‘Kringgg! Kringgg! Kringgg!’ Bunyi
deringan jam loceng yang elok terletak di atas meja kecil bersebelahan katil menyedarkan
Qaisara dari lenanya. Jam loceng berbentuk bola itu segera dimatikan suis
penggeranya. Matanya masih tertutup rapat. Seketika kemudian kedengaran pula
bunyi ketukan yang bertalu-talu pada pintu biliknya. Qaisara menarik nafas
dalam. Matanya cuba dibuka dengan perlahan-lahan. Pening!
“Ya! Ya! Qaisara dah bangunlah!” Laung
Qaisara kepada si pengetuk pintu yang pastinya adalah ibunya itu. Setelah suara
comel itu kedengaran, barulah bunyi ketukan berhenti. Memang setiap pagi ibu yang
akan mengetuk pintu bilik untuk mengejutkannya solat subuh. Bukan boleh harap
sangat kalau mahu dia yang bangun sendiri. Subuh gajah jadinya nanti.
Tubuh kecil molek itu segera bangun dari
perbaringan. Matanya ditenyeh-tenyeh dengan tangan beberapa kali. Kepalanya
yang pusing dipicit-picit. Inilah akibatnya apabila berjaga hingga pukul 5.00
pagi semata-mata kerana ingin menghabiskan pembacaan sebuah novel. Pada hari
sekolah pulak tu! Qaisara memalingkan wajahnya ke arah jam loceng. Jarum jam
menunjukkan pukul 6.40 pagi. Biar betul? Aku dah lambat!
Qaisara cuba bangun untuk menuju ke bilik
air yang terletak di hujung biliknya. Bilik sederhana besar itu memang telah
diubahsuai dengan menempatkan sebuah bilik air di dalamnya. Alasan ayah berbuat
sedemikian mudah saja. Kata ayah ia adalah kerana Qaisara satu-satunya anak
perempuan dalam rumah itu dan Qaisara akan mudah berulang-alik ke bilik air
terutamanya ketika ingin mandi dengan adanya ruangan itu di dalam bilik sendiri.
Yalah, abang-abangnya pun sudah
besar-besar belaka. Dah boleh menikah pun. Abang sulungnya, Aryan yang
merupakan seorang bakal doktor. Jarak umur sebanyak 6 tahun menyebabkan Qaisara
tidak begitu rapat dengan Aryan. Lagipun, Aryan tidak banyak menghabiskan
masa di Malaysia kerana dia merupakan pelajar
perubatan di India. Dia cuma pulang ke Malaysia sekali-sekala saja. Tetapi
mereka tetap selalu berhubung melalui e-mail dan Skype. Amsyar pula merupakan
anak kedua daripada empat beradik itu. Dia berumur 21 tahun dan merupakan
pelajar jurusan kejuruteraan di Universiti Malaya. Qaisara sangat rapat dengan
Amsyar kerana Amsyar merupakan seorang abang yang sangat memahami berbanding
abang-abangnya yang lain. Segala masalah yang dihadapi oleh Qaisara pastinya
akan diluahkan kepada Amsyar. Di bahu itulah dia akan menangis kerana kesalkan
sesuatu. Bibir itu jugalah yang pertama akan tersenyum mendengar cerita-cerita
manis Qaisara. Abang terakhirnya pula bernama Akif. Qaisara muda setahun
daripada achiknya itu. Akif merupakan siswa jurusan undang-undang di UiTM
Shah Alam. Qaisara menganggap Akif sebagai teman sepermainannya saja kerana
abangnya yang itu sangat tidak boleh diharap untuk menyimpan rahsia. Ada saja
yang akan dibongkarkan kepada ayah dan ibu.
“Eh, tak siap lagi? Pukul berapa dah ni?”
Ayah menyapa setelah menolak daun pintu bilik Qaisara. Qaisara masih berpakaian
pijamanya yang berilustrasikan karakter-karakter dalam filem Cars. Qaisara
memandang ayahnya yang segak berkemeja hitam itu. Walaupun sudah berusia 45 tahun, ayah masih tampak seperti lelaki berusia 35 tahun. Masih segak bergaya
lagi. Sudah mahu berangkat ke pejabat, mungkin. Encik Mohd Kamal merupakan
seorang peguam yang sudah mempunyai firma guamannya sendiri. Malahan, dialah
yang menggesa Akif untuk memilih bidang undang-undang di universiti. Risau pula
tiada pewaris firma yang sudah diusahakannya hampir 20 tahun itu.
“Tak sihatlah, ayah. Pening,” adu Qaisara
sambil tangan kanannya tidak henti-henti memicit kepalanya yang berdenyut. Sungguh
kepalanya tersangatlah pening! Bukan alasan tidak mahu ke sekolah. Dia sangat
mahu menghadirkan diri ke sekolah kerana hari yang bertanggal 10 Oktober itu
merupakan tarikh hari lahirnya yang ke-17 tahun. Dia mahu mengerah Haikal dan
Alina untuk menaja makan tengah harinya di kantin hari itu. Lagipun dia mahu
merajuk dengan dua orang kawan baiknya itu kerana hal semalam. Sungguh keji
niatnya.
Ayah segera masuk ke dalam bilik bercat biru muda itu. Briefcasenya
diletakkan di atas katil. Dahi Qaisara segera disentuhkan dengan belakang
telapak tangan. Tak panas pun. Keningnya dijungkitkan. Budak ni betul-betul ke
ni?
“Qai tak demam, ayah. Qai pening aje sebab
semalam tak cukup tidur. Semalam tidur pukul 5.00 pagi,” cerita Qaisara dengan
jujur. Sungguh kali ini bukan akalnya untuk ponteng sekolah!
“Tidur lambat kenapa? Study?” Tegas saja
suara ayah menyoal. Masih tidak percaya dengan alasan yang baru diberikan oleh
si anak dara.
“Kalau Qai cakap ni mesti ayah marah
punya. Qai habiskan baca novel,” jawab Qaisara takut-takut. Sungguh alasannya
tidak akan diterima oleh sesiapa pun. Tetapi, sudah itu giannya. Kalau tidak
dihabiskan semalam pastinya hari ini dia tidak akan boleh hidup tenang. Asyik
terfikirkan pengakhiran kisah cinta dalam novel itu saja.
Ayah menggeleng-gelengkan kepala beberapa
kali. Sudah banyak kali Qaisara diingatkan supaya jangan membaca novel cinta
buat masa sekarang. Bukannya apa, dibimbangi prestasi pelajaran Qaisara akan
merosot saja. Lagipun, Qaisara bakal menduduki peperiksaan yang besar pada
penghujung tahun ini. Anak gadisnya itu perlukan persediaan yang secukupnya
untuk menentukan arah tuju kehidupan selepas alam persekolahan.
“Ini kali terakhir ayah benarkan Qaisara
membaca novel. Lepas ni jangan lagi nak pegang novel. Ayah tak reda kalau
Qaisara buat macam tu. Ingat, Qaisara perlu fokus dalam kelas. Masa membaca
novel itukan boleh dijadikan masa mengulang kaji pelajaran. Guna masa yang ada
dengan betul. Kalau pening sangat ayah benarkan Qaisara tak ke sekolah tapi cuma
hari ini.” Panjang lebar ayah menasihati Qaisara. Itulah tanda kasih seorang
ayah kepada anaknya.
Qaisara tertunduk sepi. Sedih dimarahi
ayah. Itulah, perkara yang dilarang nak jugak buat. Kan dah kena bebel. Namun,
kata-kata ayah memang ada benarnya.
“Ayah nak berangkat dah. Selamat hari
lahir, Airis Qaisara. Jangan ingat ayah lupa,” ucap ayah lalu menghulurkan
tangan. Qaisara pantas saja manyambut huluran tangan ayahnya itu. Dahi Qaisara
dicium lembut oleh si ayah. Ingat jugak ayah dengan hari lahir aku. Marah-marah
ayah pun mahu lagi dia ucapkan selamat hari lahir kat aku. Tapi aku memang
tengah tak ada mood sekarang ni. Kepala pening sangat. Bukan pening-pening lalat
okey! Nak tidur!
“Terima kasih, ayah.” Qaisara cuba juga
untuk tersenyum walaupun kepala dirasakan semakin berdenyut kuat. Ayah membalas
senyuman Qaisara. Wajah ayah dipandang lama. Kacak betul ayah. Rambut pun masih
hitam berkilat. Jarang kelihatan uban di atas kepala. Macam muda-mudi aje.
Lelaki separuh umur itu segera beredar
dari bilik anak daranya. Anak-anak remaja memang fiilnya lain sikit. Tak larat
nak nasihat, degil aje semuanya. Baik daripada abang sampai turun ke adik! Yang
dulu anak sulungnya keras kepala betul nak ikut bertanding jugak dalam
pertandingan skate board walaupun tengah demam. Dah kalau memang hobi, kan.
Qaisara merebahkan tubuh kecil moleknya di
atas tilam empuk bercadarkan corak kartun Toy’s Story. Perlahan-lahan dia cuba
memejamkan matanya. Nasib baik hari ni ABC.
ABC tu apa? Allah Bagi Cuti. Istilah itu
pun dia dapat daripada Haikal. Ada suatu hari tu, dia bersama-sama dengan
Haikal dan Alina sengaja pulang lewat ke rumah untuk study group di kantin
sekolah. Haikal yang sememangnya cerdik dan bijaksana dalam subjek Fizik dan
Matematik Tambahan memang selalu dikerahkan tenaganya untuk mengajar dua orang
teman baiknya itu. Tepat jarum jam menunjukkan pukul 5 petang, tiga sekawan itu
pun segera bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Qaisara yang tidak sabar-sabar
untuk pulang ke rumah lantas bangun dengan gembiranya. Baru saja dia mahu
mengatur langkah ke arah kereta ayahnya, suara Haikal terus menegurnya.
“Qai, kau ABC ke?”
Qaisara lantas menoleh ke arah Haikal yang
sedang duduk mengemas buku-buku di belakangnya. Alina di sebelah Haikal
dipandangnya sekilas. Macam mana dia tahu aku tengah teringin nak makan ABC ni?
“ABC? Aku memang tengah tak sabar nak
balik sebab aku nak ajak ayah singgah beli ABC dulu. Macam mana kau tahu?”
Qaisara memandang Haikal yang sedang tersengih-sengih macam siput lala busuk.
Pelik aku dengan mamat ni. Alina pun dah kerut seribu dahi dia. Buruk benar.
“Maksud aku kau tengah Allah Bagi Cuti ke?”
Makin panjang pulak sengihan Haikal ni. Macam nak mencecah ke telinga aje. Gusi
dia pun aku dah nampak. Entah dari manalah Haikal dapat istilah itu. Buat malu kaum perempuan aje!
“Hah?!” Qaisara terus terjerit kecil. Bocor ke? Dia
nampak ke?! Argh, malunya! Nak sorok mana muka aku ni? Malu! Malu!
Seminggu Qaisara cuba mengelak daripada
berjumpa Haikal. Diheretnya Alina bersama-sama memboikot Haikal hanya kerana
dia malu untuk bersemuka dengan lelaki itu setelah ‘Peristiwa Petang Berdarah’
itu. Tapi kalau sudah berkawan baik, hendak lari ke hujung dunia pun tak akan
pernah boleh. Sejauh mana berenggang pun pasti akan bergelak ketawa dan
menangis bersama. Kalau sudah namanya kawan sejati.
**********
“Lina, Qai mana?” Soal Haikal
apabila hanya Alina yang kelihatan menghampirinya yang sedang duduk mengunyah
roti berkrim jagung kesukaannya itu. Alina ambil tempat duduk berhadapan dengan
Haikal. Bekal nasi lemak dibukakan kertas balutannya.
“Qai tak datang pulak hari ni. Entah
kenapalah dengan minah tu,” jawab Alina lalu menyuap nasi lemak berlauk ikan
kering ke dalam mulutnya. Hilang moodnya untuk hari itu kerana Qaisara tidak
hadir ke sekolah.
“Lah, kenapa tak datang pulak?” Soal
Haikal tidak puas hati. Satu geng kalau tak cukup sorang memang tak lengkaplah
geng tu.
“Kau ni, tolong imbas semula ayat aku yang
tadi.”
“Sorry.” Haikal tersengih sambil
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Budak Alina ni kalau dah tak ada
Qaisara memang moodnya tak menantu. Kembar siamlah katakan. Nanti tak
pasal-pasal aku yang kena sembur.
“Lina, petang nanti kau jangan lupa datang
rumah aku pulak. Nanti aku call Qaisara. Korang kan kata nak aku ajarkan Add
Math cover chapter Form 4 punya. Petang ni jangan lupa pulak. Sementara aku
tengah tak sibuk ni,” sambung Haikal lagi. Dia memang sangat mengambil berat
akan pelajaran kedua-dua orang kawan baiknya itu.
“Okey. Pukul 4 aku sampai kat rumah kau,”
sahut Alina sambil melipat kertas pembalut nasi lemak. Sengaja dia membawa dua
bungkus nasi lemak untuk diberikan kepada Qaisara supaya Qaisara tidak
marahkannya tentang hal semalam. Tetapi dia yang hampa apabila batang hidung
Qaisara tidak kelihatan langsung pada hari itu. Pokemon betul Qaisara ni!
Kalau la I kenal Haikal sebelum ambik SPM dulu, dah lama mintak dia yang ajarkan! >.<
ReplyDeleteKalau lelaki hensem yang ajarkan i pun mahuuuuu. aum aum! XD
Delete