Thursday, 9 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 8


        





    Haikal mencapai songkok lalu diletakkan di atas kepalanya sebelum terkocoh-kocoh dia menuruni tangga untuk mendapatkan Nek Milah. Nek Milah yang sedang duduk sambil membetulkan tudung yang dipakai terkejut melihat penampilan cucunya. Ini nak pergi kenduri kesyukuran atau nak pergi akad nikah?


     “Hai, segak semacam cucu nenek ni? Bersongkok siap,” sapa Nek Milah sambil tersenyum. Susah betul nak tengok budak Haikal ni berbaju melayu. Kalau pakai pun masa raya aje. Itupun tak sampai tengah hari dah tukar uniform.


     Haikal melihat penampilan dirinya pada cermin panjang di sebelah tangga. Baju melayu cekak musang berwarna ungu tua elok saja terletak pada tubuh tinggi lampainya. Warna baju yang gelap menonjolkan lagi kulitnya yang putih berseri.


    “Dah lama tak pakai baju melayu, alang-alang nak pergi kenduri Kal pakai ajelah baju ni. Lagipun ini kan baju raya tahun lepas, baru sekali aje pakai,” balas Haikal sambil mmbetulkan letak duduk songkok di atas kepalanya. Bersongkok aje pun, bukan bersampin. Kalau siap bersampin kotlah nenek nak terkejut.


   “Nenek ingat kamu tak nak pergi. Yalah, kamu kan sibuk mengalahkan bapa 10 anak.”


    “Nenek pandai perli cara halus! Double meaning lagi!” Haikal senyum meleret. Ayat-ayat nenek menikam sanubari sungguh! Hari ini memang Hari Perli Khalis Haikal Sedunia ke? Petang tadi kena perli dengan Amsyar. Sekarang dengan nenek pulak!


     “Eh, betullah! Duduk serumah pun dalam sehari tu belum tentu nenek dapat tengok muka kamu. Keluar kerja awal pagi masa nenek tengah mengaji, baliknya pulak lewat petang masa nenek dah berangkat ke surau. Bila nenek balik dari surau kamu pulak dah tidur.” Nek Milah sudah mula membebel serupa mak nenek. Eh, memang nenek pun! Haikal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Nenek ni, bila dah boleh jumpa bukan nak tatap muka aku puas-puas. Membebel pulak!


    “Eh, nenek tak pergi surau pulak malam ni?” Haikal cuba mengubah topik. Kalau tak diubah topik karang ada jugak yang kena perli lagi.


     “Kelas mengaji malam ni batal sebab ada kenduri kesyukuran di rumah Pak Cik Kamal kamu tu. Ni, siapa yang beritahu kamu pasal kenduri ni?”


     “Petang tadi, Kal singgah solat asar di masjid. Terserempak pulak dengan si Amsyar. Dialah yang mengajak.” Haikal mula hendak mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Nek Milah. Nampak macam panjang lagi aje nenek nak berbual dengan aku ni. Yalah, aku kan sibuk mengalahkan bapa 10 anak. Bukan senang nak duduk melepak macam ini. Hai, bilalah aku nak kahwin? Kalau dah kahwin bolehlah aku duduk melepak dengan bini aku setiap hari. Bukan nenek aje yang sedang menunggu bila cucu kesayangan ini nak kahwin, diri aku sendiri pun dok tertunggu-tunggu bila aku boleh berlatih lafaz akad.


    “Eh, duduk pulak dia! Nak duduk-duduk, bila pulak nak pergi rumah depan tu? Cepat!” Nek Milah sudah bangun dari duduknya lalu berjalan ke arah pintu utama rumah itu.


     “Ingatkan lama lagi nak bersembang. Kalau tidak boleh bancuh kopi dulu,” kata Haikal sambil membuntuti langkah neneknya.


   Setibanya mereka di rumah Encik Mohd Kamal itu, khemah-khemah yang tersedia sudah penuh dengan para tetamu. Nek Milah segera mendapatkan Puan Aminah yang sedang duduk bersembang dengan jiran-jiran di bawak khemah perempuan. Haikal yang tinggal sendirian mati kutu. Diperhatikan wajah-wajah yang ada di situ satu persatu. Tak kenal!


    “Haikal! Datang jugak kau, kan!” Sapa Amsyar dengan mesra. Mereka bersalaman seketika.


     “Mestilah datang! Kan nak mengeratkan silaturrahim antara jiran tetangga. Kalau aku tak datang, entah bila pulak boleh jumpa kau,” jawab Haikal panjang lebar. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam kocek baju melayu. Kekok di majlis sebegini sebenarnya. Kali terakhir pergi kenduri pun semasa dia baru menamatkan tingkatan 6 enam tahun yang lepas. Itupun setelah dikerah oleh nenek yang teringin sangat hendak makan kenduri kahwin sepupunya di Johor Baru. Siapa lagi yang hendak bawa nenek kalau bukan dia.


     “Sedar pun! Kau kan sibuk memanjang. Dengar kata kau tengah uruskan syarikat besar kat KL.”


     “Kau kalau tak perli aku memang tak lengkap hidup kau, kan?” Haikal menggeleng-gelengkan kepalanya. Agaknya kat dahi aku ni ada tulis ‘SILA PERLI SAYA’ kot!


     “Eh, jom aku teman kau makan. Aku pun tak makan lagi.”


     “Aryan dan Akif mana? Pak Cik Kamal?”


    “Aryan dan Akif dapat tugas jaga stok makanan. Ayah tengah layan orang-orang surau, tak silap aku. Jomlah makan. Lepas makan boleh aku kerah tenaga kau pulak,” Amsyar tersengih sambil menjungkit-jungkitkan keningnya. Eh, Haikal tak nak tanya pasal Sara ke? Sara balik pun tak ada dia tanya pasal Haikal. Bergaduh ke sebelum Sara berangkat ke UK dulu?


     “Jomlah. Aku pun memang tengah lapar!”


     Mereka berdua pun berjalan beriringan ke khemah lelaki untuk mengambil makanan. Haikal melihat-lihat lauk-pauk yang tersedia di atas meja buffet dengan rasa tidak sabar. Tak sabar nak makan! Ada kambing masak kurma, kari ayam, ikan goreng dan ulam-ulaman serta sambal belacan. Dah lama Haikal tak makan nasi dengan lauk-pauk sebegini. Betul-betul membangkitkan selera!


     Selepas mengambil makanan, Haikal dan Amsyar duduk di meja yang paling belakang. Meja yang depan-depan sudah pun dipenuhi oleh tetamu-tetamu yang lain. Baru hendak menyuap nasi, Haikal ternampak ‘seseorang’ sedang membawa beberapa kotak tisu ke khemah itu sambil tersenyum manis. Haikal terpesona!


    “Am, itu siapa?” Tanya Haikal sambil tangan kirinya menepuk-nepuk peha Amsyar yang duduk di sebelahnya.


    “Mana?” Mata Amsyar sudah meliar ke sekeliling untuk mencari gerangan yang dimaksudkan oleh Haikal.


     “Itu, yang tengah letak kotak tisu atas meja buffet tu!” Mulutnya memuncung pada perempuan yang memakai baju kurung bunga kecil berwarna sedondon dengan baju melayunya. Cantik sungguh perempuan itu! Haikal jarang tertarik pada perempuan. Tetapi perempuan ini sangat menarik pada pandangan matanya.


     “Itu? Itulah jodoh kau!” Jawab Amsyar lalu tergelak. Sengaja dia mahu menyakat lelaki itu. Kata BFF tapi baru tak jumpa enam tahun dah tak kenal.


     “Kau ni, seriuslah!” Marah Haikal. Matanya dibeliakkan tanda dia benar-benar serius.


     “Kan aku dah kata, manalah tahu kau datang sini boleh jumpa jodoh. Itulah dia!” Amsyar gelak mengekek. Suka benar dia dapat mengenakan Haikal begitu.


     “Aku nak baliklah!” Rajuk Haikal. Kerusi ditolakkan ke belakang perlahan-lahan. Geram dengan Amsyar. Aku serius dia boleh main-main pulak!


     “Eh, jangan! Nanti orang kata aku tak pandai layan tetamu pulak. Itu Saralah! Kau ni, BFF sendiri pun tak kenal,” balas Amsyar. Itu pun nak merajuk. Perangai serupa dengan Sara!


     “Biar betul? Kenapa sekarang dia cantik?” Hampir nak terkeluar biji mata Haikal dari soket matanya. Matanya masih tidak lepas-lepas memandang Qaisara yang sedang sibuk melayani para tetamu. Ayu gila! Cara jalan, cara cakap, hatta cara senyum sekalipun nampak lain sangat. Nampak lemah lembut! Dan, perempuan itulah yang menjadi model pintu pagar rumahnya tempoh hari!


   “Oh, jadi adik aku tak cantik la sebelum ni?” Serkap Amsyar. Dilihatnya Haikal memandang Qaisara tidak kelip-kelip. Pelik! Aku tengok si Sara tu sama aje macam dulu. Apa yang budak Haikal ni terkejut sangat?


   “Eh, sebelum ni dia comel aje. Tak sampai cantik lagi. Tapi sekarang dah cantik sangat! Kau tak cakap pun yang Sara dah balik?”


   “Aku ingat kau dah tahu. Kau kan BFF dia. Ini pun kenduri kesyukuran sebab sambut budak kecik tu balik.”


     “Enam tahun dia di UK, enam tahunlah kami tak berhubung. Dia nampak lain!”


     “Nak aku panggilkan dia?” Soal Amsyar lalu menghabiskan suapan terakhirnya. Patutlah pelik aje dua orang ni, betul-betul lost contact rupanya. Aku dah habis makan. Budak Haikal ni mula makan pun belum!


     “Eh, tak payah! Dia sibuk tu,” jawab Haikal lalu menyuapkan nasi berlauk ikan goreng bersama ulam kacang bendi dicecah sambal belacan ke mulutnya. Makan malam pada hari itu memang terbaik!


     Selesai makan, Haikal menemani Aryan makan pula sambil duduk berbual sementara Amsyar mengganti tugas doktor muda itu untuk menjaga stok makanan. Sambil-sambil berbual tu, matanya masih sempat mencuri-curi pandang pada wajah perempuan yangs angat dirinduinya itu. Patutlah dia rasa rajin aje hendak pergi ke kenduri kesyukuran itu, rupanya ada hikmah.


   Malam itu, Haikal dapat tidur dengan begitu lena sekali. Kepulangan Qaisara sangat dinanti-nantikan olehnya. Tak sabar nak tunggu hari esok!




Wednesday, 8 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 7


        



     “Sara, angah pergi cari Tok Siak sekejap. Sara keluarkan dulu semua barang-barang ni,” arah Amsyar lalu keluar dari perut kereta dan berjalan masuk ke dalam masjid. Perodua Vivanya diparkirkan betul-betul di hadapan masjid untuk memudahkan mereka mengangkat kotak-kotak yang berisi sejadah dan telekung. Bukan sedikit yang ayah ingin sedekahkan. Berkotak-kotak jugaklah. 

        
     Qaisara masih berkira-kira sama ada dia mahu mengangkat kotak-kotak tersebut atau mahu menunggu Amsyar saja. Kalau nak angkat seorang diri nanti ada juga pinggang yang patah kot! Tunggu ajelah. 

     Petang-petang begini memang kawasan masjid selalu dipenuhi ramai orang. Yalah, kalau sudah dekat dengan kawasan rekreasi, kan. Tambah-tambah ada sebuah tasik pula di sebelah masjid ini. Kalau nak tenangkan fikiran memang inilah tempat yang terbaik.


     Qaisara menyandarkan badan pada kereta milik abang keduanya itu sambil berpeluk tubuh. Nyaman sekali angin petang ini. Indah sungguh pemandangan di tepian tasik ini. Matanya asyik memandang ke arah tasik sehinggakan dia terperasankan seorang lelaki yang sedang duduk di atas kerusi batu sambil kedua-dua belah tangannya diletakkan ke belakang kepala. Masih berpakaian pejabat. Entah mengapa lelaki itu sangat menarik perhatian Qaisara ketika itu. Dipandangnya lelaki itu dari jarak yang jauh. Tiba-tiba lelaki itu bergerak-gerak. Perasan dirinya diperhatikan oleh seseorang, mungkin. Bimbang ditangkap oleh lelaki itu, Qaisara segera mencari-cari bayang Amsyar. Nasib baik Amsyar dah dekat. Lega. 


     “La, kenapa tak angkat lagi?” Soal Amsyar kehairanan. Sudahlah dilihatnya Qaisara dalam keadaan kalut. Macam ada sesuatu yang sedang disembunyikan.


     “Kalau orang nak angkat sorang memang kenduri malam ini kita buat kat hospital ajelah, ye? Berat oh!” Jawab Qaisara. Matanya masih menjeling-jeling ke arah lelaki yang sedang berjalan menuju ke sebuah kereta yang terletak tidak jauh dari tempat mereka sedang berdiri itu. Eh, Toyota Vios?! 


     “Sara angkat mana yang larat dulu, nanti angah angkat mana yang berat.” Amsyar memberikan arahan sebelum dia berjalan ke arah yang sama seperti lelaki tadi. Angah kenal dengan dia ke?


     Satu persatu kotak berisi telekung dan sejadah yang ringan-ringan diangkat oleh Qaisara ke dalam masjid. Diserahkan kotak-kotak tersebut kepada Tok Siak yang sedang mengecop barang-barang tesebut dengan label masjid.


     “Haikal, tak sangka boleh jumpa kat sini!” Haikal baru saja ingin masuk ke dalam keretanya apabila dia disergah oleh Amsyar sebegitu. Memang selesai solat asar tadi dia singgah duduk di tepi tasik itu untuk meredakan rasa tensyennya. Jumpa jiran depan rumah di masjid daerah? Yang di rumah tak adanya nak terserempak pun, kan. Boleh macam tu?


     “Sibuk sikit sekarang ni. Kerja memang banyak sungguh. Pening aku!” Haikal menyambut huluran tangan Amsyar sambil tersenyum mesra. Dia dan Amsyar memang sudah seperti kawan walaupun umur mereka berbeza setahun. 


     “Biasalah tu. Aku pun stress macam kau jugak. Tapi aku buat-buat tak stress aje. Kalau nak dilayan, sampai bila nak habis?” Nasihat Amsyar. Memang itulah petua hidupnya. Kalau stress, buat-buat tak stress aje. Senang hidup! Buat apa nak serabut kepala fikirkan perkara yang memang sedia kusut? 


     “Itulah, aku kena timba ilmu dari kau ni. Tak pandai aku nak buat-buat tak stress ni. Datang sini pun sebab nak tenangkan jiwa dan raga ni.” Cermin mata hitam segera ditanggalkan lalu disangkut pada poket baju kemeja berwarna kuningnya. Nak bersembang tak elok pakai cermin mata hitam, nanti interaksi mata tak sampai. 


     “Malam ni jom la lepak sekali. Famili aku ada buat kenduri sikit. Ibu aku dah jemput Nek Milah dah pagi tadi. Ini aku jemput kau pulak,” pelawa Amsyar. Nanti dijemput satu taman, yang di hadapan rumah tak berjemput pulak.


     “Kenduri bersempena apa?”


     “Sajalah buat kenduri, nak berkumpul dengan jiran tetangga yang setahun pun belum tentu boleh jumpa.”


     “Kau perli bukan main lagi!” Haikal menampar lengan Amsyar. Menusuk kalbu betul perlian itu! Sibuk sangat ke aku ini?


   “Datanglah! Mana tahu boleh jumpa jodoh.” Amsyar cuba memancing minat Haikal untuk datang ke rumah malam itu walaupun dia sendiri pun tahu umpannya tidak mengena pada Haikal.  


     “InshaAllah. Kalau tak ada aral. Eh, aku balik dulu. Dah nak maghrib. Assalamualaikum!” 


**********


    Qaisara masih berkira-kira lagi mahu bertanyakan soalan itu kepada Amsyar atau tidak. Siapa lelaki tadi? Macam rapat aje dengan angah?


      Qaisara membetulkan duduknya. Amsyar yang sedang memandu di sebelah dikerling. Selepas selesai menyerahkan semua kotak-kotak yang dia mampu untuk mengangkat itu kepada Tok Siak tadi, Qaisara hanya duduk di dalam kereta saja sambil memerhatikan abangnya berbual mesra dengan lelaki yang sampai sekarang dia tak kenal siapa. Lelaki itu macam tak penting, tapi gaya dia menarik perhatian sungguh. Sudahlah kachak! Okey, abaikan ayat terakhir itu.


     “Sara ni kenapa? Ada benda nak cakap dengan angah ke?” Tanya Amsyar tiba-tiba. Pelik betul tengok si Sara ni. Macam ada buat salah aje.


    “Eh, mana ada. Memandai aje angah ni. Ni nak tanya, kawan angah ada yang nak datang ke malam nanti?” Pandai betul angah serkap jarang. Nasib baik aku ada idea bernas buat-buat tanya macam tu!


     “Tak ada pulak angah jemput. Semua jiran-jiran kita aje. Kenapa? Dah nak cari calon suami?” Amsyar gelak mengekek. Tak payahlah nak bersuamikan kawan-kawan aku, semua tak boleh pakai! Semua suka merapu macam aku jugak. Tapi aku ni tak adalah sampai tak boleh pakai. 


     “Bukanlah! Tanya aje.” Qaisara sudah mula rasa geram. Angah memang suka merapu!


      “Sara tak ajak BFF Sara datang malam ni ke?”


     “Alina? Kan dia dah pindah ke Melaka. Jenuh jugaklah kalau nak datang sini.” Qaisara memang ada memberitahu Alina tentang kenduri kesyukuran tersebut tetapi dia faham Alina tidak dapat menghadirkan diri kerana jarak yang agak jauh. Lagipun Alina pun baru saja tiba di rumahnya dari Pulau Pinang. Alina merupakan graduan dalam bidang farmasi dari USM Pulau Pinang.



       “Haikal?”


     “Lost contact dah, ” jawab Qaisara pendek. Entah apa cerita dengan kawan baiknya yang seorang itu pun dia tidak tahu. Haikal seperti menghilang begitu saja. Kalau dulu dia selalu berhubung dengan Alina melalui Skype semasa dia belajar di UK, tetapi dia tidak pernah berhubung dengan Haikal kerana tiada kemudahan internet dan telefon di rumah Haikal. Alina pula terus berpindah setelah tamat SPM, jadi Alina pun sudah tidak berhubung dengan Haikal lagi.


      Amsyar buat muka pelik. Duduk depan rumah aje pun boleh lost contact ke? Aneh-aneh sungguh!


   Sampai saja di rumah, Qaisara segera naik ke bilik untuk membersihkan diri dan bersolat maghrib. Amsyar pula membantu Aryan dan Akif menghidangkan makanan di meja buffet. Dah macam kenduri kahwin dah. Ada khemah siap! Ada dua buah khemah lagi. Selesai menghidang barulah tiga beradik lelaki itu membersihkan diri dan bersolat jemaah berimamkan Encik Mohd Kamal. Giliran Qaisara dan Puan Aminah pula membancuh minuman dan menyediakan pinggan serta cawan kertas untuk para tetamu yang akan datang selepas isya' nanti.




Tuesday, 7 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 6







     Pagi itu merupakan pagi yang indah buat Qaisara. Tidurnya sangat nyenyak dan aman. Tidak pernah dia berasa tenang sebegitu selama hayatnya. Mungkin kerana dia tidur di katil sendiri, di dalam bilik sendiri dan di rumah sendiri. Inilah yang dikatakan ‘rumahku syurgaku’, kan.


   “Sara, ibu suruh bangun mandi. Kita nak pergi beli ayam di pasar,” laung Amsyar sambil tangannya tidak henti-henti mengetuk pintu bilik Qaisara.  Orang baru balik dari UK ni ‘body alarm’nya lain sikit. Entah-entah aku kejut ni pun dia baru nak terlelap.


    Qaisara segera bangun dan berjalan ke arah pintu biliknya. Tombol dipulas dengan rasa sebal. Aku baru nak mimpi sampai ke bintang ada saja yang mahu mengacau! Ini ajelah yang tak seronok di rumah sendiri, pagi-pagi ada saja yang terlebih baik hati mahu mengejut bangun subuh. Orang ada jam locenglah!


    “Angah, baru pukul 6. Bilal pun belum pergi surau lagi. Bangun 6.45 pun sempatlah!” Ujar Qaisara sambil menggosok-gosok matanya.


   “Ibu cakap kalau lambat nanti ayam segar habis, tinggal ayam pencen pulak. Sara rajin ke nak merebus ayam-ayam pencen?”   


    “Iya, Sara pergi mandi dan bersiap, okey? Jangan bebellah! Lelaki membebel tak macho langsung!” Tangannya cepat saja menyentuh rambut Amsyar yang sudah disisir rapi. Dia tahu abangnya itu sudah mandi. Sengaja dia mahu menyakat.



   “Ish, janganlah! Orang dah mandilah!” Amsyar melarang lalu membetulkan rambutnya yang sudah  kusut dikerjakan Qaisara. Aset ni, kalau rosak habis saham jatuh.


     “Nak jaga sahamlah konon! Girlfriendnya tak ada pun.”


     Qaisara mencapai tuala mandi lalu mula membersihkan diri. Elok saja dia keluar dari bilik air, suara azan pun berkumandang. Selesai solat subuh berjemaah bersama-sama ahli  keluarganya, mereka bersarapan pagi pula. Tepat jam 7 pagi, mereka berempat pun keluar membeli bahan-bahan basah dan bahan-bahan kering untuk keperluan kenduri kesyukuran pada keesokan harinya.


     “Ibu, kenapa beli banyak sangat barang ni? Kita jemput satu KL ke?” Soal Qaisara kepada Puan Aminah dalam perjalanan pulang ke rumah dari pasar. Ibu beli barang mengalahkan orang buat kenduri kahwin!


     “Ibu jemput saudara-mara dan jiran tetangga saja. Tak adalah ramai mana pun tapi ayah kamu nak percepatkan kendurinya.”


      “Kenapa pulak nak percepatkan? Kan semua dah ambil cuti esok?”


     “Sebab esok ada ceramah selepas maghrib di surau. Kalau kita buat jugak kan bertembung dengan ceramah tu,” jelas Aryan pula. Matanya masih memberikan penumpuan yang sepenuhnya pada jalan raya.


       “Habis, nak buat kenduri tu bila pulak?”


       “Malam ni,” jawab Puan Aminah pendek.


    “Habis siapa yang nak kerjakan ayam, kambing dan ikan ni semua?” Soal Qaisara lagi. Kalau mereka berempat saja yang ingin menyiapkan segala lauk-pauk, memang kuruslah! Sudahlah ibu beli barang-barang ini semua untuk 200 orang makan. Kalau 50 orang, masih boleh dipertimbangkan lagi. Aku yang sememangnya kurus, boleh kurus lagi nanti. Ewah!


     “Ala, kita kan ada 4 orang. Kita bahagi la tugas. Lagipun, ayah dan achik balik tengah hari nanti. Kita boleh buat la. Chaiyok! Chaiyok!” Laung Amsyar dengan penuh semangat. Qaisara menggeleng-gelengkan kepalanya. Abang aku yang satu ini memang tak betul! Umur sudah 28 tahun tetapi perangai masih lagi seperti kanak-kanak 8 tahun.


    "Petang nanti Sara dengan angah pergi hantar sejadah dan telekung ke masjid, ya? Barang dah sampai kemarin. Tinggal nak dihantar aje," pinta Puan Aminah.


     "Masjid mana, ibu?" Aryan bertanya sambil tangannya memusing stereng kereta untuk membelok ke arah kanan.


     "Masjid yang kita selalu pergi solat terawih tu. Yang kamu dok pergi solat jumaat."


     "Yang tepi tasik tu?" Qaisara cuba mengingat rupa masjid itu. Sudah bertahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia, memang dia tidak berapa ingat. Yang dia ingat dia selalu melepak dengan Haikal dan Alina di tepi tasik itu setelah kepala mereka tepu dengan nota-nota pelajaran di sekolah menengah dahulu.


       "Iya."


     "Ayah yang sedekah ke?" Soal Amsyar pula. Dia pun sudah sedia maklum bahawa ayah memang suka bersedekah. Malangnya ayah tidak punya waktu untuk melakukan amalan itu sendiri. Jadi, si isterilah yang perlu menguruskan segala-galanya.


     "Ayah yang bagi duit, ibu yang order. Nanti dah selesai siapkan makanan kamu berdua pergi hantar," balas Puan Aminah sebelum menolak pintu kereta. Dah sampai rumah ni, tugas pun sudah bermula! 


**********          


     Haikal menarik nafas dalam. Pelan bangunan muziumnya yang baru saja ditolak oleh bos baru itu dijeling. Umur baru setahun jagung sudah jadi bos di sini! Aku yang agak lama bekerja ini lebih banyak pengalaman daripada dia. Giginya diketap geram. Sehari semalam dia bersengkang mata menyiapkan pelan bangunan muzium itu tetapi telah ditolak mentah-mentah oleh bos yang baru ditugaskan menguruskan syarikat besar itu hari ini. 


    Pada mulanya, lukisan pelan bangunan muzium itu dipuji melambung oleh Ketua Arkitek Syarikat Pembinaan Alam Damai Holdings itu, iaitu Encik Alfian. Entah dari mana datangnya budak mentah itu pun Haikal tidak tahu. Tiba-tiba saja meminta kertas lukisan pelan itu daripada Encik Alfian lalu mengarahkannya untuk membuat semula pelan bangunan muzium itu.


     Sedangkan bagi Haikal sendiri, pelan bangunan muzium itu sudah cukup sempurna. Seorang arkitek berkelulusan dari universiti terkemuka di Jerman sepertinya tidak mungkin akan membuat pelan yang halai-balai saja. Bukanlah dia mahu meninggi diri, tetapi dia tahu dan sedar akan kebolehan dirinya sendiri. Pertama kali Encik Alfian yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut melihat pelan bangunan itu pun dia sudah memuji-muji hasil kerja Haikal, ini pula budak mentah yang baru masuk kerja sehari.


     Dia merengus kasar. Hatinya masih belum puas. Dia bangun dari duduknya lalu menghayunkan langkah ke bilik Pembantu Pengarah Alam Damai Holdings yang terletak di tingkat 5 bangunan itu.


     Tanpa mengetuk pintu bilik terlebih dahulu, Haikal terus masuk dan berdiri betul-betul di hadapan meja bos barunya itu.


     “Kau tak puas hati apa dengan aku? Encik Alfian sendiri yang kata design aku dah cantik.” Haikal memulakan bicara. Sedaya upaya dia cuba mengawal kelantangan suaranya. Bimbang hal lain pula yang bakal terjadi antara mereka berdua.


     “Aku bos kau. Kau wajib patuh setiap arahan aku,” balas lelaki berkaca mata itu sambil tersenyum sinis. Kepalanya masih tidak diangkat. Laju saja tangannya menandatangani dokumen-dokumen penting yang baru  diserahkan oleh ayahnya, Datuk Adi Dharma sebentar tadi. Perlu ke layan orang yang pentingkan diri sendiri macam dia ni? Sekarang aku bos dia, suka hati akulah nak buat apa pun!


     “Firas Daniyal, tak semestinya kau boleh buat sesuka hati kau bila kau dah jadi bos kat sini.”


   Firas segera memanggungkan kepala. Pandangan matanya menikam renungan tajam Haikal.


    “Boss is always right, Khalis Haikal. Always remember that,” jawab Firas. Bongkak.


     “Kau tak payah nak berlagak sangat dengan aku! Kalau setakat pembantu aje aku tak hairanlah!” Haikal tidak dapat lagi menahan api amarahnya. Suaranya bergema di seluruh ruang bilik yang besarnya tiga kali ganda dari bilik kerjanya itu.


     “Kau keluar sekarang. Pergi buat balik pelan tu,” arah Firas. Matanya kembali diarahkan pada dokumen-dokumen di hadapannya. Hari pertama masuk kerja ini kena tunjuk bagus sedikit. Sudahlah ayah pergi mesyuarat di Pulau Pinang hari ini, jadi aku kena tunjuk yang aku boleh uruskan syarikat ini tanpa ayah.


     “Aku tak akan buat balik. Jangan ingat senang-senang aku nak tunduk kat kau.” Haikal menghempaskan pintu bilik itu lalu berjalan ke arah lif dengan hati yang panas. Butang ‘G’ ditekan seraya dia mencari-cari kunci kereta di dalam poket seluarnya. Kalau hati tengah bengang macam ni buat kerja apa pun tak akan menjadi. Baik aku pergi tenangkan diri dulu.


     Jam di pergelangan tangannya dikerling. Sudah jam 4.30 petang. Nak tenangkan diri apa kalau dah waktu macam ni, aku balik ajelah. Biar padan dengan muka Firas si perasan bagus tu. 




Monday, 29 April 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 5


   






      Jam di dinding kamarnya sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Haikal memejamkan matanya sekejap lalu celik semula. Matanya terkebil-kebil memandang siling bilik. Badannya sangat letih. Sudahlah tadi pulang lewat ke rumah. Rasanya memang dia tak mengantuk lagi tetapi masalahnya esok dia perlukan tumpuan dan persediaan yang secukupnya untuk membentangkan pelan bangunan muzium yang diarahkan oleh ketuanya pada bulan yang lalu. Kepalanya amat sarat dengan pelbagai projek yang perlu disiapkan dalam masa beberapa bulan ini. Selepas kejayaan pertamanya menyiapkan projek pusat perniagaan di Subang Jaya tahun lepas, Haikal mula menjadi harapan ketuanya untuk memberikan kejayaan yang sama kepada syarikat. Kini, dia menggalas tanggungjawab untuk menjayakan pembinaan muzium di Melaka pula. Belum sempat dia menyiapkan lukisan pelan muzium tersebut, dia sudah diarahkan untuk memegang projek pembinaan pasar raya di Kuala Lumpur pula. Serabut!


     Haikal bangun dan berjalan ke arah jendela yang terletak di sisi katilnya. Pintu jendela tersebut ditolak perlahan. Dingin malam serta-merta menyentuh kulit wajahnya. Sejuk. Didongakkan kepalanya ke arah langit. Kepekatan malam memang sangat mendamaikan! Bulan purnama dipandangnya lama. Tenang sekali rasa hati. Hilang segala kekusutan yang merosot dalam kepalanya.


     “Kau ni, datang melepak rumah aku pulak! Nek Milah tak marah ke? Pukul 9 dah ni.” Qaisara duduk di kerusi batu di laman rumahnya. Baru saja dia keluar rumah tadi untuk menghantar minuman kepada abang-abangnya dia sudah nampak Haikal sedang berbual-bual dengan Amsyar dan Akif yang hendak mencuci kereta masing-masing di halaman rumah.


     “Kalau kau nak tahu, Nek Milah tu lah yang menyuruh aku datang ke sini. Katanya kau selalu kena buli dengan abang-abang kau. Jadi, dia kirimkan kau hero ini!” Jawab Haikal sambil mendabik dada. Dia tersenyum bangga lalu duduk di sebelah Qaisara.


     “Kau nak jadi hero? Selalunya dengan kau-kau sekali kena belasah dengan abang-abang aku! Untungnya hari ini Angah dengan Achik sibuk luangkan masa membersihkan isteri-isteri mereka.” Qaisara memandang sekilas ke arah abang-abangnya. Sayang sungguh dengan kereta mereka! Tiap-tiap hari dimandikan!


    “Aku bosan kat rumah tu. Kau tahu ajelah aku tinggal berdua dengan nenek aje. Kalau bukan sebab abang-abang kau bagi mandi bini-bini mereka tak adanya aku sampai sini. Karang berdua-duaan dengan kau kena tangkap basah pulak!” Tinggal berdua dengan neneknya memang sangat membosankan. Kalau dapat bersembang dengan nenek memanglah seronok tetapi nenek selalu tidur awal. Lepas solat isya' berjemaah terus nenek masuk bilik. Aku yang muda belia ini yang termangu-mangu depan tv menonton cerita yang entah apa-apa.


     “Kau ingat aku nak ke kawin dengan kau? Baik aku kawin dengan Man Skema lagi daripada kau.”


     “Amin!”


  “Haikal!” Bulat mata Qaisara memandang Haikal. Segera dia mencapai dulang minuman lalu dipukul-pukul bahu lelaki itu beberapa kali.


    “Kau yang nak, kan? Aku aminkan ajelah. Doa seorang sahabat sejati senang dimakbulkan, tahu!” Haikal menggosok-gosok bahu kanannya yang terasa sengal. Minah ni memang brutal!


    “Aku sebenarnya nak ucapkan terima kasih kat kau,” kata Qaisara sambil matanya meliar-liar mencari kelibat sang bulan. Dia tersenyum senang hati apabila matanya sudah dapat menangkap kehadiran bulan purnama pada malam itu.


     “Kenapa?” Haikal memandang wajah Qaisara. Comel betul budak ni. Benarlah kata rakan-rakannya di sekolah, dia beruntung kerana rapat dengan Qaisara sedangkan ramai lelaki yang hanya boleh melihat Qaisara dari jauh saja. Tetapi bukan itu yang dibanggakan. Dia ikhlas berkawan dengan Qaisara.


    “Sebab kau susah-payah belikan kek dengan hadiah-hadiah tu. Kalau nak harapkan Lina memang dia boleh tolong kau bawakkan kotak hadiah itu ajelah. Entah-entah birthday aku pun dia tak ingat!”


     “Sama-sama. Sebenarnya itu semua separuh daripada agenda aku nak pujuk kau supaya kau tak marahkan kami kerana kejadian kau kena berdepan dengan Firas seorang diri hari tu. Mulanya aku nak buat surprise kat kau pagi tadi kat sekolah tapi kau pulak yang tak datang. peninglah konon!” Haikal tersengih. Memang dia tak sanggup biarkan Qaisara marahkan dia dan Alina lama-lama.


   “Aku tak kisah. Janji kau ingat birthday aku. Tapi pagi tadi memang aku pening, okey!”


       Haikal diam. Mana mungkin dia lupa akan tarikh itu.


   “Aku suka tengok bulan mengambang,” kata Qaisara tiba-tiba. Matanya masih lagi terpesona dengan kecantikan bulan purnama di langit.


     “Kenapa?”


    “Sebab bila aku tengok bulan, aku jadi lupa pada semua masalah aku. Hati aku tenang.”


     “Jadi, kau tengoklah bulan bila kau rindu aku.” Mata Haikal turut memandang bulan yang sama. Kedua-dua tangannya diletakkan ke belakang kepala.


     “Kenapa?” Qaisara membalikkan soalan yang sama kepada Haikal.


     “Sebab muka aku kan boleh menenangkan hati orang lain,” balas Haikal tersenyum geli hati.


    “Perasan!” Laung Qaisara lalu memukul peha Haikal dengan dulang minuman yang tadi. Muka macam kerang terlebih busuk ada hati nak kita rasa tenang ingatkan muka dia!


    “Hoi, seronok bercinta?!” Serentak Qaisara dan Haikal menoleh ke arah suara yang menyapa mereka itu. Belum sempat mereka menjawab apa-apa, wajah mereka berdua sudah disiram air. Habis lencun satu badan!


     Qaisara bangun lalu mengejar Akif. Tak guna punya abang! Haikal masih tidak berganjak. Indah sungguh rasa hati ini. Senyuman bahagia terukir di bibirnya.


   “Hoi, main kasar nampak! Tak mainlah siram-siram orang!” Qaisara mendekati Akif lalu getah air direbutnya. Akif tidak pula melarikan diri. Seronok bergurau-senda dengan adiknya itu.


     “Barulah namanya tangkap basah!” Akif ketawa terbahak-bahak. Amsyar yang sedang mencuci tayar keretanya menjengukkan kepala. Entah apa-apalah dua beradik itu. Nasib baik Qaisara tidak berlari ke arahnya, kalau tidak pasti dia pun basah!


     Laungan lagu ‘Daylight’ nyanyian Maroon 5 dari telefon pintarnya mengembalikan Haikal ke alam realiti. Pintu jendela kembali ditutupnya. Nasib baik sempat tersedar dari mengimbau kisah-kisah lalu. Kalau tidak, mahu sampai ke esok aku berangan!



    Nama pemanggil di skrin telefonnya dibaca. ‘Baby Eryna.’ Dia tersenyum sendiri.


     ”Helo, baby!” Haikal menyapa si pemanggil dengan mesra.


    “Hai, abang sayang. Still awake?” Suara wanita itu kedengaran sangat gembira. Mungkin ada sesuatu yang ingin dikongsikan bersama-sama.


     “Yup. I can’t sleep.”



     “Thinking of me?”


     “Wait for me, will ya?”



    “No lah!” Semakin lebar senyuman Haikal mendengarkan soalan itu.


     “Really? Abang?”


     "Well, baby. Even though I try to deny it, at the end of the day, you're still on my mind,” ungkap Haikal dengan senyuman yang masih bersisa.


   “Haha, gotcha! Abang, I’ll be with you next month.” Selain daripada memandang bulan purnama pada malam hari, mendengar ilai tawa wanita yang bernama Delisha Eryna itu turut dapat menenangkan hatinya.


     “What do you mean, baby?”


     “Of course I will. Forever I will.”


    “Abang, I gotta go! Assalamualaikum. Always love you.” Talian dimatikan. Haikal masih tersenyum sambil memandang gambar Eryna memeluk lengannya yang menjadi wallpaper telefon pintarnya.


    Memandang lama skrin telefon pintarnya membuatkan Haikal tersedar yang jam sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Bila aku nak terlelap ni?! Kalau ada bini kan senang, mesti tiap-tiap hari dapat tidur awal. Segera dipeluknya bantal panjang dan dipejamkan matanya rapat-rapat. Paksa tidur namanya ini!




Saturday, 27 April 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 4


     






    “Sara, ayah bawa masuk beg kamu dulu, ya”, sapaan ayah menghentikan lamunan Qaisara. Sedar-sedar saja kereta yang dinaiki oleh Qaisara dan Encik Mohd Kamal sudah berada di hadapan banglo dua tingkat itu. Zaman persekolahan memang terlalu indah untuk dikenang. Tak akan habis pun mengelamun kalau ia berkaitan dengan zaman remaja. Sekejap sungguh masa berlalu! Rindunya zaman sekolah. Rindu Alina! Rindu Haikal! Kalau di UK dulu ada juga dia berhubung dengan Alina melalui Skype. Tetapi dia tidak ada langsung berhubung dengan Haikal. Apa yang dia tahu, Alina sudah berpindah ke Melaka jadi Alina dan Haikal juga sudah terputus hubungan.


    Qaisara menganggukkan kepala seraya meloloskan diri daripada perut kereta. Rumah banglo bercat biru langit milik keluarganya dipandang sekilas. Masih sama seperti dulu. Tiada apa yang berubah. Matanya terarah pula ke sebuah rumah teres yang terletak bertentangan dengan kediamannya. Entah mengapa hatinya terdorong untuk pergi melihat-lihat rumah itu. 


  “Assalamualaikum,” Qaisara memberikan salam. Sunyi aje rumahnya. Tak ada orang ke? Tapi pintu pagar tak berkunci. Mesti ada orang ni. Nek Milah tak pernah tinggalkan rumah dalam keadaan tidak berkunci sebegini.


   “Assalamualaikum.” Salam dilontarkan sekali lagi sambil kepalanya terjenguk-jengukkan keadaan di sekeliling rumah itu. Manalah tahu tak ada yang dengar salam aku ni. Qaisara membuat andaian sendiri.


     Pintu rumah itu dipandang lama. Tertutup rapat. Selalunya petang-petang begini Nek Milah mesti sedang menyiram pokok-pokok bunganya. Nek Milah memang sangat rajin orangnya walaupun di usia lanjut. Ada saja yang ingin dikerjakannya setiap hari. Tidak pernah Qaisara melihat Nek Milah duduk menggoyang kaki saja sepanjang mereka berjiran.


    Beberapa ketika kemudian, muncul sebuah kereta Toyota Vios betul-betul di hadapan Qaisara. Ohoi, nak langgar aku ke? Seinci aje lagi nak berlaga lutut aku ni. Elok-elok baru turun kapal terbang kena naik ambulans pulak aku. 


     Qaisara menjeling-jeling ke arah pemandu yang masih membatu dalam kenderaan itu. Jeling pun tak berapa nampak sebab gelap sangat cerminnya. 


   Haikal menanggalkan cermin mata hitam yang dipakainya. Keningnya bertaut. Cantik. Tapi perempuan mana pulak yang jadi model pagar rumah aku ni? Sudahlah berbaju kurung. Nak jual barang, kot?


     Haikal melangkah keluar dari keretanya. Matanya masih tertancap pada seraut wajah cantik di hadapannya itu. Ish, siapa perempuan ini? Nenek ada cucu baru ke? Tapi kalau cucu, kenapa aku tak pernah tengok pun perempuan ni? Kalau cucu mesti dia sepupu aku. 


     Mak oi, tampannya dia! Qaisara terkesima apabila terpandangkan wajah lelaki yang sedang berdiri tegak sambil melonggarkan tali lehernya itu. Langkah kanan betul aku ni. Datang rumah orang terus dapat jamu mata dengan lelaki kachak! Kahkahkah! Gelak jahat aku dalam hati. Ish, zina mata betul!


     “Cik cari siapa, ya?” Haikal memulakan bicara. Kalau dari tadi dok ‘kau pandang aku, aku pandang kau’, sampai esok pun aku tak dapat masuk rumah! Sudahlah penat gila hari ni. Projek lama tak siap lagi, hari ni dah dapat projek baru. Bos pun kalau boleh semua projek nak aku yang buat. Tahulah rezeki, tapi berbahagilah dengan orang lain jugak. Gumam Haikal dalam hati.


     Haikal merupakan seorang arkitek muda di salah sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Cita-cita asalnya hendak menjadi jurutera mekanikal tetapi tawaran untuk menyambung pelajaran dalam bidang seni bina pula yang dia dapat. Rezeki manusia memang tidak dapat dijangka. 


   “Er.. Tak ada cari siapa pun sebenarnya. Encik ni siapa?”Tergagap-gagap Qaisara menjawab. Tetapi sungguh dia tidak mengenali lelaki ini. Nek Milah ada cucu baru ke? Tak mungkin lelaki ini adalah Khalis Haikal. Lain benar mukanya. Haikal selekeh orangnya. Tetapi lelaki ini sangat kemas dan.... kachak! Kulit wajahnya bersih tanpa sebutir jerawat atau segaris parut pun. Kemas berkemeja putih bersih dengan lengan tangan disinsing hingga ke siku, cuma rambutnya saja yang sudah kusut-masai. Tensyen dengan kerja, mungkin.


    Setelah mendengarkan jawapan yang keluar dari mulut gadis itu, Haikal terus membuka pintu pagar rumahnya. Buang masa betul layan perempuan ni. Sudahlah mata aku nampak bantal aje sekarang ni! Boleh dia tanya aku siapa. Sah-sahlah aku tuan rumah ni. Hesy!


     “Boleh tepi sikit? Kalau agak nak berdiri situ sampai esok, tolong tutupkan pintu pagar sekali, ya.”


    Tercengang Qaisara mendengarkan ayat yang baru saja keluar daripada mulut lelaki itu. Arahan ke menghalau tu? Harap muka saja kacak tapi mulut boleh tahan juga. Nasib baik sekarang aku dah ayu. Kalau tidak, mahu aku siku jugak mamat ni!


    Haikal segera memarkirkan keretanya di garaj lalu masuk ke dalam rumah tanpa mengendahkan gadis cantik yang masih lagi sedang berdiri tegak di hadapan pintu pagar. Betullah, perempuan tu model pagar rumah aku.


     “Macam itu punya manusia pun ada ke? Boleh dia tinggalkan aku sorang-sorang macam ni,” bebel Qaisara seorang diri. Bengang!


********


     “Ibu dengan ayah dah berbincang sebelum Sara balik lagi. Kami nak adakan kenduri kesyukuran lusa. Yalah, sebab Sara kan dah habis belajar. Selamat sampai sini dah pun,” beritahu Puan Aminah kepada Qaisara semasa mereka sekeluarga sedang makan malam. Gembira sungguh hatinya apabila satu-satunya anak gadis dalam keluarga itu sudah berada di hadapan mata.


     Qaisara memandang setiap wajah yang mengelilingi meja makan panjang itu. Dah besar abang-abang aku semuanya, ya. Tapi kahwinnya, belum! 


    “Kami semua dah ambil cuti,” kata Amsyar sambil tersenyum riang. Seronok benar dia apabila diberitahu oleh ayah yang adik perempuan kesayangannya akan balik bercuti untuk selama-lamanya pada bulan lepas. Geng dah balik!


   “Jangan nak tunda atau batalkan pulak kenduri tu. Along bukannya kerja dekat-dekat.” Aryan memberikan amaran. Adik bongsunya itu bukan boleh harap sangat! Kalau dia tak setuju boleh saja dia batalkan kenduri kesyukuran itu. Sudahlah dia terbang jauh dari India semata-mata mahu menyambut kepulangan Qaisara.


     Aryan kini bertugas sebagai seorang doktor di sebuah hospital di India. Puas Puan Aminah memujuknya untuk bekerja di Malaysia namun dia enggan. Katanya, dia sudah jatuh cinta dengan India. Entah jatuh cinta dengan India ke orang yang tinggal di India tu. Kalau cantik macam Preity Zinta okeylah jugak!


   “Amboi, beramaran siap! Achik, tolonglah bela Sara. Kata peguam yang profesional sangat!” Qaisara buat muka kesian. Sengaja dia mahu bergurau dengan abang-abangnya itu. Lama tak jumpa, rindu!


     “Eh, achik tak campur!” Kata Akif sambil kepalanya menggeleng laju.


     “Sara tak nak buat kenduri tu ke?” Soal ayah pula. Berkerut-kerut dahinya. Disangkakannya Qaisara akan setuju dengan hal itu. 


     “Bukanlah. Saja aje. Boleh aje nak buat kenduri pun. Tak kisah. Kita pun dah ada kakitangan, kan?” Qaisara tesengih sambil menjungkit-jungkitkan keningnya kepada abang-abangnya. Masa inilah nak kerah tenaga bala tentera bertiga ni!


     “Ayah, lusa achik ada appointment dengan client baru kita, kan?” Akif bersuara lagi. Malas betul kalau kena kemas rumah!


     “Eh, sejak bila pulak kamu ada client baru? Yang lama pun tak settle-settle lagi,” tungkas Encik Mohd Kamal lalu menyuapkan nasi ke mulut. Anak lelakinya yang satu itu memang banyak akal! 


     Puan Aminah menggeleng-gelengkan kepala. Perangai anak-anak memang semua ada di hujung jarinya saja!


    “Sampai hati achik tak nak menyumbangkan tenaga untuk majlis Sara. Sudahlah, tak ada selera dah nak makan,” luah Qaisara sambil menolak kerusinya ke belakang dengan kasar.


     “Eh, achik gurau aje! Achik janji akan tolong dari pagi sampai ke malam!” Akif sudah kalut. Dilambai-lambaikan tangan kirinya, menyuruh adiknya itu kembali duduk. Dia faham sangat kalau Qaisara sudah terasa hati, macam-macam perangai pelik yang akan keluar nanti. Lebih baik dia mengalah dulu.


     Qaisara tak jadi bangun. Wajahnya masih mencuka. Dikuis-kuis nasi yang masih berbaki dalam pinggannya.


     “Sara pun gurau jugak! Tapi achik dah janji, tahu!” Senyuman manis kembali menyinari wajahnya. Menjadi jugak dia kenakan achik!


       Akif menarik nafas lega. Nasib baik budak kecik ni tak merajuk!


   “Kalau macam tu, esok kita pergi beli barang-barang untuk kenduri,” ajak Puan Aminah yang sedari tadi mendiamkan diri. Sebenarnya dia rindu mahu menonton gelagat anak-anaknya. Sudahlah jarang benar mereka sekeluarga dapat berkumpul seperti hari itu. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. 


     “Okey, kali ini achik betul-betul tak boleh join. Sebab achik ada appointment dengan client lama achik tu. Nak settlekan kes dia. Tapi achik janji hari kenduri tu achik tolong dari pagi sampai malam,” beritahu Akif dengan panjang lebar. Tangan kirinya diangkat selaras dengan telinga seperti sedang mengangkat sumpah. 


   “Ayah pun tak boleh join. Tapi ayah akan tanggung semua perbelanjaan.”   


   “Jangan risau. Dua orang anak lelaki yang macho ada di sini, sedia membantu!” Kata Aryan dengan bersemangat. Tangan kirinya digenggam lalu diangkat berkali-kali. Bersemangatlah sangat!


     “Wonderpet, kami datang!” 


     Semua mata terarah pada suara garau itu. Mahu tersembul biji mata masing-masing apabila melihat wajah Amsyar yang tersenyum girang. 


     Qaisara menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali. Abang aku ke ni? Kenapa perangai macam ni? Jurutera apa macam ni? Umur serupa bapak orang dah masih lagi berperangai keanak-anakan. Tetapi perangai itulah yang dirinduinya. Dia rindukan semua orang!