Monday 29 April 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 5


   






      Jam di dinding kamarnya sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Haikal memejamkan matanya sekejap lalu celik semula. Matanya terkebil-kebil memandang siling bilik. Badannya sangat letih. Sudahlah tadi pulang lewat ke rumah. Rasanya memang dia tak mengantuk lagi tetapi masalahnya esok dia perlukan tumpuan dan persediaan yang secukupnya untuk membentangkan pelan bangunan muzium yang diarahkan oleh ketuanya pada bulan yang lalu. Kepalanya amat sarat dengan pelbagai projek yang perlu disiapkan dalam masa beberapa bulan ini. Selepas kejayaan pertamanya menyiapkan projek pusat perniagaan di Subang Jaya tahun lepas, Haikal mula menjadi harapan ketuanya untuk memberikan kejayaan yang sama kepada syarikat. Kini, dia menggalas tanggungjawab untuk menjayakan pembinaan muzium di Melaka pula. Belum sempat dia menyiapkan lukisan pelan muzium tersebut, dia sudah diarahkan untuk memegang projek pembinaan pasar raya di Kuala Lumpur pula. Serabut!


     Haikal bangun dan berjalan ke arah jendela yang terletak di sisi katilnya. Pintu jendela tersebut ditolak perlahan. Dingin malam serta-merta menyentuh kulit wajahnya. Sejuk. Didongakkan kepalanya ke arah langit. Kepekatan malam memang sangat mendamaikan! Bulan purnama dipandangnya lama. Tenang sekali rasa hati. Hilang segala kekusutan yang merosot dalam kepalanya.


     “Kau ni, datang melepak rumah aku pulak! Nek Milah tak marah ke? Pukul 9 dah ni.” Qaisara duduk di kerusi batu di laman rumahnya. Baru saja dia keluar rumah tadi untuk menghantar minuman kepada abang-abangnya dia sudah nampak Haikal sedang berbual-bual dengan Amsyar dan Akif yang hendak mencuci kereta masing-masing di halaman rumah.


     “Kalau kau nak tahu, Nek Milah tu lah yang menyuruh aku datang ke sini. Katanya kau selalu kena buli dengan abang-abang kau. Jadi, dia kirimkan kau hero ini!” Jawab Haikal sambil mendabik dada. Dia tersenyum bangga lalu duduk di sebelah Qaisara.


     “Kau nak jadi hero? Selalunya dengan kau-kau sekali kena belasah dengan abang-abang aku! Untungnya hari ini Angah dengan Achik sibuk luangkan masa membersihkan isteri-isteri mereka.” Qaisara memandang sekilas ke arah abang-abangnya. Sayang sungguh dengan kereta mereka! Tiap-tiap hari dimandikan!


    “Aku bosan kat rumah tu. Kau tahu ajelah aku tinggal berdua dengan nenek aje. Kalau bukan sebab abang-abang kau bagi mandi bini-bini mereka tak adanya aku sampai sini. Karang berdua-duaan dengan kau kena tangkap basah pulak!” Tinggal berdua dengan neneknya memang sangat membosankan. Kalau dapat bersembang dengan nenek memanglah seronok tetapi nenek selalu tidur awal. Lepas solat isya' berjemaah terus nenek masuk bilik. Aku yang muda belia ini yang termangu-mangu depan tv menonton cerita yang entah apa-apa.


     “Kau ingat aku nak ke kawin dengan kau? Baik aku kawin dengan Man Skema lagi daripada kau.”


     “Amin!”


  “Haikal!” Bulat mata Qaisara memandang Haikal. Segera dia mencapai dulang minuman lalu dipukul-pukul bahu lelaki itu beberapa kali.


    “Kau yang nak, kan? Aku aminkan ajelah. Doa seorang sahabat sejati senang dimakbulkan, tahu!” Haikal menggosok-gosok bahu kanannya yang terasa sengal. Minah ni memang brutal!


    “Aku sebenarnya nak ucapkan terima kasih kat kau,” kata Qaisara sambil matanya meliar-liar mencari kelibat sang bulan. Dia tersenyum senang hati apabila matanya sudah dapat menangkap kehadiran bulan purnama pada malam itu.


     “Kenapa?” Haikal memandang wajah Qaisara. Comel betul budak ni. Benarlah kata rakan-rakannya di sekolah, dia beruntung kerana rapat dengan Qaisara sedangkan ramai lelaki yang hanya boleh melihat Qaisara dari jauh saja. Tetapi bukan itu yang dibanggakan. Dia ikhlas berkawan dengan Qaisara.


    “Sebab kau susah-payah belikan kek dengan hadiah-hadiah tu. Kalau nak harapkan Lina memang dia boleh tolong kau bawakkan kotak hadiah itu ajelah. Entah-entah birthday aku pun dia tak ingat!”


     “Sama-sama. Sebenarnya itu semua separuh daripada agenda aku nak pujuk kau supaya kau tak marahkan kami kerana kejadian kau kena berdepan dengan Firas seorang diri hari tu. Mulanya aku nak buat surprise kat kau pagi tadi kat sekolah tapi kau pulak yang tak datang. peninglah konon!” Haikal tersengih. Memang dia tak sanggup biarkan Qaisara marahkan dia dan Alina lama-lama.


   “Aku tak kisah. Janji kau ingat birthday aku. Tapi pagi tadi memang aku pening, okey!”


       Haikal diam. Mana mungkin dia lupa akan tarikh itu.


   “Aku suka tengok bulan mengambang,” kata Qaisara tiba-tiba. Matanya masih lagi terpesona dengan kecantikan bulan purnama di langit.


     “Kenapa?”


    “Sebab bila aku tengok bulan, aku jadi lupa pada semua masalah aku. Hati aku tenang.”


     “Jadi, kau tengoklah bulan bila kau rindu aku.” Mata Haikal turut memandang bulan yang sama. Kedua-dua tangannya diletakkan ke belakang kepala.


     “Kenapa?” Qaisara membalikkan soalan yang sama kepada Haikal.


     “Sebab muka aku kan boleh menenangkan hati orang lain,” balas Haikal tersenyum geli hati.


    “Perasan!” Laung Qaisara lalu memukul peha Haikal dengan dulang minuman yang tadi. Muka macam kerang terlebih busuk ada hati nak kita rasa tenang ingatkan muka dia!


    “Hoi, seronok bercinta?!” Serentak Qaisara dan Haikal menoleh ke arah suara yang menyapa mereka itu. Belum sempat mereka menjawab apa-apa, wajah mereka berdua sudah disiram air. Habis lencun satu badan!


     Qaisara bangun lalu mengejar Akif. Tak guna punya abang! Haikal masih tidak berganjak. Indah sungguh rasa hati ini. Senyuman bahagia terukir di bibirnya.


   “Hoi, main kasar nampak! Tak mainlah siram-siram orang!” Qaisara mendekati Akif lalu getah air direbutnya. Akif tidak pula melarikan diri. Seronok bergurau-senda dengan adiknya itu.


     “Barulah namanya tangkap basah!” Akif ketawa terbahak-bahak. Amsyar yang sedang mencuci tayar keretanya menjengukkan kepala. Entah apa-apalah dua beradik itu. Nasib baik Qaisara tidak berlari ke arahnya, kalau tidak pasti dia pun basah!


     Laungan lagu ‘Daylight’ nyanyian Maroon 5 dari telefon pintarnya mengembalikan Haikal ke alam realiti. Pintu jendela kembali ditutupnya. Nasib baik sempat tersedar dari mengimbau kisah-kisah lalu. Kalau tidak, mahu sampai ke esok aku berangan!



    Nama pemanggil di skrin telefonnya dibaca. ‘Baby Eryna.’ Dia tersenyum sendiri.


     ”Helo, baby!” Haikal menyapa si pemanggil dengan mesra.


    “Hai, abang sayang. Still awake?” Suara wanita itu kedengaran sangat gembira. Mungkin ada sesuatu yang ingin dikongsikan bersama-sama.


     “Yup. I can’t sleep.”



     “Thinking of me?”


     “Wait for me, will ya?”



    “No lah!” Semakin lebar senyuman Haikal mendengarkan soalan itu.


     “Really? Abang?”


     "Well, baby. Even though I try to deny it, at the end of the day, you're still on my mind,” ungkap Haikal dengan senyuman yang masih bersisa.


   “Haha, gotcha! Abang, I’ll be with you next month.” Selain daripada memandang bulan purnama pada malam hari, mendengar ilai tawa wanita yang bernama Delisha Eryna itu turut dapat menenangkan hatinya.


     “What do you mean, baby?”


     “Of course I will. Forever I will.”


    “Abang, I gotta go! Assalamualaikum. Always love you.” Talian dimatikan. Haikal masih tersenyum sambil memandang gambar Eryna memeluk lengannya yang menjadi wallpaper telefon pintarnya.


    Memandang lama skrin telefon pintarnya membuatkan Haikal tersedar yang jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Bila aku nak terlelap ni?! Kalau ada bini kan senang, mesti tiap-tiap hari dapat tidur awal. Segera dipeluknya bantal panjang dan dipejamkan matanya rapat-rapat. Paksa tidur namanya ini!




Saturday 27 April 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 4


     






    “Sara, ayah bawa masuk beg kamu dulu, ya”, sapaan ayah menghentikan lamunan Qaisara. Sedar-sedar saja kereta yang dinaiki oleh Qaisara dan Encik Mohd Kamal sudah berada di hadapan banglo dua tingkat itu. Zaman persekolahan memang terlalu indah untuk dikenang. Tak akan habis pun mengelamun kalau ia berkaitan dengan zaman remaja. Sekejap sungguh masa berlalu! Rindunya zaman sekolah. Rindu Alina! Rindu Haikal! Kalau di UK dulu ada juga dia berhubung dengan Alina melalui Skype. Tetapi dia tidak ada langsung berhubung dengan Haikal. Apa yang dia tahu, Alina sudah berpindah ke Melaka jadi Alina dan Haikal juga sudah terputus hubungan.


    Qaisara menganggukkan kepala seraya meloloskan diri daripada perut kereta. Rumah banglo bercat biru langit milik keluarganya dipandang sekilas. Masih sama seperti dulu. Tiada apa yang berubah. Matanya terarah pula ke sebuah rumah teres yang terletak bertentangan dengan kediamannya. Entah mengapa hatinya terdorong untuk pergi melihat-lihat rumah itu. 


  “Assalamualaikum,” Qaisara memberikan salam. Sunyi aje rumahnya. Tak ada orang ke? Tapi pintu pagar tak berkunci. Mesti ada orang ni. Nek Milah tak pernah tinggalkan rumah dalam keadaan tidak berkunci sebegini.


   “Assalamualaikum.” Salam dilontarkan sekali lagi sambil kepalanya terjenguk-jengukkan keadaan di sekeliling rumah itu. Manalah tahu tak ada yang dengar salam aku ni. Qaisara membuat andaian sendiri.


     Pintu rumah itu dipandang lama. Tertutup rapat. Selalunya petang-petang begini Nek Milah mesti sedang menyiram pokok-pokok bunganya. Nek Milah memang sangat rajin orangnya walaupun di usia lanjut. Ada saja yang ingin dikerjakannya setiap hari. Tidak pernah Qaisara melihat Nek Milah duduk menggoyang kaki saja sepanjang mereka berjiran.


    Beberapa ketika kemudian, muncul sebuah kereta Toyota Vios betul-betul di hadapan Qaisara. Ohoi, nak langgar aku ke? Seinci aje lagi nak berlaga lutut aku ni. Elok-elok baru turun kapal terbang kena naik ambulans pulak aku. 


     Qaisara menjeling-jeling ke arah pemandu yang masih membatu dalam kenderaan itu. Jeling pun tak berapa nampak sebab gelap sangat cerminnya. 


   Haikal menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya. Keningnya bertaut. Cantik. Tapi perempuan mana pulak yang jadi model pagar rumah aku ni? Sudahlah berbaju kurung. Nak jual barang, kot?


     Haikal melangkah keluar dari keretanya. Matanya masih tertancap pada seraut wajah cantik di hadapannya itu. Ish, siapa perempuan ini? Nenek ada cucu baru ke? Tapi kalau cucu, kenapa aku tak pernah tengok pun perempuan ni? Kalau cucu mesti dia sepupu aku. 


     Mak oi, tampannya dia! Qaisara terkesima apabila terpandangkan wajah lelaki yang sedang berdiri tegak sambil melonggarkan tali lehernya itu. Langkah kanan betul aku ni. Datang rumah orang terus dapat jamu mata dengan lelaki kachak! Kahkahkah! Gelak jahat aku dalam hati. Ish, zina mata betul!


     “Cik cari siapa, ya?” Haikal memulakan bicara. Kalau dari tadi dok ‘kau pandang aku, aku pandang kau’, sampai esok pun aku tak dapat masuk rumah! Sudahlah penat gila hari ni. Projek lama tak siap lagi, hari ni dah dapat projek baru. Bos pun kalau boleh semua projek nak aku yang buat. Tahulah rezeki, tapi berbahagilah dengan orang lain jugak. Gumam Haikal dalam hati.


     Haikal merupakan seorang arkitek muda di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Cita-cita asalnya hendak menjadi jurutera mekanikal tetapi tawaran untuk menyambung pelajaran dalam bidang seni bina pula yang dia dapat. Rezeki manusia memang tidak dapat dijangka. 


   “Er.. Tak ada cari siapa pun sebenarnya. Encik ni siapa?”Tergagap-gagap Qaisara menjawab. Tetapi sungguh dia tidak mengenali lelaki ini. Nek Milah ada cucu baru ke? Tak mungkin lelaki ini adalah Khalis Haikal. Lain benar mukanya. Haikal selekeh orangnya. Tetapi lelaki ini sangat kemas dan.... kachak! Kulit wajahnya bersih tanpa sebutir jerawat atau segaris parut pun. Kemas berkemeja putih bersih dengan lengan tangan disinsing hingga ke siku, cuma rambutnya saja yang sudah kusut-masai. Tensyen dengan kerja, mungkin.


    Setelah mendengarkan jawapan yang keluar dari mulut gadis itu, Haikal terus membuka pintu pagar rumahnya. Buang masa betul layan perempuan ni. Sudahlah mata aku nampak bantal aje sekarang ni! Boleh dia tanya aku siapa. Sah-sahlah aku tuan rumah ni. Hesy!


     “Boleh tepi sikit? Kalau agak nak berdiri situ sampai esok, tolong tutupkan pintu pagar sekali, ya.”


    Tercengang Qaisara mendengarkan ayat yang baru saja keluar daripada mulut lelaki itu. Arahan ke menghalau tu? Harap muka saja kacak tapi mulut boleh tahan juga. Nasib baik sekarang aku dah ayu. Kalau tidak, mahu aku siku jugak mamat ni!


    Haikal segera memarkirkan keretanya di garaj lalu masuk ke dalam rumah tanpa mengendahkan gadis cantik yang masih lagi sedang berdiri tegak di hadapan pintu pagar. Betullah, perempuan tu model pagar rumah aku.


     “Macam itu punya manusia pun ada ke? Boleh dia tinggalkan aku sorang-sorang macam ni,” bebel Qaisara seorang diri. Bengang!


********


     “Ibu dengan ayah dah berbincang sebelum Sara balik lagi. Kami nak adakan kenduri kesyukuran lusa. Yalah, sebab Sara kan dah habis belajar. Selamat sampai sini dah pun,” beritahu Puan Aminah kepada Qaisara semasa mereka sekeluarga sedang makan malam. Gembira sungguh hatinya apabila satu-satunya anak gadis dalam keluarga itu sudah berada di hadapan mata.


     Qaisara memandang setiap wajah yang mengelilingi meja makan panjang itu. Dah besar abang-abang aku semuanya, ya. Tapi kahwinnya, belum! 


    “Kami semua dah ambil cuti,” kata Amsyar sambil tersenyum riang. Seronok benar dia apabila diberitahu oleh ayah yang adik perempuan kesayangannya akan balik bercuti untuk selama-lamanya pada bulan lepas. Geng dah balik!


   “Jangan nak tunda atau batalkan pulak kenduri tu. Along bukannya kerja dekat-dekat.” Aryan memberikan amaran. Adik bongsunya itu bukan boleh harap sangat! Kalau dia tak setuju boleh saja dia batalkan kenduri kesyukuran itu. Sudahlah dia terbang jauh dari India semata-mata mahu menyambut kepulangan Qaisara.


     Aryan kini bertugas sebagai seorang doktor di sebuah hospital di India. Puas Puan Aminah memujuknya untuk bekerja di Malaysia namun dia enggan. Katanya, dia sudah jatuh cinta dengan India. Entah jatuh cinta dengan India ke orang yang tinggal di India tu. Kalau cantik macam Preity Zinta okeylah jugak!


   “Amboi, beramaran siap! Achik, tolonglah bela Sara. Kata peguam yang profesional sangat!” Qaisara buat muka kesian. Sengaja dia mahu bergurau dengan abang-abangnya itu. Lama tak jumpa, rindu!


     “Eh, achik tak campur!” Kata Akif sambil kepalanya menggeleng laju.


     “Sara tak nak buat kenduri tu ke?” Soal ayah pula. Berkerut-kerut dahinya. Disangkakannya Qaisara akan setuju dengan hal itu. 


     “Bukanlah. Saja aje. Boleh aje nak buat kenduri pun. Tak kisah. Kita pun dah ada kakitangan, kan?” Qaisara tesengih sambil menjungkit-jungkitkan keningnya kepada abang-abangnya. Masa inilah nak kerah tenaga bala tentera bertiga ni!


     “Ayah, lusa achik ada appointment dengan client baru kita, kan?” Akif bersuara lagi. Malas betul kalau kena kemas rumah!


     “Eh, sejak bila pulak kamu ada client baru? Yang lama pun tak settle-settle lagi,” tungkas Encik Mohd Kamal lalu menyuapkan nasi ke mulut. Anak lelakinya yang satu itu memang banyak akal! 


     Puan Aminah menggeleng-gelengkan kepala. Perangai anak-anak memang semua ada di hujung jarinya saja!


    “Sampai hati achik tak nak menyumbangkan tenaga untuk majlis Sara. Sudahlah, tak ada selera dah nak makan,” luah Qaisara sambil menolak kerusinya ke belakang dengan kasar.


     “Eh, achik gurau aje! Achik janji akan tolong dari pagi sampai ke malam!” Akif sudah kalut. Dilambai-lambaikan tangan kirinya, menyuruh adiknya itu kembali duduk. Dia faham sangat kalau Qaisara sudah terasa hati, macam-macam perangai pelik yang akan keluar nanti. Lebih baik dia mengalah dulu.


     Qaisara tak jadi bangun. Wajahnya masih mencuka. Dikuis-kuis nasi yang masih berbaki dalam pinggannya.


     “Sara pun gurau jugak! Tapi achik dah janji, tahu!” Senyuman manis kembali menyinari wajahnya. Menjadi jugak dia kenakan achik!


       Akif menarik nafas lega. Nasib baik budak kecik ni tak merajuk!


   “Kalau macam tu, esok kita pergi beli barang-barang untuk kenduri,” ajak Puan Aminah yang sedari tadi mendiamkan diri. Sebenarnya dia rindu mahu menonton gelagat anak-anaknya. Sudahlah jarang benar mereka sekeluarga dapat berkumpul seperti hari itu. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. 


     “Okey, kali ini achik betul-betul tak boleh join. Sebab achik ada appointment dengan client lama achik tu. Nak settlekan kes dia. Tapi achik janji hari kenduri tu achik tolong dari pagi sampai malam,” beritahu Akif dengan panjang lebar. Tangan kirinya diangkat selaras dengan telinga seperti sedang mengangkat sumpah. 


   “Ayah pun tak boleh join. Tapi ayah akan tanggung semua perbelanjaan.”   


   “Jangan risau. Dua orang anak lelaki yang macho ada di sini, sedia membantu!” Kata Aryan dengan bersemangat. Tangan kirinya digenggam lalu diangkat berkali-kali. Bersemangatlah sangat!


     “Wonderpet, kami datang!” 


     Semua mata terarah pada suara garau itu. Mahu tersembul biji mata masing-masing apabila melihat wajah Amsyar yang tersenyum girang. 


     Qaisara menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali. Abang aku ke ni? Kenapa perangai macam ni? Jurutera apa macam ni? Umur serupa bapak orang dah masih lagi berperangai keanak-anakan. Tetapi perangai itulah yang dirinduinya. Dia rindukan semua orang!