Saturday, 2 February 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 1







     Suara hingar-bingar manusia yang mendiami kelas 5 Cengkih begitu membingitkan sepasang telinga milik Airis Qaisara yang baru hendak melabuhkan punggungnya ke atas kerusi plastik di hadapan meja belajar. Tak boleh bising lagi ke? Macam pasar malam! Baru naik tangga pun dah dengar betapa tak damainya kelas yang terletak di tingkat dua blok C Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Cendekiawan itu. Yang pengetua pun satu, kenapalah dia letak nama rempah sebagai nama kelas. Cengkihlah, lawanglah, ketumbarlah, kayu manislah, jintanlah. Nasib baik ada lima kelas saja. Kalau tak, tak tahulah kut-kut diletaknya nama sayur-sayuran pula. Tak pernah dibuat orang! Agaknya sebab pengetua tu ada darah keturunan India, kot? Orang India kan pandai bab-bab rempah-ratus. 


     Jam pada dinding hadapan kelas tingkatan lima itu dikerling sekali imbas. Sudah jam 7.30 pagi. Lambat juga aku datang sekolah hari ini. Nasib baik sempat lari daripada dikejar pengawas bertugas yang terlebih bertauliah itu. Kalau tak, mahunya kena lari 10 pusingan padang di belakang sekolah itu. Bukan kecil luas padang itu. Kalau nak buat satu kawasan perumahan pun boleh. Ngeri sungguh kalau kena denda macam itu. Mahunya esok tak datang sekolah sebab kaki tercabut!



   “Sara, kau dah siap kerja sekolah yang Cikgu Anis bagi kemarin?” Pertanyaan Alina menghentikan lamunan Qaisara. Alina atau nama sebenarnya Alina Syakirah yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan kerja sekolah subjek Bahasa Melayu di sebelahnya dipandang. Kepalanya digaru walaupun tidak gatal. Ada kerja sekolah ke? Aku senang-senang aje pergi main futsal dengan abang-abang aku semalam. Eh, baru aku teringat apa yang Alina tersilap tadi.



      “Hoi! Kau panggil aku apa tadi? Kan aku dah cakap panggil aku Qai. Q. A. I. Sara, Sara. Siapa Sara?” Gadis bertubuh kecil molek itu mengeja satu-satu huruf nama panggilan yang digemarinya itu. Geram betul hatinya. Sudah berulang kali Alina diingatkan supaya memanggilnya dengan nama Qai. Mata sepet Alina terkebil-kebil, tersentak dengan suara Qaisara yang serupa kereta api baru lalu di sebelahnya. Mahu satu kelas terdiam akibat tengkingan Qaisara tadi. Beberapa saat kemudian kelas kembali menjadi seperti pasar. Bising!



     “Sorrylah geng! Aku tak sengaja,” Alina menayangkan dua batang jarinya ke muka Qaisara. Lambang ‘peace’. Qaisara merengus geram. Alina dipandang seperti mahu ditelannya hidup-hidup. Besar kecik, besar kecik aje aku nampak si Alina kat depan aku sekarang ni!



     Seorang lagi sahabat karib mereka mula menampakkan diri di belakang kelas. Khalis Haikal melambai-lambai ke arah Qaisara dan Alina. Selepas dipastikan tiada guru di dalam kelas 5 Cengkih itu barulah lelaki tinggi lampai itu mendekati dua orang gadis yang terang-terang sedang bertegang urat.



     “Apa hal ni? Dari luar dah terasa bahang kemarahan.” Haikal memulakan bicara apabila terpandangkan muka bengang Qaisara. Buruk benar. Tangan kanannya laju saja menarik tudung Qaisara ke belakang. Sengaja mahu menyakat sahabat baiknya itu. Habis senget tudung putih yang dipakai di kepala Qaisara akibat dikerjakan lelaki itu. Muka Qaisara yang menyinga bertambah garang.



     “Hoi, janganlah! Kau memang nak kena dengan aku, Haikal!” Qaisara segera membuka langkah. Bersedia mahu mengejar Haikal seandainya lelaki itu mahu lari daripadanya. Sudah menjadi kebiasaan mereka bertiga berkejaran selepas mengenakan satu sama lain. Macam cerita hindustan! Cumanya mereka bukanlah pasangan yang sedang mabuk bercinta. Kadang-kadang macam cerita cinta tiga segi saja apabila yang berkerjaran itu adalah dua orang perempuan dan seorang lelaki. Qaisara dan Haikal hanyalah pasangan sahabat baik yang sudah bersahabat sejak di bangku sekolah rendah lagi. Apabila berganjak ke sekolah menengah, mereka bertemu pula dengan Alina yang sememangnya satu kepala dengan mereka. Mereka terlalu akrab sehingga kadang-kala mereka lupa bahawa mereka adalah ajnabi yang boleh berkahwin. Terlalu akrab lebih daripada saudara sendiri. Namun, Haikal bukanlah seorang lelaki yang suka mengambil kesempatan. Malahan, Qaisara dan Alina dilindunginya dengan sebaik mungkin. Dia masih tahu batasannya sebagai seorang lelaki. Dia juga sedar status dua orang gadis itu sebagai anak dara orang.



     Qaisara pula sudah terlalu biasa dilayani sebegitu oleh Haikal. Hal ini adalah kerana dia adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarganya. Tambahan pula dia merupakan anak bongsu dan mempunyai tiga orang abang sebelumnya. Sudah sah-sahlah seorang gadis yang bernama Airis Qaisara Mohd Kamal itu terbentuk dengan kasar. Semuanya berpunca daripada faktor persekitaran yang dibesarkan dalam golongan adik beradiknya yang kesemuanya adalah lelaki. Namun, Qaisara sangat disayangi dalam keluarganya. Anak bongsu, kan. Tambah-tambah lagi satu-satunya perempuan. Dialah cinta sejati ayah dan ibu. Dialah jugak buah hati kesayangan abang-abangnya.



     Lima minit dinanti namun Haikal masih tidak berganjak dari kedudukannya. Sibuk pula dia membelek ‘sesuatu’ di atas meja belajar kepunyaan Qaisara. ‘Sesuatu’?! Qaisara tersentak lalu ditolaknya tubuh Haikal ke tepi. Alina yang tidak menyedari perbuatan Haikal itu turut menghampiri Qaisara yang dilihatnya tergesa-gesa membaca sesuatu di atas meja belajar.



     ‘Airis Qaisara, jika kau katakan bulan purnama pada malam hari itu terlalu indah, kau adalah lebih indah daripada bulan itu. –HK’



     Qaisara terpempan sejurus membaca bait-bait perkataan yang tersusun elok atas sehelai kertas nota kecil berwarna putih itu. Elok saja kertas nota itu melekap di bawah plastik meja belajarnya. Amboi, romantiknya! Lagi romantik kalau aku dapat kejar kau keliling sekolah dengan penyapu! Aku tak suka, tahu! Tapi aku tak kenal siapa kau. Getus hati Qaisara.



     “Seronoklah orang tu, tiap-tiap hari dapat nota cinta,” Alina bersuara tiba-tiba. Ayat berbaur cemburu tu! Ewah, macamlah aku suka sangat dapat ayat jiwang tiap-tiap hari. Sudahlah aku tak kenal siapa pengirimnya. Sepuluh kali aku suka kalau Man Skema yang bagi. Sekurang-kurangnya aku tahu siapa pengirimnya walaupun Man Skema itu tahap keskemaannya tiada siapa boleh tandingi. Qaisara mencemik. Haikal buat muka tak faham. Tak pernah pulak Alina atau Qaisara menceritakan tentang alkisah nota cinta itu kepadanya. Kata BFF. Hatinya sedikit terkilan.



     “Kat sekolah kita ada yang namanya HK ke? Macam tak ada aje. Kalau ada mesti tak handsome. Kalau handsome dah lama aku kenal,” Qaisara gelak berdekah-dekah. Lucu dengan jenakanya sendiri. Haikal memandangnya serius. Seperti sedang memikirkan strategi peperangan lagaknya. Mindanya masih bercelaru. Tidak tahu hujung pangkal cerita. Alina buat muka meluat. Loya rasa tekaknya.



     “Kalau tak ada, mungkin dia guna nama samaran. Tak pun, ada orang yang nak kenakan kau. Aku rasa lebih baik kau jangan percaya sangat dengan nota-nota cinta ni semua. Aku risau kalau ada orang yang nak bahankan kau aje. Aku kenal kau dari sekolah rendah lagi, aku tak nak kau kecewa,” suara Haikal pula yang memecah kesunyian. Dia seperti dapat menghidu cerita sebenar di sebalik nota cinta dan kata-kata Qaisara sebentar tadi.



     Qaisara terdiam. Ada benarnya kata-kata sahabat baiknya itu. Tapi nak hairan apa, bukan dia suka sangat dengan ayat-ayat jiwang yang diletakkan di atas mejanya hampir setiap hari itu. Tak suka pun sebenarnya.



     Tiba-tiba tiga sekawan itu dihampiri oleh seorang pelajar lelaki yang berkaca mata berbingkai penuh yang tebal dan berwarna hitam. Qaisara mengangkat muka apabila berasa ada sebatang tubuh sedang berdiri di hadapan meja belajarnya. Ek eleh, Man Skema rupanya! Baru aje aku sebut namanya dalam hati. Weh, dengar ayat macam nak ditujukan kepada kekasih hati aje. Man Skema jadi kekasih hati aku? Tak mahu! Tak mahu!



     “Qai.. Qaisara, ta..di.. tadi.. aaa.. ada.. o.. rang..ba..bagi..ni,” tergagap-gagap Man Skema menuturkan sebaris ayat itu kepada Qaisara. Sudahlah skema, gagap pulak tu! Kesian betul. Seluar tu kalau boleh nak pakai sampai ke dada. Qaisara pantas menggeleng-geleng setelah terlihatkan lelaki yang memiliki nama penuh Luqman Arif itu.



     Man Skema lantas meletakkan sebuah kotak berwarna merah yang lengkap beriben. Wajah Qaisara yang menjadi idamannya dipandang sekilas. Cantiknya dia. Bidadari ke apa dia ni? Kalaulah dia tak ada bodyguard si Khalis Haikal yang perasan macho tu pasti aku yang selalu di samping gadis manis ini. Man Skema berdialog dalam hatinya. 



     Alina pantas merebut kotak hadiah berwarna merah dalam pegangan Qaisara itu setelah Man Skema beredar. Hard-die-fan sungguh orang yang sering memberikan nota cinta dan hadiah itu. Dulu Qaisara pernah diberi hadiah pensel kayu yang ada pemadam berbentuk seekor beruang comel di atasnya. Kemudian, sebuah kotak yang mengandungi klip-klip kertas yang berbentuk hati ditemui oleh Qaisara di bawah mejanya. Alina pasti semua ini adalah kerja orang yang sama. Sedikit sebanyak dia turut berasa cemburu dengan Qaisara. Haikal buat muka tak faham dari tadi lagi. Sungguh dia tak faham! Dia cuma mampu menyaksikan gelagat dan celoteh kedua-dua orang sahabat baiknya itu.



     “Hoi, suka hati kau aje rebut hadiah aku! Aku siku kang minah senget ni,” suara Qaisara keras memarahi tindakan sahabat baiknya itu. Kotak hadiah itu segera direbut kembali. Aku pun tak buka lagi, dia yang sibuk.



     Kotak hadiah itu dibuka balutannya dengan teliti. Sayang jika tidak dibuka dengan cermat. Kemas betul balutannya. Mesti pengirimnya jenis yang sentiasa kemas dan kacak. Eh, tapi kalau upah balut dekat kedai nak buat apa! Tarik balik pujian tadi. Mesti dia ini jenis pemalas. Nah kutukan!



     “La, keychain aje peminat kau bagi. Aku ingat apalah tadi.” Alina menjeling ke arah Qaisara yang sedang mengeluarkan keychain patung Angry Bird yang berwarna merah hati. Huh, tak ada apa yang nak dibanggakan pun kalau dapat keychain aje! Tak jadilah nak cemburu.



     “Itulah! Aku ingat dia nak bagi kamus baru ke, tudung sekolah baru ke. Alih-alih keychain aje. Angry Bird pulak tu! Harap kotak aje besar. Keychain kecik, kalau bagi dua tiga ekor okeylah jugak. Boleh aku bagi korang sorang sekor. Hampeh betul!” Qaisara sudah mula membebel serupa mak nenek. Bengang betul. Buat saspen aje tadi.



     Bunyi kasut tumit tinggi mematikan perbualan tiga orang sahabat itu. Haikal cepat-cepat beredar apabila Cikgu Zahlia memberi salam untuk masuk ke kelas tingkatan lima itu. Terkocoh-kocoh dia bergerak ke kelasnya. Terlupa pula dia harus ke makmal Fizik untuk kelas pada pagi itu. Qaisara dan Alina merupakan sahabat karibnya yang muda dua tahun daripadanya. Kalau dua orang gadis itu bakal menduduki SPM pada hujung tahun itu, Haikal pula sedang berhempas-pulas untuk mendapatkan gred yang bagus dalam setiap matapelajaran yang diambilnya untuk STPM.    




2 comments:

  1. Ngeeee. Teringin nak ada kawan umur macam haikal. huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kenapa? Tak boleh! Nanti you terjatuh cinta. kekeke. XD

      Delete