“Sara, ayah bawa masuk beg kamu dulu, ya”, sapaan ayah menghentikan lamunan Qaisara. Sedar-sedar saja kereta yang dinaiki oleh Qaisara dan Encik Mohd Kamal sudah berada di hadapan banglo dua tingkat itu. Zaman persekolahan memang terlalu indah untuk dikenang. Tak akan habis pun mengelamun kalau ia berkaitan dengan zaman remaja. Sekejap sungguh masa berlalu! Rindunya zaman sekolah. Rindu Alina! Rindu Haikal! Kalau di UK dulu ada juga dia berhubung dengan Alina melalui Skype. Tetapi dia tidak ada langsung berhubung dengan Haikal. Apa yang dia tahu, Alina sudah berpindah ke Melaka jadi Alina dan Haikal juga sudah terputus hubungan.
Qaisara menganggukkan kepala seraya meloloskan diri daripada perut kereta. Rumah banglo bercat biru langit milik keluarganya dipandang sekilas. Masih sama seperti dulu. Tiada apa yang berubah. Matanya terarah pula ke sebuah rumah teres yang terletak bertentangan dengan kediamannya. Entah mengapa hatinya terdorong untuk pergi melihat-lihat rumah itu.
“Assalamualaikum,” Qaisara memberikan salam. Sunyi aje rumahnya. Tak ada orang ke? Tapi pintu pagar tak berkunci. Mesti ada orang ni. Nek Milah tak pernah tinggalkan rumah dalam keadaan tidak berkunci sebegini.
“Assalamualaikum.” Salam dilontarkan sekali lagi sambil kepalanya terjenguk-jengukkan keadaan di sekeliling rumah itu. Manalah tahu tak ada yang dengar salam aku ni. Qaisara membuat andaian sendiri.
Pintu rumah itu dipandang lama. Tertutup rapat. Selalunya petang-petang begini Nek Milah mesti sedang menyiram pokok-pokok bunganya. Nek Milah memang sangat rajin orangnya walaupun di usia lanjut. Ada saja yang ingin dikerjakannya setiap hari. Tidak pernah Qaisara melihat Nek Milah duduk menggoyang kaki saja sepanjang mereka berjiran.
Beberapa ketika kemudian, muncul sebuah kereta Toyota Vios betul-betul di hadapan Qaisara. Ohoi, nak langgar aku ke? Seinci aje lagi nak berlaga lutut aku ni. Elok-elok baru turun kapal terbang kena naik ambulans pulak aku.
Qaisara menjeling-jeling ke arah pemandu yang masih membatu dalam kenderaan itu. Jeling pun tak berapa nampak sebab gelap sangat cerminnya.
Haikal menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya. Keningnya bertaut. Cantik. Tapi perempuan mana pulak yang jadi model pagar rumah aku ni? Sudahlah berbaju kurung. Nak jual barang, kot?
Haikal melangkah keluar dari keretanya. Matanya masih tertancap pada seraut wajah cantik di hadapannya itu. Ish, siapa perempuan ini? Nenek ada cucu baru ke? Tapi kalau cucu, kenapa aku tak pernah tengok pun perempuan ni? Kalau cucu mesti dia sepupu aku.
Mak oi, tampannya dia! Qaisara terkesima apabila terpandangkan wajah lelaki yang sedang berdiri tegak sambil melonggarkan tali lehernya itu. Langkah kanan betul aku ni. Datang rumah orang terus dapat jamu mata dengan lelaki kachak! Kahkahkah! Gelak jahat aku dalam hati. Ish, zina mata betul!
“Cik cari siapa, ya?” Haikal memulakan bicara. Kalau dari tadi dok ‘kau pandang aku, aku pandang kau’, sampai esok pun aku tak dapat masuk rumah! Sudahlah penat gila hari ni. Projek lama tak siap lagi, hari ni dah dapat projek baru. Bos pun kalau boleh semua projek nak aku yang buat. Tahulah rezeki, tapi berbahagilah dengan orang lain jugak. Gumam Haikal dalam hati.
Haikal merupakan seorang arkitek muda di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Cita-cita asalnya hendak menjadi jurutera mekanikal tetapi tawaran untuk menyambung pelajaran dalam bidang seni bina pula yang dia dapat. Rezeki manusia memang tidak dapat dijangka.
“Er.. Tak ada cari siapa pun sebenarnya. Encik ni siapa?”Tergagap-gagap Qaisara menjawab. Tetapi sungguh dia tidak mengenali lelaki ini. Nek Milah ada cucu baru ke? Tak mungkin lelaki ini adalah Khalis Haikal. Lain benar mukanya. Haikal selekeh orangnya. Tetapi lelaki ini sangat kemas dan.... kachak! Kulit wajahnya bersih tanpa sebutir jerawat atau segaris parut pun. Kemas berkemeja putih bersih dengan lengan tangan disinsing hingga ke siku, cuma rambutnya saja yang sudah kusut-masai. Tensyen dengan kerja, mungkin.
Setelah mendengarkan jawapan yang keluar dari mulut gadis itu, Haikal terus membuka pintu pagar rumahnya. Buang masa betul layan perempuan ni. Sudahlah mata aku nampak bantal aje sekarang ni! Boleh dia tanya aku siapa. Sah-sahlah aku tuan rumah ni. Hesy!
“Boleh tepi sikit? Kalau agak nak berdiri situ sampai esok, tolong tutupkan pintu pagar sekali, ya.”
Tercengang Qaisara mendengarkan ayat yang baru saja keluar daripada mulut lelaki itu. Arahan ke menghalau tu? Harap muka saja kacak tapi mulut boleh tahan juga. Nasib baik sekarang aku dah ayu. Kalau tidak, mahu aku siku jugak mamat ni!
Haikal segera memarkirkan keretanya di garaj lalu masuk ke dalam rumah tanpa mengendahkan gadis cantik yang masih lagi sedang berdiri tegak di hadapan pintu pagar. Betullah, perempuan tu model pagar rumah aku.
“Macam itu punya manusia pun ada ke? Boleh dia tinggalkan aku sorang-sorang macam ni,” bebel Qaisara seorang diri. Bengang!
********
“Ibu dengan ayah dah berbincang sebelum Sara balik lagi. Kami nak adakan kenduri kesyukuran lusa. Yalah, sebab Sara kan dah habis belajar. Selamat sampai sini dah pun,” beritahu Puan Aminah kepada Qaisara semasa mereka sekeluarga sedang makan malam. Gembira sungguh hatinya apabila satu-satunya anak gadis dalam keluarga itu sudah berada di hadapan mata.
Qaisara memandang setiap wajah yang mengelilingi meja makan panjang itu. Dah besar abang-abang aku semuanya, ya. Tapi kahwinnya, belum!
“Kami semua dah ambil cuti,” kata Amsyar sambil tersenyum riang. Seronok benar dia apabila diberitahu oleh ayah yang adik perempuan kesayangannya akan balik bercuti untuk selama-lamanya pada bulan lepas. Geng dah balik!
“Jangan nak tunda atau batalkan pulak kenduri tu. Along bukannya kerja dekat-dekat.” Aryan memberikan amaran. Adik bongsunya itu bukan boleh harap sangat! Kalau dia tak setuju boleh saja dia batalkan kenduri kesyukuran itu. Sudahlah dia terbang jauh dari India semata-mata mahu menyambut kepulangan Qaisara.
Aryan kini bertugas sebagai seorang doktor di sebuah hospital di India. Puas Puan Aminah memujuknya untuk bekerja di Malaysia namun dia enggan. Katanya, dia sudah jatuh cinta dengan India. Entah jatuh cinta dengan India ke orang yang tinggal di India tu. Kalau cantik macam Preity Zinta okeylah jugak!
“Amboi, beramaran siap! Achik, tolonglah bela Sara. Kata peguam yang profesional sangat!” Qaisara buat muka kesian. Sengaja dia mahu bergurau dengan abang-abangnya itu. Lama tak jumpa, rindu!
“Eh, achik tak campur!” Kata Akif sambil kepalanya menggeleng laju.
“Sara tak nak buat kenduri tu ke?” Soal ayah pula. Berkerut-kerut dahinya. Disangkakannya Qaisara akan setuju dengan hal itu.
“Bukanlah. Saja aje. Boleh aje nak buat kenduri pun. Tak kisah. Kita pun dah ada kakitangan, kan?” Qaisara tesengih sambil menjungkit-jungkitkan keningnya kepada abang-abangnya. Masa inilah nak kerah tenaga bala tentera bertiga ni!
“Ayah, lusa achik ada appointment dengan client baru kita, kan?” Akif bersuara lagi. Malas betul kalau kena kemas rumah!
“Eh, sejak bila pulak kamu ada client baru? Yang lama pun tak settle-settle lagi,” tungkas Encik Mohd Kamal lalu menyuapkan nasi ke mulut. Anak lelakinya yang satu itu memang banyak akal!
Puan Aminah menggeleng-gelengkan kepala. Perangai anak-anak memang semua ada di hujung jarinya saja!
“Sampai hati achik tak nak menyumbangkan tenaga untuk majlis Sara. Sudahlah, tak ada selera dah nak makan,” luah Qaisara sambil menolak kerusinya ke belakang dengan kasar.
“Eh, achik gurau aje! Achik janji akan tolong dari pagi sampai ke malam!” Akif sudah kalut. Dilambai-lambaikan tangan kirinya, menyuruh adiknya itu kembali duduk. Dia faham sangat kalau Qaisara sudah terasa hati, macam-macam perangai pelik yang akan keluar nanti. Lebih baik dia mengalah dulu.
Qaisara tak jadi bangun. Wajahnya masih mencuka. Dikuis-kuis nasi yang masih berbaki dalam pinggannya.
“Sara pun gurau jugak! Tapi achik dah janji, tahu!” Senyuman manis kembali menyinari wajahnya. Menjadi jugak dia kenakan achik!
Akif menarik nafas lega. Nasib baik budak kecik ni tak merajuk!
“Kalau macam tu, esok kita pergi beli barang-barang untuk kenduri,” ajak Puan Aminah yang sedari tadi mendiamkan diri. Sebenarnya dia rindu mahu menonton gelagat anak-anaknya. Sudahlah jarang benar mereka sekeluarga dapat berkumpul seperti hari itu. Masing-masing sibuk dengan kerjaya.
“Okey, kali ini achik betul-betul tak boleh join. Sebab achik ada appointment dengan client lama achik tu. Nak settlekan kes dia. Tapi achik janji hari kenduri tu achik tolong dari pagi sampai malam,” beritahu Akif dengan panjang lebar. Tangan kirinya diangkat selaras dengan telinga seperti sedang mengangkat sumpah.
“Ayah pun tak boleh join. Tapi ayah akan tanggung semua perbelanjaan.”
“Jangan risau. Dua orang anak lelaki yang macho ada di sini, sedia membantu!” Kata Aryan dengan bersemangat. Tangan kirinya digenggam lalu diangkat berkali-kali. Bersemangatlah sangat!
“Wonderpet, kami datang!”
Semua mata terarah pada suara garau itu. Mahu tersembul biji mata masing-masing apabila melihat wajah Amsyar yang tersenyum girang.
Qaisara menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali. Abang aku ke ni? Kenapa perangai macam ni? Jurutera apa macam ni? Umur serupa bapak orang dah masih lagi berperangai keanak-anakan. Tetapi perangai itulah yang dirinduinya. Dia rindukan semua orang!
Entry ni membuatkan I teringat cerita yang entah wujud entah tak tu. Huhu. Tapi, best! Thumbs up! :D
ReplyDeleteYou bermimpi di siang hari ni. :O
Delete