Monday, 4 February 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 2





     “Dia bergaya, kan? Tampan. Dialah jejaka yang paling handsome kat sekolah kita ni,” kata Qaisara sambil memejam-mejamkan matanya. Membayangkan wajah lelaki yang sedang diperkatakannya. Kalaulah aku dapat berkawan dengan kau, akan aku buat kau tersenyum sepanjang hari. Tak adalah masam aje muka kau yang kacak tu. Tapi kalau aku dapat berkasih-kasihan dengan kau, akan aku bahagiakan hidup kau. Mengada sungguh aku ni!



     “Kau cakap pasal aku ke?” Haikal tersengih sambil memandang ke arah gadis kecil molek di hadapannya. Roti berkrim jagung disuap ke dalam mulutnya. Sudah menjadi tabiatnya makan dengan dua orang sahabat baiknya itu di kantin sekolah pada waktu rehat.


     Bukan dia tidak punya kawan lelaki, namun dia lebih selesa bergaul dengan Qaisara dan Alina. Namun dia tetap berkawan dengan yang lain-lain. Tahu sajalah kalau lelaki sama lelaki apa yang akan terjadi. Mesti merapu yang bukan-bukan punya! Lagipun, Haikal bukanlah jenis remaja yang suka merapu tidak tentu hala. Dia ada matlamat yang perlu dicapainya dalam kehidupan.



     “Qaisara ni dah tangkap cintan dengan Firas.” Alina pantas meluahkan kebenarannya untuk didengari oleh Haikal. Dia segera mengambil tempat di sebelah Qaisara. Semangkuk mi kuah diberikan kepada Qaisara. Qaisara pantas mencapai dan disuapnya mi kuah itu dengan penuh kenikmatan. Mi kuah Mak Cik Kantin memang yang terbaik di dunia!



   “Firas Daniyal? Ketua Pengawas yang perasan bagus tu?” Terbuntang mata Haikal mendengarkan nama lelaki itu. Hampir terkeluar balik roti berkrim jagung yang sedang giat dikunyahnya itu. Qaisara minat Firas? Budak tomboi pun ada crush ke? Tapi kenapa mesti Firas Daniyal? Tak ada orang lain ke? Sukar untuk dipercayai sungguh!



     “Hoi, kau jaga-jaga sikit mulut tu! Aku cili kang! Aku yang tak pernah minat sesiapa pun boleh cair tengok si Firas tu. Berkarisma betul.” Matanya segera terbuka luas setelah mendengarkan soalan minta penampar daripada Haikal itu. Perasan bagus ke perasan elok ke aku peduli apa? Aku tetap suka dia. Yang lain tak penting.



     Alina yang baru mencapai sudu mi kuahnya segera buat muka nak muntah. Berkarisma ke? Lembik aje aku tengok. Takat buat muka serius memanjang aku pun boleh. Berkarisma lagi si Haikal ni. Eh?


     Haikal angkat kening sebelah. Macam tak percaya aje si Qaisara budak tomboi Taman Cendekiawan minat seseorang. Dan seseorang itu pulak adalah Firas Daniyal yang selalu ambil namanya setiap pagi akibat datang lewat. Sudahlah dia meluat akan Firas, kini dia baru tahu yang sahabat baiknya sendiri minat budak lelaki itu. Cari orang lainlah, Qaisara oi! 


    Pernah satu hari itu Haikal terlewat bangun pagi untuk ke sekolah. Bila sudah terlewat bangun sudah pastilah sampai ke sekolah pun lewat. Kalau 5 minit tak apa jugak, tapi 20 minit dia lewat! Tiba saja di hadapan pagar sekolah, dua orang pengawas lelaki sudah setia menanti pelajar lewat sepertinya untuk diambil nama. Salah seorang daripada pengawas itu adalah Firas Daniyallah! Haikal pun apa lagi, sengaja dia menunggang laju motosikalnya. Mahu melepasi pengawas-pengawas tersebut. Tergesa-gesa saja dia memarkirkan motosikalnya lalu berlari ke kelas.


    Sangkanya, dia sudah terlepas daripada diambil nama untuk diberikan kepada Guru Disiplin. Tetapi baru 5 minit letak punggung dalam kelasnya, wajah Firas Daniyal sudah terjengul di pintu hadapan kelas 6 Cengkih Atas itu. Terkedu Haikal dibuatnya. Firas lantas mengetuk pintu kelas dan meminta izin daripada Cikgu Azman yang sedang mengajar subjek Pengajian Am untuk berjumpa dengan Haikal. Keluar saja dari kelas, Firas sudah menampakkan senyuman sinis kepada Haikal. Mahu tidak mahu, terpaksa juga Haikal menulis namanya sendiri dan menurunkan tanda tangan di dalam Buku Rekod Pelajar Lewat milik lelaki yang sedang berdiri tegak di hadapannya itu. Sejak itulah Haikal menggelar Firas sebagai budak perasan bagus. Memang betul pun sebenarnya.


     Tiba-tiba seorang lelaki berpakaian baju pengawas berwarna biru muda datang menghampiri meja yang diduduki mereka bertiga. Haikal dan Alina kaget. Qaisara masih menyuap mi kuah ke dalam mulutnya. Sedap sungguh mi kuah Mak Cik Kantin!



     “Abang, meja lain dah penuh. Boleh saya duduk sini?” Firas sudah mula menarik kerusi plastik di sebelah seniornya itu. Wajahnya masih serius seperti biasa. Tidak pernah lelaki berkulit sawo matang itu memperlihatkan segaris senyuman di wajahnya. Ketua Pengawas kenalah bermuka serius dan garang. Barulah pelajar lain hormat!


     “Err, duduklah. Kami pun dah habis makan sebenarnya.” Haikal segera memberikan isyarat bangun kepada Alina yang sedang duduk berhadapan dengannya. Qaisara dah makan tak ingat dunia. Pantas saja Alina menendang kaki Haikal di bawah meja. Giliran Alina pula yang memberi isyarat dengan membeliakkan dua biji matanya seperti berkata ‘duduk ajelah!’. Kalau bangun cepat-cepat karang mamat ni ingat kita tak suka dia pulak. Susah kalau dah berurusan dengan mamat perasan bagus macam ni. Tak pasal aje dapat bala nanti. Bukan boleh harap sangat ni.


     Qaisara yang sedang leka menikmati mi kuahnya masih tidak menyedari situasi itu. Macam mana nak sedar bila dah dapat mi kuah tu kepalanya tidak dipanggung-panggung dari tadi. Suara Firas yang menyapa mereka pun pastinya tidak didengari  oleh Qaisara. Suapan mi kuah yang masih berbaki diteruskan.



     “Firas tu tak adalah buruk sangat. Ada jugak rupa dari kau, Kal.” Qaisara yang masih mengunyah mi bersuara memberikan komen tentang tajuk perbicaraan mereka. Kepalanya masih belum diangkat. Kuah mi dihirupnya penuh kenikmatan. Sebenarnya, perutnya tersangatlah lapar! Pagi tadi dia tidak sempat bersarapan kerana terlewat bangun. Macam mana tak lewat bangun kalau jarum jam sudah menunjukkan ke arah 3 pagi baru dia mahu bergerak ke katil. Leka sangat membaca novel cinta yang baru dipinjamnya daripada Alina dua hari lepas.


     Firas tersentak. Hampir tersembur keluar nasi goreng ayam yang sedang dikunyah dalam mulutnya. Matanya lurus memandang Qaisara yang duduk bertentangan dengannya. Keningnya dijungkit-jungkit. Minta penjelasan.


       Qaisara tepuk dahi. Er, Firas Daniyal? Matilah!



    Haikal buang pandang ke arah lain. Buat tak kenal ajelah si Qaisara ni. Buat malu aku aje. Kalau tak buat hal sehari memang tak sah! Aku yang kena buat muka tembok.


     “Eh, kau siapa? Aku tak kenal kau pun. Sembang dengan siapa? Haikal, kau kenal minah ni tak?” Alina cuit bahu Qaisara. Matanya dikecilkan untuk memberi isyarat amaran kepada sahabat baiknya itu. Harap kau sedarlah, kawanku!


     Qaisara pantas mengangkat muka. Terkejut dengan kata-kata Alina yang baru saja didengarinya itu. Sejurus itu, wajah Firas yang tegang segera menerpa ke dalam matanya. Matanya mencerlung melawan panahan mata Qaisara.  Qaisara teguk air liur. Dia duduk kat depan aku aje? Dia dengar ke? Habislah dia tahu aku minat dia. Nasib baik tak ada kutuk lebih-lebih tadi.


     “Yalah, aku tak kenal pun dia ni. Jomlah, Lina. Dah nak habis waktu rehat ni,” balas Haikal sambil menarik hujung baju Alina. Baru aku fikir nak buat-buat tak kenal si Qaisara ni Alina dah menafsirkannya melalui kata-kata. Bijak sungguh! Haikal segera mengangkat punggung. Isyarat mata yang bermaksud ‘jom’ diberikan kepada Alina.



    Haikal dan Alina segera beredar meninggalkan Qaisara bersendirian dengan Firas. Daripada perlu berhadapan dengan Firas si Ketua Pengawas perasan bagus tu lebih baik mereka larikan diri dulu. Kelas masing-masing dituju. Alina mengatur langkah dengan penuh rasa bersalah yang berkocak dalam dadanya. Tak patut dia tinggalkan Qaisara berhadapan dengan Firas sendirian tadi. Haikal pula rasa nak hentak kepala pada dinding. Buat malu betul budak Qaisara ni.



     Lain pula situasinya di kantin tadi. Qaisara memang sudah menggigil kepala lutut apabila terpandangkan wajah tegang Firas di hadapannya. Segaris senyuman sinis terlukis elok pada wajah lelaki itu. Qaisara gigit bibir. Hatinya menyebut-nyebut nama Haikal dan Alina berulang kali. Tak guna punya kawan boleh lari macam itu aje. Dulu kata senang susah sama-sama. Pirahhhhh!



     “Aku tak marah pun kalau korang tengah kutuk aku tadi. Sekurang-kurangnya aku tahu korang bersembang pasal aku.” Berdesing telinga Qaisara mendengarkan kata-kata yang baru dilontarkan oleh lelaki itu. Benarlah, lelaki berjawatan Ketua Pengawas itu memang perasan bagus. Ingat aku hadap sangat nak bercakap pasal kau? Huh!



    Qaisara diam. Tiada sepatah perkataan pun yang dapat dikeluarkan dari mulutnya. Memang dia mahu membalas setiap butir patah perkataan yang terpacul dari mulut lelaki tinggi lampai itu. Namun, lidahnya kelu. Pertama kali dia berhadapan dengan FIras memang seluruh anggota badannya menjadi beku. Apa yang dia tahu hanyalah perasaan malu kerana terkantoi dalam situasi yang sangat tidak munasabah itu. Kalaulah dia tidak begitu asyik makan. Kalaulah dia sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Kalaulah...


     “Eh, kau dah salah faham ni. Kami tak sembang pasal kau pun. Kau salah dengar ni. Kau ingat sorang aje ke yang namanya Firas? Berjuta-juta orang lagi, tahu! Aku tak teringin pun nak cakap pasal kau,” tungkas Qaisara. Dia tidak mahu kelihatan bodoh di hadapan lelaki itu. Tidak sekali-kali!



      Firas mengerutkan dahinya. Betul ke minah ni? Atau dia kelentong aku? Bukan boleh percaya sangat kalau dah berkawan dengan Khalis Haikal yang perasan macho tu. Sakit hati betul dengan mamat tu. Hari-hari datang lewat tapi boleh tayang muka tak bersalah. Naik muak aku tengok muka dia. Tapi kata-kata budak perempuan ini tersangatlah pedas! Sakit hati aku!



     “Okeylah, aku ciao dulu. Sudah-sudahlah perasan kami sembang pasal kau ya. Adios!” Qaisara segera angkat kaki meninggalkan Firas yang terkebil-kebil memandangnya. Baik aku cabut sebelum dia tanya macam-macam.



     Langkah diatur untuk kembali ke kelas. Rasa malu dan geram bercampur-baur dalam hatinya. Malu dengan Firas. Geram dengan Haikal dan Alina. Niat di hati mahu dibelasahnya Alina dan Haikal cukup-cukup. Sampai hati buat macam ini. Aku nak merajuk dengan dua orang tu. 




4 comments:

  1. hahaha.. kenapa si firas ni macam kerek? ggrr~

    ReplyDelete
  2. Kalau rasa dia kerek maka kereklah dia. Muahaha. :p

    ReplyDelete
  3. Berkasih-kasihan? Oh myyyy~ hahahahaha

    thumbs up!

    ReplyDelete