Wednesday 8 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 7


        



     “Sara, angah pergi cari Tok Siak sekejap. Sara keluarkan dulu semua barang-barang ni,” arah Amsyar lalu keluar dari perut kereta dan berjalan masuk ke dalam masjid. Perodua Vivanya diparkirkan betul-betul di hadapan masjid untuk memudahkan mereka mengangkat kotak-kotak yang berisi sejadah dan telekung. Bukan sedikit yang ayah ingin sedekahkan. Berkotak-kotak jugaklah. 

        
     Qaisara masih berkira-kira sama ada dia mahu mengangkat kotak-kotak tersebut atau mahu menunggu Amsyar saja. Kalau nak angkat seorang diri nanti ada juga pinggang yang patah kot! Tunggu ajelah. 

     Petang-petang begini memang kawasan masjid selalu dipenuhi ramai orang. Yalah, kalau sudah dekat dengan kawasan rekreasi, kan. Tambah-tambah ada sebuah tasik pula di sebelah masjid ini. Kalau nak tenangkan fikiran memang inilah tempat yang terbaik.


     Qaisara menyandarkan badan pada kereta milik abang keduanya itu sambil berpeluk tubuh. Nyaman sekali angin petang ini. Indah sungguh pemandangan di tepian tasik ini. Matanya asyik memandang ke arah tasik sehinggakan dia terperasankan seorang lelaki yang sedang duduk di atas kerusi batu sambil kedua-dua belah tangannya diletakkan ke belakang kepala. Masih berpakaian pejabat. Entah mengapa lelaki itu sangat menarik perhatian Qaisara ketika itu. Dipandangnya lelaki itu dari jarak yang jauh. Tiba-tiba lelaki itu bergerak-gerak. Perasan dirinya diperhatikan oleh seseorang, mungkin. Bimbang ditangkap oleh lelaki itu, Qaisara segera mencari-cari bayang Amsyar. Nasib baik Amsyar dah dekat. Lega. 


     “La, kenapa tak angkat lagi?” Soal Amsyar kehairanan. Sudahlah dilihatnya Qaisara dalam keadaan kalut. Macam ada sesuatu yang sedang disembunyikan.


     “Kalau orang nak angkat sorang memang kenduri malam ini kita buat kat hospital ajelah, ye? Berat oh!” Jawab Qaisara. Matanya masih menjeling-jeling ke arah lelaki yang sedang berjalan menuju ke sebuah kereta yang terletak tidak jauh dari tempat mereka sedang berdiri itu. Eh, Toyota Vios?! 


     “Sara angkat mana yang larat dulu, nanti angah angkat mana yang berat.” Amsyar memberikan arahan sebelum dia berjalan ke arah yang sama seperti lelaki tadi. Angah kenal dengan dia ke?


     Satu persatu kotak berisi telekung dan sejadah yang ringan-ringan diangkat oleh Qaisara ke dalam masjid. Diserahkan kotak-kotak tersebut kepada Tok Siak yang sedang mengecop barang-barang tesebut dengan label masjid.


     “Haikal, tak sangka boleh jumpa kat sini!” Haikal baru saja ingin masuk ke dalam keretanya apabila dia disergah oleh Amsyar sebegitu. Memang selesai solat asar tadi dia singgah duduk di tepi tasik itu untuk meredakan rasa tensyennya. Jumpa jiran depan rumah di masjid daerah? Yang di rumah tak adanya nak terserempak pun, kan. Boleh macam tu?


     “Sibuk sikit sekarang ni. Kerja memang banyak sungguh. Pening aku!” Haikal menyambut huluran tangan Amsyar sambil tersenyum mesra. Dia dan Amsyar memang sudah seperti kawan walaupun umur mereka berbeza setahun. 


     “Biasalah tu. Aku pun stress macam kau jugak. Tapi aku buat-buat tak stress aje. Kalau nak dilayan, sampai bila nak habis?” Nasihat Amsyar. Memang itulah petua hidupnya. Kalau stress, buat-buat tak stress aje. Senang hidup! Buat apa nak serabut kepala fikirkan perkara yang memang sedia kusut? 


     “Itulah, aku kena timba ilmu dari kau ni. Tak pandai aku nak buat-buat tak stress ni. Datang sini pun sebab nak tenangkan jiwa dan raga ni.” Cermin mata hitam segera ditanggalkan lalu disangkut pada poket baju kemeja berwarna kuningnya. Nak bersembang tak elok pakai cermin mata hitam, nanti interaksi mata tak sampai. 


     “Malam ni jom la lepak sekali. Famili aku ada buat kenduri sikit. Ibu aku dah jemput Nek Milah dah pagi tadi. Ini aku jemput kau pulak,” pelawa Amsyar. Nanti dijemput satu taman, yang di hadapan rumah tak berjemput pulak.


     “Kenduri bersempena apa?”


     “Sajalah buat kenduri, nak berkumpul dengan jiran tetangga yang setahun pun belum tentu boleh jumpa.”


     “Kau perli bukan main lagi!” Haikal menampar lengan Amsyar. Menusuk kalbu betul perlian itu! Sibuk sangat ke aku ini?


   “Datanglah! Mana tahu boleh jumpa jodoh.” Amsyar cuba memancing minat Haikal untuk datang ke rumah malam itu walaupun dia sendiri pun tahu umpannya tidak mengena pada Haikal.  


     “InshaAllah. Kalau tak ada aral. Eh, aku balik dulu. Dah nak maghrib. Assalamualaikum!” 


**********


    Qaisara masih berkira-kira lagi mahu bertanyakan soalan itu kepada Amsyar atau tidak. Siapa lelaki tadi? Macam rapat aje dengan angah?


      Qaisara membetulkan duduknya. Amsyar yang sedang memandu di sebelah dikerling. Selepas selesai menyerahkan semua kotak-kotak yang dia mampu untuk mengangkat itu kepada Tok Siak tadi, Qaisara hanya duduk di dalam kereta saja sambil memerhatikan abangnya berbual mesra dengan lelaki yang sampai sekarang dia tak kenal siapa. Lelaki itu macam tak penting, tapi gaya dia menarik perhatian sungguh. Sudahlah kachak! Okey, abaikan ayat terakhir itu.


     “Sara ni kenapa? Ada benda nak cakap dengan angah ke?” Tanya Amsyar tiba-tiba. Pelik betul tengok si Sara ni. Macam ada buat salah aje.


    “Eh, mana ada. Memandai aje angah ni. Ni nak tanya, kawan angah ada yang nak datang ke malam nanti?” Pandai betul angah serkap jarang. Nasib baik aku ada idea bernas buat-buat tanya macam tu!


     “Tak ada pulak angah jemput. Semua jiran-jiran kita aje. Kenapa? Dah nak cari calon suami?” Amsyar gelak mengekek. Tak payahlah nak bersuamikan kawan-kawan aku, semua tak boleh pakai! Semua suka merapu macam aku jugak. Tapi aku ni tak adalah sampai tak boleh pakai. 


     “Bukanlah! Tanya aje.” Qaisara sudah mula rasa geram. Angah memang suka merapu!


      “Sara tak ajak BFF Sara datang malam ni ke?”


     “Alina? Kan dia dah pindah ke Melaka. Jenuh jugaklah kalau nak datang sini.” Qaisara memang ada memberitahu Alina tentang kenduri kesyukuran tersebut tetapi dia faham Alina tidak dapat menghadirkan diri kerana jarak yang agak jauh. Lagipun Alina pun baru saja tiba di rumahnya dari Pulau Pinang. Alina merupakan graduan dalam bidang farmasi dari USM Pulau Pinang.



       “Haikal?”


     “Lost contact dah, ” jawab Qaisara pendek. Entah apa cerita dengan kawan baiknya yang seorang itu pun dia tidak tahu. Haikal seperti menghilang begitu saja. Kalau dulu dia selalu berhubung dengan Alina melalui Skype semasa dia belajar di UK, tetapi dia tidak pernah berhubung dengan Haikal kerana tiada kemudahan internet dan telefon di rumah Haikal. Alina pula terus berpindah setelah tamat SPM, jadi Alina pun sudah tidak berhubung dengan Haikal lagi.


      Amsyar buat muka pelik. Duduk depan rumah aje pun boleh lost contact ke? Aneh-aneh sungguh!


   Sampai saja di rumah, Qaisara segera naik ke bilik untuk membersihkan diri dan bersolat maghrib. Amsyar pula membantu Aryan dan Akif menghidangkan makanan di meja buffet. Dah macam kenduri kahwin dah. Ada khemah siap! Ada dua buah khemah lagi. Selesai menghidang barulah tiga beradik lelaki itu membersihkan diri dan bersolat jemaah berimamkan Encik Mohd Kamal. Giliran Qaisara dan Puan Aminah pula membancuh minuman dan menyediakan pinggan serta cawan kertas untuk para tetamu yang akan datang selepas isya' nanti.




2 comments:

  1. Membancuh minuman. Oh, oh.. daku sangat dahaga membacanya. Y__Y

    Thumbs up! Best! Mesti Haikal hensem bila pakai rayban tu. ngee

    ReplyDelete
    Replies
    1. Haruslah hensem. You bayangkan dia macam Mr.Perfect you je. :P

      Delete