah. Janji kau ingat birthday aku. Tapi pagi tadi memang aku pening, okey!”


       Haikal diam. Mana mungkin dia lupa akan tarikh itu.


   “Aku suka tengok bulan mengambang,” kata Qaisara tiba-tiba. Matanya masih lagi terpesona dengan kecantikan bulan purnama di langit.


     “Kenapa?”


    “Sebab bila aku tengok bulan, aku jadi lupa pada semua masalah aku. Hati aku tenang.”


     “Jadi, kau tengoklah bulan bila kau rindu aku.” Mata Haikal turut memandang bulan yang sama. Kedua-dua tangannya diletakkan ke belakang kepala.


     “Kenapa?” Qaisara membalikkan soalan yang sama kepada Haikal.


     “Sebab muka aku kan boleh menenangkan hati orang lain,” balas Haikal tersenyum geli hati.


    “Perasan!” Laung Qaisara lalu memukul peha Haikal dengan dulang minuman yang tadi. Muka macam kerang terlebih busuk ada hati nak kita rasa tenang ingatkan muka dia!


    “Hoi, seronok bercinta?!” Serentak Qaisara dan Haikal menoleh ke arah suara yang menyapa mereka itu. Belum sempat mereka menjawab apa-apa, wajah mereka berdua sudah disiram air. Habis lencun satu badan!


     Qaisara bangun lalu mengejar Akif. Tak guna punya abang! Haikal masih tidak berganjak. Indah sungguh rasa hati ini. Senyuman bahagia terukir di bibirnya.


   “Hoi, main kasar nampak! Tak mainlah siram-siram orang!” Qaisara mendekati Akif lalu getah air direbutnya. Akif tidak pula melarikan diri. Seronok bergurau-senda dengan adiknya itu.


     “Barulah namanya tangkap basah!” Akif ketawa terbahak-bahak. Amsyar yang sedang mencuci tayar keretanya menjengukkan kepala. Entah apa-apalah dua beradik itu. Nasib baik Qaisara tidak berlari ke arahnya, kalau tidak pasti dia pun basah!


     Laungan lagu ‘Daylight’ nyanyian Maroon 5 dari telefon pintarnya mengembalikan Haikal ke alam realiti. Pintu jendela kembali ditutupnya. Nasib baik sempat tersedar dari mengimbau kisah-kisah lalu. Kalau tidak, mahu sampai ke esok aku berangan!



    Nama pemanggil di skrin telefonnya dibaca. ‘Baby Eryna.’ Dia tersenyum sendiri.


     ”Helo, baby!” Haikal menyapa si pemanggil dengan mesra.


    “Hai, abang sayang. Still awake?” Suara wanita itu kedengaran sangat gembira. Mungkin ada sesuatu yang ingin dikongsikan bersama-sama.


     “Yup. I can’t sleep.”



     “Thinking of me?”


     “Wait for me, will ya?”



    “No lah!” Semakin lebar senyuman Haikal mendengarkan soalan itu.


     “Really? Abang?”


     "Well, baby. Even though I try to deny it, at the end of the day, you're still on my mind,” ungkap Haikal dengan senyuman yang masih bersisa.


   “Haha, gotcha! Abang, I’ll be with you next month.” Selain daripada memandang bulan purnama pada malam hari, mendengar ilai tawa wanita yang bernama Delisha Eryna itu turut dapat menenangkan hatinya.


     “What do you mean, baby?”


     “Of course I will. Forever I will.”


    “Abang, I gotta go! Assalamualaikum. Always love you.” Talian dimatikan. Haikal masih tersenyum sambil memandang gambar Eryna memeluk lengannya yang menjadi wallpaper telefon pintarnya.


    Memandang lama skrin telefon pintarnya membuatkan Haikal tersedar yang jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Bila aku nak terlelap ni?! Kalau ada bini kan senang, mesti tiap-tiap hari dapat tidur awal. Segera dipeluknya bantal panjang dan dipejamkan matanya rapat-rapat. Paksa tidur namanya ini!




Saturday, 27 April 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 4


     






    “Sara, ayah bawa masuk beg kamu dulu, ya”, sapaan ayah menghentikan lamunan Qaisara. Sedar-sedar saja kereta yang dinaiki oleh Qaisara dan Encik Mohd Kamal sudah berada di hadapan banglo dua tingkat itu. Zaman persekolahan memang terlalu indah untuk dikenang. Tak akan habis pun mengelamun kalau ia berkaitan dengan zaman remaja. Sekejap sungguh masa berlalu! Rindunya zaman sekolah. Rindu Alina! Rindu Haikal! Kalau di UK dulu ada juga dia berhubung dengan Alina melalui Skype. Tetapi dia tidak ada langsung berhubung dengan Haikal. Apa yang dia tahu, Alina sudah berpindah ke Melaka jadi Alina dan Haikal juga sudah terputus hubungan.


    Qaisara menganggukkan kepala seraya meloloskan diri daripada perut kereta. Rumah banglo bercat biru langit milik keluarganya dipandang sekilas. Masih sama seperti dulu. Tiada apa yang berubah. Matanya terarah pula ke sebuah rumah teres yang terletak bertentangan dengan kediamannya. Entah mengapa hatinya terdorong untuk pergi melihat-lihat rumah itu. 


  “Assalamualaikum,” Qaisara memberikan salam. Sunyi aje rumahnya. Tak ada orang ke? Tapi pintu pagar tak berkunci. Mesti ada orang ni. Nek Milah tak pernah tinggalkan rumah dalam keadaan tidak berkunci sebegini.


   “Assalamualaikum.” Salam dilontarkan sekali lagi sambil kepalanya terjenguk-jengukkan keadaan di sekeliling rumah itu. Manalah tahu tak ada yang dengar salam aku ni. Qaisara membuat andaian sendiri.


     Pintu rumah itu dipandang lama. Tertutup rapat. Selalunya petang-petang begini Nek Milah mesti sedang menyiram pokok-pokok bunganya. Nek Milah memang sangat rajin orangnya walaupun di usia lanjut. Ada saja yang ingin dikerjakannya setiap hari. Tidak pernah Qaisara melihat Nek Milah duduk menggoyang kaki saja sepanjang mereka berjiran.


    Beberapa ketika kemudian, muncul sebuah kereta Toyota Vios betul-betul di hadapan Qaisara. Ohoi, nak langgar aku ke? Seinci aje lagi nak berlaga lutut aku ni. Elok-elok baru turun kapal terbang kena naik ambulans pulak aku. 


     Qaisara menjeling-jeling ke arah pemandu yang masih membatu dalam kenderaan itu. Jeling pun tak berapa nampak sebab gelap sangat cerminnya. 


   Haikal menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya. Keningnya bertaut. Cantik. Tapi perempuan mana pulak yang jadi model pagar rumah aku ni? Sudahlah berbaju kurung. Nak jual barang, kot?


     Haikal melangkah keluar dari keretanya. Matanya masih tertancap pada seraut wajah cantik di hadapannya itu. Ish, siapa perempuan ini? Nenek ada cucu baru ke? Tapi kalau cucu, kenapa aku tak pernah tengok pun perempuan ni? Kalau cucu mesti dia sepupu aku. 


     Mak oi, tampannya dia! Qaisara terkesima apabila terpandangkan wajah lelaki yang sedang berdiri tegak sambil melonggarkan tali lehernya itu. Langkah kanan betul aku ni. Datang rumah orang terus dapat jamu mata dengan lelaki kachak! Kahkahkah! Gelak jahat aku dalam hati. Ish, zina mata betul!


     “Cik cari siapa, ya?” Haikal memulakan bicara. Kalau dari tadi dok ‘kau pandang aku, aku pandang kau’, sampai esok pun aku tak dapat masuk rumah! Sudahlah penat gila hari ni. Projek lama tak siap lagi, hari ni dah dapat projek baru. Bos pun kalau boleh semua projek nak aku yang buat. Tahulah rezeki, tapi berbahagilah dengan orang lain jugak. Gumam Haikal dalam hati.


     Haikal merupakan seorang arkitek muda di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Cita-cita asalnya hendak menjadi jurutera mekanikal tetapi tawaran untuk menyambung pelajaran dalam bidang seni bina pula yang dia dapat. Rezeki manusia memang tidak dapat dijangka. 


   “Er.. Tak ada cari siapa pun sebenarnya. Encik ni siapa?”Tergagap-gagap Qaisara menjawab. Tetapi sungguh dia tidak mengenali lelaki ini. Nek Milah ada cucu baru ke? Tak mungkin lelaki ini adalah Khalis Haikal. Lain benar mukanya. Haikal selekeh orangnya. Tetapi lelaki ini sangat kemas dan.... kachak! Kulit wajahnya bersih tanpa sebutir jerawat atau segaris parut pun. Kemas berkemeja putih bersih dengan lengan tangan disinsing hingga ke siku, cuma rambutnya saja yang sudah kusut-masai. Tensyen dengan kerja, mungkin.


    Setelah mendengarkan jawapan yang keluar dari mulut gadis itu, Haikal terus membuka pintu pagar rumahnya. Buang masa betul layan perempuan ni. Sudahlah mata aku nampak bantal aje sekarang ni! Boleh dia tanya aku siapa. Sah-sahlah aku tuan rumah ni. Hesy!


     “Boleh tepi sikit? Kalau agak nak berdiri situ sampai esok, tolong tutupkan pintu pagar sekali, ya.”


    Tercengang Qaisara mendengarkan ayat yang baru saja keluar daripada mulut lelaki itu. Arahan ke menghalau tu? Harap muka saja kacak tapi mulut boleh tahan juga. Nasib baik sekarang aku dah ayu. Kalau tidak, mahu aku siku jugak mamat ni!


    Haikal segera memarkirkan keretanya di garaj lalu masuk ke dalam rumah tanpa mengendahkan gadis cantik yang masih lagi sedang berdiri tegak di hadapan pintu pagar. Betullah, perempuan tu model pagar rumah aku.


     “Macam itu punya manusia pun ada ke? Boleh dia tinggalkan aku sorang-sorang macam ni,” bebel Qaisara seorang diri. Bengang!


********


     “Ibu dengan ayah dah berbincang sebelum Sara balik lagi. Kami nak adakan kenduri kesyukuran lusa. Yalah, sebab Sara kan dah habis belajar. Selamat sampai sini dah pun,” beritahu Puan Aminah kepada Qaisara semasa mereka sekeluarga sedang makan malam. Gembira sungguh hatinya apabila satu-satunya anak gadis dalam keluarga itu sudah berada di hadapan mata.


     Qaisara memandang setiap wajah yang mengelilingi meja makan panjang itu. Dah besar abang-abang aku semuanya, ya. Tapi kahwinnya, belum! 


    “Kami semua dah ambil cuti,” kata Amsyar sambil tersenyum riang. Seronok benar dia apabila diberitahu oleh ayah yang adik perempuan kesayangannya akan balik bercuti untuk selama-lamanya pada bulan lepas. Geng dah balik!


   “Jangan nak tunda atau batalkan pulak kenduri tu. Along bukannya kerja dekat-dekat.” Aryan memberikan amaran. Adik bongsunya itu bukan boleh harap sangat! Kalau dia tak setuju boleh saja dia batalkan kenduri kesyukuran itu. Sudahlah dia terbang jauh dari India semata-mata mahu menyambut kepulangan Qaisara.


     Aryan kini bertugas sebagai seorang doktor di sebuah hospital di India. Puas Puan Aminah memujuknya untuk bekerja di Malaysia namun dia enggan. Katanya, dia sudah jatuh cinta dengan India. Entah jatuh cinta dengan India ke orang yang tinggal di India tu. Kalau cantik macam Preity Zinta okeylah jugak!


   “Amboi, beramaran siap! Achik, tolonglah bela Sara. Kata peguam yang profesional sangat!” Qaisara buat muka kesian. Sengaja dia mahu bergurau dengan abang-abangnya itu. Lama tak jumpa, rindu!


     “Eh, achik tak campur!” Kata Akif sambil kepalanya menggeleng laju.


     “Sara tak nak buat kenduri tu ke?” Soal ayah pula. Berkerut-kerut dahinya. Disangkakannya Qaisara akan setuju dengan hal itu. 


     “Bukanlah. Saja aje. Boleh aje nak buat kenduri pun. Tak kisah. Kita pun dah ada kakitangan, kan?” Qaisara tesengih sambil menjungkit-jungkitkan keningnya kepada abang-abangnya. Masa inilah nak kerah tenaga bala tentera bertiga ni!


     “Ayah, lusa achik ada appointment dengan client baru kita, kan?” Akif bersuara lagi. Malas betul kalau kena kemas rumah!


     “Eh, sejak bila pulak kamu ada client baru? Yang lama pun tak settle-settle lagi,” tungkas Encik Mohd Kamal lalu menyuapkan nasi ke mulut. Anak lelakinya yang satu itu memang banyak akal! 


     Puan Aminah menggeleng-gelengkan kepala. Perangai anak-anak memang semua ada di hujung jarinya saja!


    “Sampai hati achik tak nak menyumbangkan tenaga untuk majlis Sara. Sudahlah, tak ada selera dah nak makan,” luah Qaisara sambil menolak kerusinya ke belakang dengan kasar.


     “Eh, achik gurau aje! Achik janji akan tolong dari pagi sampai ke malam!” Akif sudah kalut. Dilambai-lambaikan tangan kirinya, menyuruh adiknya itu kembali duduk. Dia faham sangat kalau Qaisara sudah terasa hati, macam-macam perangai pelik yang akan keluar nanti. Lebih baik dia mengalah dulu.


     Qaisara tak jadi bangun. Wajahnya masih mencuka. Dikuis-kuis nasi yang masih berbaki dalam pinggannya.


     “Sara pun gurau jugak! Tapi achik dah janji, tahu!” Senyuman manis kembali menyinari wajahnya. Menjadi jugak dia kenakan achik!


       Akif menarik nafas lega. Nasib baik budak kecik ni tak merajuk!


   “Kalau macam tu, esok kita pergi beli barang-barang untuk kenduri,” ajak Puan Aminah yang sedari tadi mendiamkan diri. Sebenarnya dia rindu mahu menonton gelagat anak-anaknya. Sudahlah jarang benar mereka sekeluarga dapat berkumpul seperti hari itu. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. 


     “Okey, kali ini achik betul-betul tak boleh join. Sebab achik ada appointment dengan client lama achik tu. Nak settlekan kes dia. Tapi achik janji hari kenduri tu achik tolong dari pagi sampai malam,” beritahu Akif dengan panjang lebar. Tangan kirinya diangkat selaras dengan telinga seperti sedang mengangkat sumpah. 


   “Ayah pun tak boleh join. Tapi ayah akan tanggung semua perbelanjaan.”   


   “Jangan risau. Dua orang anak lelaki yang macho ada di sini, sedia membantu!” Kata Aryan dengan bersemangat. Tangan kirinya digenggam lalu diangkat berkali-kali. Bersemangatlah sangat!


     “Wonderpet, kami datang!” 


     Semua mata terarah pada suara garau itu. Mahu tersembul biji mata masing-masing apabila melihat wajah Amsyar yang tersenyum girang. 


     Qaisara menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali. Abang aku ke ni? Kenapa perangai macam ni? Jurutera apa macam ni? Umur serupa bapak orang dah masih lagi berperangai keanak-anakan. Tetapi perangai itulah yang dirinduinya. Dia rindukan semua orang! 




Wednesday, 20 February 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 3







     ‘Kringgg! Kringgg! Kringgg!’ Bunyi deringan jam loceng yang elok terletak di atas meja kecil bersebelahan katil menyedarkan Qaisara dari lenanya. Jam loceng berbentuk bola itu segera dimatikan suis penggeranya. Matanya masih tertutup rapat. Seketika kemudian kedengaran pula bunyi ketukan yang bertalu-talu pada pintu biliknya. Qaisara menarik nafas dalam. Matanya cuba dibuka dengan perlahan-lahan. Pening!




   “Ya! Ya! Qaisara dah bangunlah!” Laung Qaisara kepada si pengetuk pintu yang pastinya adalah ibunya itu. Setelah suara comel itu kedengaran, barulah bunyi ketukan berhenti. Memang setiap pagi ibu yang akan mengetuk pintu bilik untuk mengejutkannya solat subuh. Bukan boleh harap sangat kalau mahu dia yang bangun sendiri. Subuh gajah jadinya nanti.


     Tubuh kecil molek itu segera bangun dari perbaringan. Matanya ditenyeh-tenyeh dengan tangan beberapa kali. Kepalanya yang pusing dipicit-picit. Inilah akibatnya apabila berjaga hingga pukul 5.00 pagi semata-mata kerana ingin menghabiskan pembacaan sebuah novel. Pada hari sekolah pulak tu! Qaisara memalingkan wajahnya ke arah jam loceng. Jarum jam menunjukkan pukul 6.40 pagi. Biar betul? Aku dah lambat!


     Qaisara cuba bangun untuk menuju ke bilik air yang terletak di hujung biliknya. Bilik sederhana besar itu memang telah diubahsuai dengan menempatkan sebuah bilik air di dalamnya. Alasan ayah berbuat sedemikian mudah saja. Kata ayah ia adalah kerana Qaisara satu-satunya anak perempuan dalam rumah itu dan Qaisara akan mudah berulang-alik ke bilik air terutamanya ketika ingin mandi dengan adanya ruangan itu di dalam bilik sendiri.


     Yalah, abang-abangnya pun sudah besar-besar belaka. Dah boleh menikah pun. Abang sulungnya, Aryan yang merupakan seorang bakal doktor. Jarak umur sebanyak 6 tahun menyebabkan Qaisara tidak begitu rapat dengan Aryan. Lagipun, Aryan tidak banyak menghabiskan masa  di Malaysia kerana dia merupakan pelajar perubatan di India. Dia cuma pulang ke Malaysia sekali-sekala saja. Tetapi mereka tetap selalu berhubung melalui e-mail dan Skype. Amsyar pula merupakan anak kedua daripada empat beradik itu. Dia berumur 21 tahun dan merupakan pelajar jurusan kejuruteraan di Universiti Malaya. Qaisara sangat rapat dengan Amsyar kerana Amsyar merupakan seorang abang yang sangat memahami berbanding abang-abangnya yang lain. Segala masalah yang dihadapi oleh Qaisara pastinya akan diluahkan kepada Amsyar. Di bahu itulah dia akan menangis kerana kesalkan sesuatu. Bibir itu jugalah yang pertama akan tersenyum mendengar cerita-cerita manis Qaisara. Abang terakhirnya pula bernama Akif. Qaisara muda setahun daripada achiknya itu. Akif merupakan siswa jurusan undang-undang di UiTM Shah Alam. Qaisara menganggap Akif sebagai teman sepermainannya saja kerana abangnya yang itu sangat tidak boleh diharap untuk menyimpan rahsia. Ada saja yang akan dibongkarkan kepada ayah dan ibu.


     “Eh, tak siap lagi? Pukul berapa dah ni?” Ayah menyapa setelah menolak daun pintu bilik Qaisara. Qaisara masih berpakaian pijamanya yang berilustrasikan karakter-karakter dalam filem Cars. Qaisara memandang ayahnya yang segak berkemeja hitam itu. Walaupun sudah berusia 45 tahun, ayah masih tampak seperti lelaki berusia 35 tahun. Masih segak bergaya lagi. Sudah mahu berangkat ke pejabat, mungkin. Encik Mohd Kamal merupakan seorang peguam yang sudah mempunyai firma guamannya sendiri. Malahan, dialah yang menggesa Akif untuk memilih bidang undang-undang di universiti. Risau pula tiada pewaris firma yang sudah diusahakannya hampir 20 tahun itu.


     “Tak sihatlah, ayah. Pening,” adu Qaisara sambil tangan kanannya tidak henti-henti memicit kepalanya yang berdenyut. Sungguh kepalanya tersangatlah pening! Bukan alasan tidak mahu ke sekolah. Dia sangat mahu menghadirkan diri ke sekolah kerana hari yang bertanggal 10 Oktober itu merupakan tarikh hari lahirnya yang ke-17 tahun. Dia mahu mengerah Haikal dan Alina untuk menaja makan tengah harinya di kantin hari itu. Lagipun dia mahu merajuk dengan dua orang kawan baiknya itu kerana hal semalam. Sungguh keji niatnya.


   Ayah segera masuk  ke dalam bilik bercat biru muda itu. Briefcasenya diletakkan di atas katil. Dahi Qaisara segera disentuhkan dengan belakang telapak tangan. Tak panas pun. Keningnya dijungkitkan. Budak ni betul-betul ke ni?


     “Qai tak demam, ayah. Qai pening aje sebab semalam tak cukup tidur. Semalam tidur pukul 5.00 pagi,” cerita Qaisara dengan jujur. Sungguh kali ini bukan akalnya untuk ponteng sekolah!


     “Tidur lambat kenapa? Study?” Tegas saja suara ayah menyoal. Masih tidak percaya dengan alasan yang baru diberikan oleh si anak dara.


     “Kalau Qai cakap ni mesti ayah marah punya. Qai habiskan baca novel,” jawab Qaisara takut-takut. Sungguh alasannya tidak akan diterima oleh sesiapa pun. Tetapi, sudah itu giannya. Kalau tidak dihabiskan semalam pastinya hari ini dia tidak akan boleh hidup tenang. Asyik terfikirkan pengakhiran kisah cinta dalam novel itu saja.


     Ayah menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali. Sudah banyak kali Qaisara diingatkan supaya jangan membaca novel cinta buat masa sekarang. Bukannya apa, dibimbangi prestasi pelajaran Qaisara akan merosot saja. Lagipun, Qaisara bakal menduduki peperiksaan yang besar pada penghujung tahun ini. Anak gadisnya itu perlukan persediaan yang secukupnya untuk menentukan arah tuju kehidupan selepas alam persekolahan.


     “Ini kali terakhir ayah benarkan Qaisara membaca novel. Lepas ni jangan lagi nak pegang novel. Ayah tak reda kalau Qaisara buat macam tu. Ingat, Qaisara perlu fokus dalam kelas. Masa membaca novel itukan boleh dijadikan masa mengulang kaji pelajaran. Guna masa yang ada dengan betul. Kalau pening sangat ayah benarkan Qaisara tak ke sekolah tapi cuma hari ini.” Panjang lebar ayah menasihati Qaisara. Itulah tanda kasih seorang ayah kepada anaknya.


     Qaisara tertunduk sepi. Sedih dimarahi ayah. Itulah, perkara yang dilarang nak jugak buat. Kan dah kena bebel. Namun, kata-kata ayah memang ada benarnya.


    “Ayah nak berangkat dah. Selamat hari lahir, Airis Qaisara. Jangan ingat ayah lupa,” ucap ayah lalu menghulurkan tangan. Qaisara pantas saja manyambut huluran tangan ayahnya itu. Dahi Qaisara dicium lembut oleh si ayah. Ingat jugak ayah dengan hari lahir aku. Marah-marah ayah pun mahu lagi dia ucapkan selamat hari lahir kat aku. Tapi aku memang tengah tak ada mood sekarang ni. Kepala pening sangat. Bukan pening-pening lalat okey! Nak tidur!


  “Terima kasih, ayah.” Qaisara cuba juga untuk tersenyum walaupun kepala dirasakan semakin berdenyut kuat. Ayah membalas senyuman Qaisara. Wajah ayah dipandang lama. Kacak betul ayah. Rambut pun masih hitam berkilat. Jarang kelihatan uban di atas kepala. Macam muda-mudi aje.


     Lelaki separuh umur itu segera beredar dari bilik anak daranya. Anak-anak remaja memang fiilnya lain sikit. Tak larat nak nasihat, degil aje semuanya. Baik daripada abang sampai turun ke adik! Yang dulu anak sulungnya keras kepala betul nak ikut bertanding jugak dalam pertandingan skate board walaupun tengah demam. Dah kalau memang hobi, kan.


     Qaisara merebahkan tubuh kecil moleknya di atas tilam empuk bercadarkan corak kartun Toy’s Story. Perlahan-lahan dia cuba memejamkan matanya. Nasib baik hari ni ABC.


     ABC tu apa? Allah Bagi Cuti. Istilah itu pun dia dapat daripada Haikal. Ada suatu hari tu, dia bersama-sama dengan Haikal dan Alina sengaja pulang lewat ke rumah untuk study group di kantin sekolah. Haikal yang sememangnya cerdik dan bijaksana dalam subjek Fizik dan Matematik Tambahan memang selalu dikerahkan tenaganya untuk mengajar dua orang teman baiknya itu. Tepat jarum jam menunjukkan pukul 5 petang, tiga sekawan itu pun segera bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Qaisara yang tidak sabar-sabar untuk pulang ke rumah lantas bangun dengan gembiranya. Baru saja dia mahu mengatur langkah ke arah kereta ayahnya, suara Haikal terus menegurnya.


     “Qai, kau ABC ke?”


   Qaisara lantas menoleh ke arah Haikal yang sedang duduk mengemas buku-buku di belakangnya. Alina di sebelah Haikal dipandangnya sekilas. Macam mana dia tahu aku tengah teringin nak makan ABC ni?


     “ABC? Aku memang tengah tak sabar nak balik sebab aku nak ajak ayah singgah beli ABC dulu. Macam mana kau tahu?” Qaisara memandang Haikal yang sedang tersengih-sengih macam siput lala busuk. Pelik aku dengan mamat ni. Alina pun dah kerut seribu dahi dia. Buruk benar.


     “Maksud aku kau tengah Allah Bagi Cuti ke?” Makin panjang pulak sengihan Haikal ni. Macam nak mencecah ke telinga aje. Gusi dia pun aku dah nampak. Entah dari manalah Haikal dapat istilah itu. Buat malu kaum perempuan aje!


   “Hah?!” Qaisara terus terjerit kecil. Bocor ke? Dia nampak ke?! Argh, malunya! Nak sorok mana muka aku ni? Malu! Malu!


   Seminggu Qaisara cuba mengelak daripada berjumpa Haikal. Diheretnya Alina bersama-sama memboikot Haikal hanya kerana dia malu untuk bersemuka dengan lelaki itu setelah ‘Peristiwa Petang Berdarah’ itu. Tapi kalau sudah berkawan baik, hendak lari ke hujung dunia pun tak akan pernah boleh. Sejauh mana berenggang pun pasti akan bergelak ketawa dan menangis bersama. Kalau sudah namanya kawan sejati.


**********


     “Lina, Qai mana?” Soal Haikal apabila hanya Alina yang kelihatan menghampirinya yang sedang duduk mengunyah roti berkrim jagung kesukaannya itu. Alina ambil tempat duduk berhadapan dengan Haikal. Bekal nasi lemak dibukakan kertas balutannya.


     “Qai tak datang pulak hari ni. Entah kenapalah dengan minah tu,” jawab Alina lalu menyuap nasi lemak berlauk ikan kering ke dalam mulutnya. Hilang moodnya untuk hari itu kerana Qaisara tidak hadir ke sekolah.


     “Lah, kenapa tak datang pulak?” Soal Haikal tidak puas hati. Satu geng kalau tak cukup sorang memang tak lengkaplah geng tu.


      “Kau ni, tolong imbas semula ayat aku yang tadi.”


     “Sorry.” Haikal tersengih sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Budak Alina ni kalau dah tak ada Qaisara memang moodnya tak menantu. Kembar siamlah katakan. Nanti tak pasal-pasal aku yang kena sembur.


    “Lina, petang nanti kau jangan lupa datang rumah aku pulak. Nanti aku call Qaisara. Korang kan kata nak aku ajarkan Add Math cover chapter Form 4 punya. Petang ni jangan lupa pulak. Sementara aku tengah tak sibuk ni,” sambung Haikal lagi. Dia memang sangat mengambil berat akan pelajaran kedua-dua orang kawan baiknya itu.


     “Okey. Pukul 4 aku sampai kat rumah kau,” sahut Alina sambil melipat kertas pembalut nasi lemak. Sengaja dia membawa dua bungkus nasi lemak untuk diberikan kepada Qaisara supaya Qaisara tidak marahkannya tentang hal semalam. Tetapi dia yang hampa apabila batang hidung Qaisara tidak kelihatan langsung pada hari itu. Pokemon betul Qaisara ni!




Monday, 4 February 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 2





     “Dia bergaya, kan? Tampan. Dialah jejaka yang paling handsome kat sekolah kita ni,” kata Qaisara sambil memejam-mejamkan matanya. Membayangkan wajah lelaki yang sedang diperkatakannya. Kalaulah aku dapat berkawan dengan kau, akan aku buat kau tersenyum sepanjang hari. Tak adalah masam aje muka kau yang kacak tu. Tapi kalau aku dapat berkasih-kasihan dengan kau, akan aku bahagiakan hidup kau. Mengada sungguh aku ni!



     “Kau cakap pasal aku ke?” Haikal tersengih sambil memandang ke arah gadis kecil molek di hadapannya. Roti berkrim jagung disuap ke dalam mulutnya. Sudah menjadi tabiatnya makan dengan dua orang sahabat baiknya itu di kantin sekolah pada waktu rehat.


     Bukan dia tidak punya kawan lelaki, namun dia lebih selesa bergaul dengan Qaisara dan Alina. Namun dia tetap berkawan dengan yang lain-lain. Tahu sajalah kalau lelaki sama lelaki apa yang akan terjadi. Mesti merapu yang bukan-bukan punya! Lagipun, Haikal bukanlah jenis remaja yang suka merapu tidak tentu hala. Dia ada matlamat yang perlu dicapainya dalam kehidupan.



     “Qaisara ni dah tangkap cintan dengan Firas.” Alina pantas meluahkan kebenarannya untuk didengari oleh Haikal. Dia segera mengambil tempat di sebelah Qaisara. Semangkuk mi kuah diberikan kepada Qaisara. Qaisara pantas mencapai dan disuapnya mi kuah itu dengan penuh kenikmatan. Mi kuah Mak Cik Kantin memang yang terbaik di dunia!



   “Firas Daniyal? Ketua Pengawas yang perasan bagus tu?” Terbuntang mata Haikal mendengarkan nama lelaki itu. Hampir terkeluar balik roti berkrim jagung yang sedang giat dikunyahnya itu. Qaisara minat Firas? Budak tomboi pun ada crush ke? Tapi kenapa mesti Firas Daniyal? Tak ada orang lain ke? Sukar untuk dipercayai sungguh!



     “Hoi, kau jaga-jaga sikit mulut tu! Aku cili kang! Aku yang tak pernah minat sesiapa pun boleh cair tengok si Firas tu. Berkarisma betul.” Matanya segera terbuka luas setelah mendengarkan soalan minta penampar daripada Haikal itu. Perasan bagus ke perasan elok ke aku peduli apa? Aku tetap suka dia. Yang lain tak penting.



     Alina yang baru mencapai sudu mi kuahnya segera buat muka nak muntah. Berkarisma ke? Lembik aje aku tengok. Takat buat muka serius memanjang aku pun boleh. Berkarisma lagi si Haikal ni. Eh?


     Haikal angkat kening sebelah. Macam tak percaya aje si Qaisara budak tomboi Taman Cendekiawan minat seseorang. Dan seseorang itu pulak adalah Firas Daniyal yang selalu ambil namanya setiap pagi akibat datang lewat. Sudahlah dia meluat akan Firas, kini dia baru tahu yang sahabat baiknya sendiri minat budak lelaki itu. Cari orang lainlah, Qaisara oi! 


    Pernah satu hari itu Haikal terlewat bangun pagi untuk ke sekolah. Bila sudah terlewat bangun sudah pastilah sampai ke sekolah pun lewat. Kalau 5 minit tak apa jugak, tapi 20 minit dia lewat! Tiba saja di hadapan pagar sekolah, dua orang pengawas lelaki sudah setia menanti pelajar lewat sepertinya untuk diambil nama. Salah seorang daripada pengawas itu adalah Firas Daniyallah! Haikal pun apa lagi, sengaja dia menunggang laju motosikalnya. Mahu melepasi pengawas-pengawas tersebut. Tergesa-gesa saja dia memarkirkan motosikalnya lalu berlari ke kelas.


    Sangkanya, dia sudah terlepas daripada diambil nama untuk diberikan kepada Guru Disiplin. Tetapi baru 5 minit letak punggung dalam kelasnya, wajah Firas Daniyal sudah terjengul di pintu hadapan kelas 6 Cengkih Atas itu. Terkedu Haikal dibuatnya. Firas lantas mengetuk pintu kelas dan meminta izin daripada Cikgu Azman yang sedang mengajar subjek Pengajian Am untuk berjumpa dengan Haikal. Keluar saja dari kelas, Firas sudah menampakkan senyuman sinis kepada Haikal. Mahu tidak mahu, terpaksa juga Haikal menulis namanya sendiri dan menurunkan tanda tangan di dalam Buku Rekod Pelajar Lewat milik lelaki yang sedang berdiri tegak di hadapannya itu. Sejak itulah Haikal menggelar Firas sebagai budak perasan bagus. Memang betul pun sebenarnya.


     Tiba-tiba seorang lelaki berpakaian baju pengawas berwarna biru muda datang menghampiri meja yang diduduki mereka bertiga. Haikal dan Alina kaget. Qaisara masih menyuap mi kuah ke dalam mulutnya. Sedap sungguh mi kuah Mak Cik Kantin!



     “Abang, meja lain dah penuh. Boleh saya duduk sini?” Firas sudah mula menarik kerusi plastik di sebelah seniornya itu. Wajahnya masih serius seperti biasa. Tidak pernah lelaki berkulit sawo matang itu memperlihatkan segaris senyuman di wajahnya. Ketua Pengawas kenalah bermuka serius dan garang. Barulah pelajar lain hormat!


     “Err, duduklah. Kami pun dah habis makan sebenarnya.” Haikal segera memberikan isyarat bangun kepada Alina yang sedang duduk berhadapan dengannya. Qaisara dah makan tak ingat dunia. Pantas saja Alina menendang kaki Haikal di bawah meja. Giliran Alina pula yang memberi isyarat dengan membeliakkan dua biji matanya seperti berkata ‘duduk ajelah!’. Kalau bangun cepat-cepat karang mamat ni ingat kita tak suka dia pulak. Susah kalau dah berurusan dengan mamat perasan bagus macam ni. Tak pasal aje dapat bala nanti. Bukan boleh harap sangat ni.


     Qaisara yang sedang leka menikmati mi kuahnya masih tidak menyedari situasi itu. Macam mana nak sedar bila dah dapat mi kuah tu kepalanya tidak dipanggung-panggung dari tadi. Suara Firas yang menyapa mereka pun pastinya tidak didengari  oleh Qaisara. Suapan mi kuah yang masih berbaki diteruskan.



     “Firas tu tak adalah buruk sangat. Ada jugak rupa dari kau, Kal.” Qaisara yang masih mengunyah mi bersuara memberikan komen tentang tajuk perbicaraan mereka. Kepalanya masih belum diangkat. Kuah mi dihirupnya penuh kenikmatan. Sebenarnya, perutnya tersangatlah lapar! Pagi tadi dia tidak sempat bersarapan kerana terlewat bangun. Macam mana tak lewat bangun kalau jarum jam sudah menunjukkan ke arah 3 pagi baru dia mahu bergerak ke katil. Leka sangat membaca novel cinta yang baru dipinjamnya daripada Alina dua hari lepas.


     Firas tersentak. Hampir tersembur keluar nasi goreng ayam yang sedang dikunyah dalam mulutnya. Matanya lurus memandang Qaisara yang duduk bertentangan dengannya. Keningnya dijungkit-jungkit. Minta penjelasan.


       Qaisara tepuk dahi. Er, Firas Daniyal? Matilah!



    Haikal buang pandang ke arah lain. Buat tak kenal ajelah si Qaisara ni. Buat malu aku aje. Kalau tak buat hal sehari memang tak sah! Aku yang kena buat muka tembok.


     “Eh, kau siapa? Aku tak kenal kau pun. Sembang dengan siapa? Haikal, kau kenal minah ni tak?” Alina cuit bahu Qaisara. Matanya dikecilkan untuk memberi isyarat amaran kepada sahabat baiknya itu. Harap kau sedarlah, kawanku!


     Qaisara pantas mengangkat muka. Terkejut dengan kata-kata Alina yang baru saja didengarinya itu. Sejurus itu, wajah Firas yang tegang segera menerpa ke dalam matanya. Matanya mencerlung melawan panahan mata Qaisara.  Qaisara teguk air liur. Dia duduk kat depan aku aje? Dia dengar ke? Habislah dia tahu aku minat dia. Nasib baik tak ada kutuk lebih-lebih tadi.


     “Yalah, aku tak kenal pun dia ni. Jomlah, Lina. Dah nak habis waktu rehat ni,” balas Haikal sambil menarik hujung baju Alina. Baru aku fikir nak buat-buat tak kenal si Qaisara ni Alina dah menafsirkannya melalui kata-kata. Bijak sungguh! Haikal segera mengangkat punggung. Isyarat mata yang bermaksud ‘jom’ diberikan kepada Alina.



    Haikal dan Alina segera beredar meninggalkan Qaisara bersendirian dengan Firas. Daripada perlu berhadapan dengan Firas si Ketua Pengawas perasan bagus tu lebih baik mereka larikan diri dulu. Kelas masing-masing dituju. Alina mengatur langkah dengan penuh rasa bersalah yang berkocak dalam dadanya. Tak patut dia tinggalkan Qaisara berhadapan dengan Firas sendirian tadi. Haikal pula rasa nak hentak kepala pada dinding. Buat malu betul budak Qaisara ni.



     Lain pula situasinya di kantin tadi. Qaisara memang sudah menggigil kepala lutut apabila terpandangkan wajah tegang Firas di hadapannya. Segaris senyuman sinis terlukis elok pada wajah lelaki itu. Qaisara gigit bibir. Hatinya menyebut-nyebut nama Haikal dan Alina berulang kali. Tak guna punya kawan boleh lari macam itu aje. Dulu kata senang susah sama-sama. Pirahhhhh!



     “Aku tak marah pun kalau korang tengah kutuk aku tadi. Sekurang-kurangnya aku tahu korang bersembang pasal aku.” Berdesing telinga Qaisara mendengarkan kata-kata yang baru dilontarkan oleh lelaki itu. Benarlah, lelaki berjawatan Ketua Pengawas itu memang perasan bagus. Ingat aku hadap sangat nak bercakap pasal kau? Huh!



    Qaisara diam. Tiada sepatah perkataan pun yang dapat dikeluarkan dari mulutnya. Memang dia mahu membalas setiap butir patah perkataan yang terpacul dari mulut lelaki tinggi lampai itu. Namun, lidahnya kelu. Pertama kali dia berhadapan dengan FIras memang seluruh anggota badannya menjadi beku. Apa yang dia tahu hanyalah perasaan malu kerana terkantoi dalam situasi yang sangat tidak munasabah itu. Kalaulah dia tidak begitu asyik makan. Kalaulah dia sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Kalaulah...


     “Eh, kau dah salah faham ni. Kami tak sembang pasal kau pun. Kau salah dengar ni. Kau ingat sorang aje ke yang namanya Firas? Berjuta-juta orang lagi, tahu! Aku tak teringin pun nak cakap pasal kau,” tungkas Qaisara. Dia tidak mahu kelihatan bodoh di hadapan lelaki itu. Tidak sekali-kali!



      Firas mengerutkan dahinya. Betul ke minah ni? Atau dia kelentong aku? Bukan boleh percaya sangat kalau dah berkawan dengan Khalis Haikal yang perasan macho tu. Sakit hati betul dengan mamat tu. Hari-hari datang lewat tapi boleh tayang muka tak bersalah. Naik muak aku tengok muka dia. Tapi kata-kata budak perempuan ini tersangatlah pedas! Sakit hati aku!



     “Okeylah, aku ciao dulu. Sudah-sudahlah perasan kami sembang pasal kau ya. Adios!” Qaisara segera angkat kaki meninggalkan Firas yang terkebil-kebil memandangnya. Baik aku cabut sebelum dia tanya macam-macam.



     Langkah diatur untuk kembali ke kelas. Rasa malu dan geram bercampur-baur dalam hatinya. Malu dengan Firas. Geram dengan Haikal dan Alina. Niat di hati mahu dibelasahnya Alina dan Haikal cukup-cukup. Sampai hati buat macam ini. Aku nak merajuk dengan dua orang tu. 




Saturday, 2 February 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 1







     Suara hingar-bingar manusia yang mendiami kelas 5 Cengkih begitu membingitkan sepasang telinga milik Airis Qaisara yang baru hendak melabuhkan punggungnya ke atas kerusi plastik di hadapan meja belajar. Tak boleh bising lagi ke? Macam pasar malam! Baru naik tangga pun dah dengar betapa tak damainya kelas yang terletak di tingkat dua blok C Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Cendekiawan itu. Yang pengetua pun satu, kenapalah dia letak nama rempah sebagai nama kelas. Cengkihlah, lawanglah, ketumbarlah, kayu manislah, jintanlah. Nasib baik ada lima kelas saja. Kalau tak, tak tahulah kut-kut diletaknya nama sayur-sayuran pula. Tak pernah dibuat orang! Agaknya sebab pengetua tu ada darah keturunan India, kot? Orang India kan pandai bab-bab rempah-ratus. 


     Jam pada dinding hadapan kelas tingkatan lima itu dikerling sekali imbas. Sudah jam 7.30 pagi. Lambat juga aku datang sekolah hari ini. Nasib baik sempat lari daripada dikejar pengawas bertugas yang terlebih bertauliah itu. Kalau tak, mahunya kena lari 10 pusingan padang di belakang sekolah itu. Bukan kecil luas padang itu. Kalau nak buat satu kawasan perumahan pun boleh. Ngeri sungguh kalau kena denda macam itu. Mahunya esok tak datang sekolah sebab kaki tercabut!



   “Sara, kau dah siap kerja sekolah yang Cikgu Anis bagi kemarin?” Pertanyaan Alina menghentikan lamunan Qaisara. Alina atau nama sebenarnya Alina Syakirah yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan kerja sekolah subjek Bahasa Melayu di sebelahnya dipandang. Kepalanya digaru walaupun tidak gatal. Ada kerja sekolah ke? Aku senang-senang aje pergi main futsal dengan abang-abang aku semalam. Eh, baru aku teringat apa yang Alina tersilap tadi.



      “Hoi! Kau panggil aku apa tadi? Kan aku dah cakap panggil aku Qai. Q. A. I. Sara, Sara. Siapa Sara?” Gadis bertubuh kecil molek itu mengeja satu-satu huruf nama panggilan yang digemarinya itu. Geram betul hatinya. Sudah berulang kali Alina diingatkan supaya memanggilnya dengan nama Qai. Mata sepet Alina terkebil-kebil, tersentak dengan suara Qaisara yang serupa kereta api baru lalu di sebelahnya. Mahu satu kelas terdiam akibat tengkingan Qaisara tadi. Beberapa saat kemudian kelas kembali menjadi seperti pasar. Bising!



     “Sorrylah geng! Aku tak sengaja,” Alina menayangkan dua batang jarinya ke muka Qaisara. Lambang ‘peace’. Qaisara merengus geram. Alina dipandang seperti mahu ditelannya hidup-hidup. Besar kecik, besar kecik aje aku nampak si Alina kat depan aku sekarang ni!



     Seorang lagi sahabat karib mereka mula menampakkan diri di belakang kelas. Khalis Haikal melambai-lambai ke arah Qaisara dan Alina. Selepas dipastikan tiada guru di dalam kelas 5 Cengkih itu barulah lelaki tinggi lampai itu mendekati dua orang gadis yang terang-terang sedang bertegang urat.



     “Apa hal ni? Dari luar dah terasa bahang kemarahan.” Haikal memulakan bicara apabila terpandangkan muka bengang Qaisara. Buruk benar. Tangan kanannya laju saja menarik tudung Qaisara ke belakang. Sengaja mahu menyakat sahabat baiknya itu. Habis senget tudung putih yang dipakai di kepala Qaisara akibat dikerjakan lelaki itu. Muka Qaisara yang menyinga bertambah garang.



     “Hoi, janganlah! Kau memang nak kena dengan aku, Haikal!” Qaisara segera membuka langkah. Bersedia mahu mengejar Haikal seandainya lelaki itu mahu lari daripadanya. Sudah menjadi kebiasaan mereka bertiga berkejaran selepas mengenakan satu sama lain. Macam cerita hindustan! Cumanya mereka bukanlah pasangan yang sedang mabuk bercinta. Kadang-kadang macam cerita cinta tiga segi saja apabila yang berkerjaran itu adalah dua orang perempuan dan seorang lelaki. Qaisara dan Haikal hanyalah pasangan sahabat baik yang sudah bersahabat sejak di bangku sekolah rendah lagi. Apabila berganjak ke sekolah menengah, mereka bertemu pula dengan Alina yang sememangnya satu kepala dengan mereka. Mereka terlalu akrab sehingga kadang-kala mereka lupa bahawa mereka adalah ajnabi yang boleh berkahwin. Terlalu akrab lebih daripada saudara sendiri. Namun, Haikal bukanlah seorang lelaki yang suka mengambil kesempatan. Malahan, Qaisara dan Alina dilindunginya dengan sebaik mungkin. Dia masih tahu batasannya sebagai seorang lelaki. Dia juga sedar status dua orang gadis itu sebagai anak dara orang.



     Qaisara pula sudah terlalu biasa dilayani sebegitu oleh Haikal. Hal ini adalah kerana dia adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarganya. Tambahan pula dia merupakan anak bongsu dan mempunyai tiga orang abang sebelumnya. Sudah sah-sahlah seorang gadis yang bernama Airis Qaisara Mohd Kamal itu terbentuk dengan kasar. Semuanya berpunca daripada faktor persekitaran yang dibesarkan dalam golongan adik beradiknya yang kesemuanya adalah lelaki. Namun, Qaisara sangat disayangi dalam keluarganya. Anak bongsu, kan. Tambah-tambah lagi satu-satunya perempuan. Dialah cinta sejati ayah dan ibu. Dialah jugak buah hati kesayangan abang-abangnya.



     Lima minit dinanti namun Haikal masih tidak berganjak dari kedudukannya. Sibuk pula dia membelek ‘sesuatu’ di atas meja belajar kepunyaan Qaisara. ‘Sesuatu’?! Qaisara tersentak lalu ditolaknya tubuh Haikal ke tepi. Alina yang tidak menyedari perbuatan Haikal itu turut menghampiri Qaisara yang dilihatnya tergesa-gesa membaca sesuatu di atas meja belajar.



     ‘Airis Qaisara, jika kau katakan bulan purnama pada malam hari itu terlalu indah, kau adalah lebih indah daripada bulan itu. –HK’



     Qaisara terpempan sejurus membaca bait-bait perkataan yang tersusun elok atas sehelai kertas nota kecil berwarna putih itu. Elok saja kertas nota itu melekap di bawah plastik meja belajarnya. Amboi, romantiknya! Lagi romantik kalau aku dapat kejar kau keliling sekolah dengan penyapu! Aku tak suka, tahu! Tapi aku tak kenal siapa kau. Getus hati Qaisara.



     “Seronoklah orang tu, tiap-tiap hari dapat nota cinta,” Alina bersuara tiba-tiba. Ayat berbaur cemburu tu! Ewah, macamlah aku suka sangat dapat ayat jiwang tiap-tiap hari. Sudahlah aku tak kenal siapa pengirimnya. Sepuluh kali aku suka kalau Man Skema yang bagi. Sekurang-kurangnya aku tahu siapa pengirimnya walaupun Man Skema itu tahap keskemaannya tiada siapa boleh tandingi. Qaisara mencemik. Haikal buat muka tak faham. Tak pernah pulak Alina atau Qaisara menceritakan tentang alkisah nota cinta itu kepadanya. Kata BFF. Hatinya sedikit terkilan.



     “Kat sekolah kita ada yang namanya HK ke? Macam tak ada aje. Kalau ada mesti tak handsome. Kalau handsome dah lama aku kenal,” Qaisara gelak berdekah-dekah. Lucu dengan jenakanya sendiri. Haikal memandangnya serius. Seperti sedang memikirkan strategi peperangan lagaknya. Mindanya masih bercelaru. Tidak tahu hujung pangkal cerita. Alina buat muka meluat. Loya rasa tekaknya.



     “Kalau tak ada, mungkin dia guna nama samaran. Tak pun, ada orang yang nak kenakan kau. Aku rasa lebih baik kau jangan percaya sangat dengan nota-nota cinta ni semua. Aku risau kalau ada orang yang nak bahankan kau aje. Aku kenal kau dari sekolah rendah lagi, aku tak nak kau kecewa,” suara Haikal pula yang memecah kesunyian. Dia seperti dapat menghidu cerita sebenar di sebalik nota cinta dan kata-kata Qaisara sebentar tadi.



     Qaisara terdiam. Ada benarnya kata-kata sahabat baiknya itu. Tapi nak hairan apa, bukan dia suka sangat dengan ayat-ayat jiwang yang diletakkan di atas mejanya hampir setiap hari itu. Tak suka pun sebenarnya.



     Tiba-tiba tiga sekawan itu dihampiri oleh seorang pelajar lelaki yang berkaca mata berbingkai penuh yang tebal dan berwarna hitam. Qaisara mengangkat muka apabila berasa ada sebatang tubuh sedang berdiri di hadapan meja belajarnya. Ek eleh, Man Skema rupanya! Baru aje aku sebut namanya dalam hati. Weh, dengar ayat macam nak ditujukan kepada kekasih hati aje. Man Skema jadi kekasih hati aku? Tak mahu! Tak mahu!



     “Qai.. Qaisara, ta..di.. tadi.. aaa.. ada.. o.. rang..ba..bagi..ni,” tergagap-gagap Man Skema menuturkan sebaris ayat itu kepada Qaisara. Sudahlah skema, gagap pulak tu! Kesian betul. Seluar tu kalau boleh nak pakai sampai ke dada. Qaisara pantas menggeleng-geleng setelah terlihatkan lelaki yang memiliki nama penuh Luqman Arif itu.



     Man Skema lantas meletakkan sebuah kotak berwarna merah yang lengkap beriben. Wajah Qaisara yang menjadi idamannya dipandang sekilas. Cantiknya dia. Bidadari ke apa dia ni? Kalaulah dia tak ada bodyguard si Khalis Haikal yang perasan macho tu pasti aku yang selalu di samping gadis manis ini. Man Skema berdialog dalam hatinya. 



     Alina pantas merebut kotak hadiah berwarna merah dalam pegangan Qaisara itu setelah Man Skema beredar. Hard-die-fan sungguh orang yang sering memberikan nota cinta dan hadiah itu. Dulu Qaisara pernah diberi hadiah pensel kayu yang ada pemadam berbentuk seekor beruang comel di atasnya. Kemudian, sebuah kotak yang mengandungi klip-klip kertas yang berbentuk hati ditemui oleh Qaisara di bawah mejanya. Alina pasti semua ini adalah kerja orang yang sama. Sedikit sebanyak dia turut berasa cemburu dengan Qaisara. Haikal buat muka tak faham dari tadi lagi. Sungguh dia tak faham! Dia cuma mampu menyaksikan gelagat dan celoteh kedua-dua orang sahabat baiknya itu.



     “Hoi, suka hati kau aje rebut hadiah aku! Aku siku kang minah senget ni,” suara Qaisara keras memarahi tindakan sahabat baiknya itu. Kotak hadiah itu segera direbut kembali. Aku pun tak buka lagi, dia yang sibuk.



     Kotak hadiah itu dibuka balutannya dengan teliti. Sayang jika tidak dibuka dengan cermat. Kemas betul balutannya. Mesti pengirimnya jenis yang sentiasa kemas dan kacak. Eh, tapi kalau upah balut dekat kedai nak buat apa! Tarik balik pujian tadi. Mesti dia ini jenis pemalas. Nah kutukan!



     “La, keychain aje peminat kau bagi. Aku ingat apalah tadi.” Alina menjeling ke arah Qaisara yang sedang mengeluarkan keychain patung Angry Bird yang berwarna merah hati. Huh, tak ada apa yang nak dibanggakan pun kalau dapat keychain aje! Tak jadilah nak cemburu.



     “Itulah! Aku ingat dia nak bagi kamus baru ke, tudung sekolah baru ke. Alih-alih keychain aje. Angry Bird pulak tu! Harap kotak aje besar. Keychain kecik, kalau bagi dua tiga ekor okeylah jugak. Boleh aku bagi korang sorang sekor. Hampeh betul!” Qaisara sudah mula membebel serupa mak nenek. Bengang betul. Buat saspen aje tadi.



     Bunyi kasut tumit tinggi mematikan perbualan tiga orang sahabat itu. Haikal cepat-cepat beredar apabila Cikgu Zahlia memberi salam untuk masuk ke kelas tingkatan lima itu. Terkocoh-kocoh dia bergerak ke kelasnya. Terlupa pula dia harus ke makmal Fizik untuk kelas pada pagi itu. Qaisara dan Alina merupakan sahabat karibnya yang muda dua tahun daripadanya. Kalau dua orang gadis itu bakal menduduki SPM pada hujung tahun itu, Haikal pula sedang berhempas-pulas untuk mendapatkan gred yang bagus dalam setiap matapelajaran yang diambilnya untuk STPM.