Thursday 16 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 12


  


     Sebiji epal merah diambil lalu dibelek dengan teliti. Apabila sudah cantik di mata, cepat saja tangan kanannya memasukkan epal merah itu ke dalam plastik lut sinar yang berada di tangan kirinya. Kemudian, dia memilih epal merah yang lain pula. Beberapa kali dia mengulangi perkara yang sama sehingga plastik itu sudah penuh dengan 20 biji epal merah. Disimpul mati plastik itu lalu diletakkan ke dalam troli di sebelah lima kotak besar susu Dutch Lady rendah lemak. Cukup kot untuk seminggu.


      Pulang dari kerja tadi, macam biasalah Haikal pasti akan menuju ke peti sejuk terlebih dulu sebelum ke bilik tidurnya. Setiap pagi dan setiap petang, dia suka mengisi perut dengan buah epal merah. Sejak dia sambung belajar di Jerman lagi memang dia suka makan epal merah apabila lapar. Sebenarnya dia makan epal merah sebab dia nak berjimat-cermat. Kalau tiap kali lapar nak makan makanan yang berat, boleh pokai jadinya! Selalunya dia makan sebiji sehari. Setengah semasa pagi dan setengah semasa malam. Jimat! Tapi sekarang, tiga biji sehari!


      Tetapi selepas pulang kerja petang itu, dia tak jumpa sebiji epal merah pun di dalam peti sejuk. Sedangkan dia baru saja beli 10 biji epal merah dua hari lepas. Nampaknya dia benar-benar sudah jadi hantu epal merah! Kalau tak ada epal merah malam itu, pasti dia tak dapat tidur lena. Itu yang dia gagahkan juga dirinya untuk keluar ke Tesco pada malam itu.


   Baru tangannya hendak menolak troli, matanya tiba-tiba saja menangkap satu susuk tubuh yang sedang berdiri membelakanginya di bahagian sayur-sayuran tidak jauh dari tempat dia memilih epal tadi. Macam kenal. Hatinya berkata sendiri.


    “Qaisara!” Haikal menegur Qaisara apabila dia sudah hampir dengan gadis itu. Langkah segera dipanjangkan.


       Qaisara lantas menoleh 90 darjah ke belakang untuk melihat siapa empunya diri yang menyapanya itu. Encik Khalis? Mr. Psyco but Handsome? Macam mana boleh jumpa di sini?! Qaisara sudah seperti seekor cacing yang sedang kepanasan akibat dipanggang di atas api. Tapi kachaklah bila Encik Khalis berpakaian kasual macam ni. Lelaki berT-shirt Polo berwarna hijau muda itu dipandang sekali lagi.


    “Datang dengan siapa?” Soal Haikal. Senyuman masih elok terpamer pada wajahnya yang tampan.


     “Datang dengan.. err.. Ha, itu suami saya!” Qaisara mengarahkan jari telunjuknya pada seorang lelaki yang sedang beratur untuk menimbang beberapa plastik sayur-sayuran dan buah-buahan.


     Mata Haikal turut memandang pada lelaki berkameja ungu yang ditunjukkan oleh Qaisara itu. Qaisara dah kahwin? Hatinya terasa sedikit pedih. Seperti baru saja dihiris dengan pisau belati. Sakit!


       “Kau.. dah.. kahwin?” 


     “Ha’ah. Saya kahwin masa saya belajar kat UK dulu lagi. Suami saya tu lawyer. Kalau company kita perlukan lawyer untuk apa-apa projek, bolehlah gajikan suami saya.” Petah Qaisara bercerita. Dia tidak perasan akan perubahan wajah lelaki itu. Dia cuma mahu lepaskan dirinya cepat-cepat!


     “Baguslah kalau macam tu,” balas Haikal pendek. Dia tersenyum hambar untuk cuba menutup kekecewaan yang baru saja menyelubungi hatinya kala itu. Kenapa aku baru tahu? Perit sungguh hendak menelan kenyataan yang baru menyapa halwa telinganya itu.


       “Kau?! Buat apa kat sini?” Bahu Haikal ditepuk oleh seseorang.


   Haikal mengalihkan pandangannya kepada orang yang baru menyapanya tadi. Akif?! Dan Akif memakai kameja ungu!


     “Eh, kau rupanya! Beli barang sikit ni. Tak sangka nak jumpa kat sini!” Hati Haikal sudah pulih kembali. Dijelingnya Qaisara yang sudah nampak cuak. Nak temberang tapi tak jadi!


     “Sara pergi bahagian biskut,” beritahu Qaisara kepada Akif. Tak mahu duduk di situ dah. Dia berjalan menuju ke bahagian biskut dan roti sambil mindanya giat berfikir. Encik Khalis kenal achik ke? Achik kenal Encik Khalis ke? Memanglah kenal kalau dah berjiran, kan. Aku aje yang tak kenal dia. Tapi apa-apa pun, aku dah memalukan diri sendiri! Macam mana nak berdepan dengan Mr. Psyco but Handsome esok? Huwaaaaaaaaaaaa!


     “Kalau tahu boleh aku tumpang kau datang sini. Jimat duit minyak aku,” sambung Akif ramah. Plastik sayur-sayuran dan buah-buahan yang penuh di tangannya diletakkan di dalam troli yang ditinggalkan oleh Qaisara sebentar tadi.


     “Kau nak jimat minyak kau aje, ya? Eh, kau dah kenapa datang Tesco pakai baju kerja ni?” Haikal tersengih. 


     “Oh, adik kesayangan aku tu yang ajak aku datang sini. Aku baru balik kerja. Tak sempat letak punggung lagi! Kenapa kau dengan Qaisara macam baru nak kenal aje? Dia macam awkward. Ini pun entah ke mana perginya. Kalau dulu bukan main rapat lagi,” soal Akif. Memang itu yang dia nampak tadi. Qaisara seolah-olah mahu mengelak daripada Haikal. 


     “Sara tak cam aku. Kelakar betul!” Haikal tergelak kecil.


     “Tak cam?” Akif buat muka terkejut. BFF sendiri pun tak cam?


     “Ha’ah. Entah apa yang berubah kat aku ni sampai dia tak cam pun aku tak tahu.”


     “Tapi memang kau nampak lain sikit sekarang. Dulu kau macam budak malas aje aku tengok. Kau agak berisi dulu, sekarang badan macam hero  filem aksi!” Kata Akif lalu dia tergelak kuat. Haikal nampak agak kemas dan kacak sekarang. Kalau tengok dari rupa paras mesti orang akan menyangka Haikal adalah anak orang kaya yang playboy. Sebab hanya anak orang kaya yang  playboy saja yang berwajah dan berpenampilan seperti Haikal, lazimnya.


     “Merapu! Tapi kau jangan beritahu Sara pulak aku siapa. Kau tahu tadi dia siap cakap kau suami dia lagi. Punyalah tak nak aku kacau dia,” cerita Haikal. Kepala digelengkan ke kiri dan ke kanan beberapa kali. Qaisara memang bukan jenis perempuan yang pantang jumpa lelaki mesti nak mengayat. Tak macam perempuan-perempuan yang dia pernah jumpa sebelum ni.


     “Adik aku memang gila! Haha! Tapi, kenapa kau tak nak dia tahu?” Akif bertanya lagi. Hairan betul dia dengan dua orang budak ini.


    “Biar aku yang beritahu dia nanti.” Haikal tersenyum penuh makna. Dia sudah merancang pelbagai agenda untuk memberitahu Qaisara siapa dia yang sebenarnya. Tak sabar nak tunggu masa itu!


       Akif mengangguk sebelum dia meminta diri untuk mencari Qaisara. Entah kemanalah hilang budak itu! Haikal pula segera menyorong troli untuk membayar harga barang-barang yang diambilnya. Dia hendak pulang cepat kerana dia ada misi baru. 


**********


   “Tadi tu siapa?” Soal Qaisara selepas dia menarik pintu kereta Nissan Skyline achiknya itu. 


     Achik memang suka kereta yang ala-ala kereta lumba. Ini pun beli pakai duit ayah separuh dan duit achik separuh. Angah yang dah kerja banyak tahun pun belum mampu nak beli kereta mewah-mewah. Pakai Viva aje. Ini semua diceritakan oleh Amsyar kepada Qaisara melalui Skype semasa Qaisara masih belajar di UK lagi tahun lalu. Semasa bercerita itu, sangat jelas angah cemburu dengan achik. Yalah, angah beli kereta ayah tak tolong pun. Tapi memang achik mengada lebih!


     “Yang mana?” Enjin kereta dihidupkan.


     “Yang achik tegur masa dia tengah sembang dengan Sara tadi.” Tali pinggang kaledar ditarik lalu dipasangkan.


     “Itu kan jiran depan rumah kita.” Akif menjawab dengan jawapan yang umum. Harap-harap tak kantoi yang tadi tu sebenarnya Haikal. Kereta diundurkan untuk keluar dari petak parking.


     Qaisara angkat kening sebelah. Memang aku tahu dia jiran depan rumah aku. Juga ketua aku di tempat kerja.


     “Jiran?” Tanya Qaisara sekali lagi mahukan kepastian.


     “Ya.”


     “Dia ketua Sara di tempat kerja,” beritahu Qaisara tanpa dipinta. 


     “Oh. Achik cuma tahu dia arkitek aje. Kat mana achik tak pernah tahu pulak.” Memang dia tidak pernah tahu yang Haikal bekerja di tempat Qaisara sedang bekerja sekarang. Dia tahu Haikal bekerja sebagai arkitek pun ibu yang beritahu. Itu pun sebab ibu ada bersembang dengan Nek Milah. Kalau tidak mesti dia pun tidak tahu. Jarang sangat dia dan Haikal nak duduk bersembang.


     “Haikal dah pindah ke?” Soal Qaisara tiba-tiba. 


     “Tanyalah dia sendiri.” Akif telan liur. Habis!


   “Orang tak jumpa dia macam mana orang nak tanya? Contact number pun tak ada. Nek Milah pun orang tak ada jumpa langsung.”


   “Tadi dah beli semua barang yang ibu kirim, kan?” Dalih Akif. Harapnya Qaisara tak perasan dia cuba ubah topik!


     “Ha’ah. Cuma rempah brand yang ibu nak tu tak ada. Dah habis.” Hujung jari telunjuk Qaisara sudah menyentuh pada punat ‘on’ radio. Seketika kemudian, lagu ‘Bahagiamua Deritaku’ oleh Hafiz pun berkumandang di dalam kereta itu. Perbulan dua beradik itu pun mati di situ saja. Masing-masing melayan perasaan sambil mendengar lagu.




No comments:

Post a Comment