Tuesday 7 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 6







     Pagi itu merupakan pagi yang indah buat Qaisara. Tidurnya sangat nyenyak dan aman. Tidak pernah dia berasa tenang sebegitu selama hayatnya. Mungkin kerana dia tidur di katil sendiri, di dalam bilik sendiri dan di rumah sendiri. Inilah yang dikatakan ‘rumahku syurgaku’, kan.


   “Sara, ibu suruh bangun mandi. Kita nak pergi beli ayam di pasar,” laung Amsyar sambil tangannya tidak henti-henti mengetuk pintu bilik Qaisara.  Orang baru balik dari UK ni ‘body alarm’nya lain sikit. Entah-entah aku kejut ni pun dia baru nak terlelap.


    Qaisara segera bangun dan berjalan ke arah pintu biliknya. Tombol dipulas dengan rasa sebal. Aku baru nak mimpi sampai ke bintang ada saja yang mahu mengacau! Ini ajelah yang tak seronok di rumah sendiri, pagi-pagi ada saja yang terlebih baik hati mahu mengejut bangun subuh. Orang ada jam locenglah!


    “Angah, baru pukul 6. Bilal pun belum pergi surau lagi. Bangun 6.45 pun sempatlah!” Ujar Qaisara sambil menggosok-gosok matanya.


   “Ibu cakap kalau lambat nanti ayam segar habis, tinggal ayam pencen pulak. Sara rajin ke nak merebus ayam-ayam pencen?”   


    “Iya, Sara pergi mandi dan bersiap, okey? Jangan bebellah! Lelaki membebel tak macho langsung!” Tangannya cepat saja menyentuh rambut Amsyar yang sudah disisir rapi. Dia tahu abangnya itu sudah mandi. Sengaja dia mahu menyakat.



   “Ish, janganlah! Orang dah mandilah!” Amsyar melarang lalu membetulkan rambutnya yang sudah  kusut dikerjakan Qaisara. Aset ni, kalau rosak habis saham jatuh.


     “Nak jaga sahamlah konon! Girlfriendnya tak ada pun.”


     Qaisara mencapai tuala mandi lalu mula membersihkan diri. Elok saja dia keluar dari bilik air, suara azan pun berkumandang. Selesai solat subuh berjemaah bersama-sama ahli  keluarganya, mereka bersarapan pagi pula. Tepat jam 7 pagi, mereka berempat pun keluar membeli bahan-bahan basah dan bahan-bahan kering untuk keperluan kenduri kesyukuran pada keesokan harinya.


     “Ibu, kenapa beli banyak sangat barang ni? Kita jemput satu KL ke?” Soal Qaisara kepada Puan Aminah dalam perjalanan pulang ke rumah dari pasar. Ibu beli barang mengalahkan orang buat kenduri kahwin!


     “Ibu jemput saudara-mara dan jiran tetangga saja. Tak adalah ramai mana pun tapi ayah kamu nak percepatkan kendurinya.”


      “Kenapa pulak nak percepatkan? Kan semua dah ambil cuti esok?”


     “Sebab esok ada ceramah selepas maghrib di surau. Kalau kita buat jugak kan bertembung dengan ceramah tu,” jelas Aryan pula. Matanya masih memberikan penumpuan yang sepenuhnya pada jalan raya.


       “Habis, nak buat kenduri tu bila pulak?”


       “Malam ni,” jawab Puan Aminah pendek.


    “Habis siapa yang nak kerjakan ayam, kambing dan ikan ni semua?” Soal Qaisara lagi. Kalau mereka berempat saja yang ingin menyiapkan segala lauk-pauk, memang kuruslah! Sudahlah ibu beli barang-barang ini semua untuk 200 orang makan. Kalau 50 orang, masih boleh dipertimbangkan lagi. Aku yang sememangnya kurus, boleh kurus lagi nanti. Ewah!


     “Ala, kita kan ada 4 orang. Kita bahagi la tugas. Lagipun, ayah dan achik balik tengah hari nanti. Kita boleh buat la. Chaiyok! Chaiyok!” Laung Amsyar dengan penuh semangat. Qaisara menggeleng-gelengkan kepalanya. Abang aku yang satu ini memang tak betul! Umur sudah 28 tahun tetapi perangai masih lagi seperti kanak-kanak 8 tahun.


    "Petang nanti Sara dengan angah pergi hantar sejadah dan telekung ke masjid, ya? Barang dah sampai kemarin. Tinggal nak dihantar aje," pinta Puan Aminah.


     "Masjid mana, ibu?" Aryan bertanya sambil tangannya memusing stereng kereta untuk membelok ke arah kanan.


     "Masjid yang kita selalu pergi solat terawih tu. Yang kamu dok pergi solat jumaat."


     "Yang tepi tasik tu?" Qaisara cuba mengingat rupa masjid itu. Sudah bertahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia, memang dia tidak berapa ingat. Yang dia ingat dia selalu melepak dengan Haikal dan Alina di tepi tasik itu setelah kepala mereka tepu dengan nota-nota pelajaran di sekolah menengah dahulu.


       "Iya."


     "Ayah yang sedekah ke?" Soal Amsyar pula. Dia pun sudah sedia maklum bahawa ayah memang suka bersedekah. Malangnya ayah tidak punya waktu untuk melakukan amalan itu sendiri. Jadi, si isterilah yang perlu menguruskan segala-galanya.


     "Ayah yang bagi duit, ibu yang order. Nanti dah selesai siapkan makanan kamu berdua pergi hantar," balas Puan Aminah sebelum menolak pintu kereta. Dah sampai rumah ni, tugas pun sudah bermula! 


**********          


     Haikal menarik nafas dalam. Pelan bangunan muziumnya yang baru saja ditolak oleh bos baru itu dijeling. Umur baru setahun jagung sudah jadi bos di sini! Aku yang agak lama bekerja ini lebih banyak pengalaman daripada dia. Giginya diketap geram. Sehari semalam dia bersengkang mata menyiapkan pelan bangunan muzium itu tetapi telah ditolak mentah-mentah oleh bos yang baru ditugaskan menguruskan syarikat besar itu hari ini. 


    Pada mulanya, lukisan pelan bangunan muzium itu dipuji melambung oleh Ketua Arkitek Syarikat Pembinaan Alam Damai Holdings itu, iaitu Encik Alfian. Entah dari mana datangnya budak mentah itu pun Haikal tidak tahu. Tiba-tiba saja meminta kertas lukisan pelan itu daripada Encik Alfian lalu mengarahkannya untuk membuat semula pelan bangunan muzium itu.


     Sedangkan bagi Haikal sendiri, pelan bangunan muzium itu sudah cukup sempurna. Seorang arkitek berkelulusan dari universiti terkemuka di Jerman sepertinya tidak mungkin akan membuat pelan yang halai-balai saja. Bukanlah dia mahu meninggi diri, tetapi dia tahu dan sedar akan kebolehan dirinya sendiri. Pertama kali Encik Alfian yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut melihat pelan bangunan itu pun dia sudah memuji-muji hasil kerja Haikal, ini pula budak mentah yang baru masuk kerja sehari.


     Dia merengus kasar. Hatinya masih belum puas. Dia bangun dari duduknya lalu menghayunkan langkah ke bilik Pembantu Pengarah Alam Damai Holdings yang terletak di tingkat 5 bangunan itu.


     Tanpa mengetuk pintu bilik terlebih dahulu, Haikal terus masuk dan berdiri betul-betul di hadapan meja bos barunya itu.


     “Kau tak puas hati apa dengan aku? Encik Alfian sendiri yang kata design aku dah cantik.” Haikal memulakan bicara. Sedaya upaya dia cuba mengawal kelantangan suaranya. Bimbang hal lain pula yang bakal terjadi antara mereka berdua.


     “Aku bos kau. Kau wajib patuh setiap arahan aku,” balas lelaki berkaca mata itu sambil tersenyum sinis. Kepalanya masih tidak diangkat. Laju saja tangannya menandatangani dokumen-dokumen penting yang baru  diserahkan oleh ayahnya, Datuk Adi Dharma sebentar tadi. Perlu ke layan orang yang pentingkan diri sendiri macam dia ni? Sekarang aku bos dia, suka hati akulah nak buat apa pun!


     “Firas Daniyal, tak semestinya kau boleh buat sesuka hati kau bila kau dah jadi bos kat sini.”


   Firas segera memanggungkan kepala. Pandangan matanya menikam renungan tajam Haikal.


    “Boss is always right, Khalis Haikal. Always remember that,” jawab Firas. Bongkak.


     “Kau tak payah nak berlagak sangat dengan aku! Kalau setakat pembantu aje aku tak hairanlah!” Haikal tidak dapat lagi menahan api amarahnya. Suaranya bergema di seluruh ruang bilik yang besarnya tiga kali ganda dari bilik kerjanya itu.


     “Kau keluar sekarang. Pergi buat balik pelan tu,” arah Firas. Matanya kembali diarahkan pada dokumen-dokumen di hadapannya. Hari pertama masuk kerja ini kena tunjuk bagus sedikit. Sudahlah ayah pergi mesyuarat di Pulau Pinang hari ini, jadi aku kena tunjuk yang aku boleh uruskan syarikat ini tanpa ayah.


     “Aku tak akan buat balik. Jangan ingat senang-senang aku nak tunduk kat kau.” Haikal menghempaskan pintu bilik itu lalu berjalan ke arah lif dengan hati yang panas. Butang ‘G’ ditekan seraya dia mencari-cari kunci kereta di dalam poket seluarnya. Kalau hati tengah bengang macam ni buat kerja apa pun tak akan menjadi. Baik aku pergi tenangkan diri dulu.


     Jam di pergelangan tangannya dikerling. Sudah jam 4.30 petang. Nak tenangkan diri apa kalau dah waktu macam ni, aku balik ajelah. Biar padan dengan muka Firas si perasan bagus tu. 




2 comments:

  1. Oh man.. I see Germany up there and.. si Firas ni memang wajar kena ketuk! Haikal-Sara wayy better. You buat Firas-Sara, I bakar blog ni nanti. Hahahahaha :p

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kenapa dengan Germany? :O You ketuk la si Firas tu. :D

      Delete