Monday, 13 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 10


     





      Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi yang diarahkan oleh Suri dengan hati yang berat. Matanya memerhati ke sekeliling bilik mesyuarat syarikat yang besar itu. Besar sungguh! Meja mesyuarat pun ada hampir-hampir 50 buah kerusi. Matanya dialihkan pula pada hujung meja mesyuarat itu. Masih ada tiga kerusi yang belum diisi. Sebenarnya bukan semua kerusi diisi pun. Kerusi yang di belakang-belakang kosong saja.


      “Meeting ini hanya dihadiri oleh Datuk, Encik Firas Daniyal dan arkitek-arkitek di syarikat ini. Lebih kurang 10 orang aje,” terang Suri apabila dia terperasankan muka hairan Qaisara. Qaisara mengangguk faham. Patutlah tak semua kerusi diisi.


      “Sebenarnya akak tak ada kaitan pun dengan meeting ini. Sara okey kan kalau tak ada akak?” Qaisara lantas menoleh pada Suri dengan riak wajah terkejut. Biar betul? Aku dahlah tak kenal siapa-siapa lagi dalam syarikat ni. Kecuali si Firas itulah. Mahu mati kutu aku sorang-sorang dalam bilik besar ini!


      “Sorrylah, dik. Behave, okey,” pesan Suri lalu berjalan keluar dari bilik itu.


      Qaisara semakin resah. Hujung tudungnya dipintal-pintal. Apa aku nak buat sekejap lagi? Hari pertama dah kena masuk mesyuarat bagai, aku ni budak baru belajar aje. Tak tahu apa-apa lagi! Sudahlah setuju kerja di sini pun terpaksa aje. Tak sangka aku tadi tak ada temuduga pun. Jumpa Datuk cuma perkenalkan diri  aje. Lepas itu, terus Datuk cakap dah boleh kerja. Rosak rancangan aku nak buat Datuk tak kenankan aku untuk kerja di sini!


   Seketika kemudian, pintu  pun dibuka dan tiga orang lelaki berpakaian formal masuk ke bilik mesyuarat. Datuk Adi Dharma mengambil satu-satunya tempat yang ada di hujung meja besar itu manakala Firas duduk di tepinya di sebelah kanan meja.


    Satu lagi susuk tubuh menarik minat Qaisara. Lelaki itu segak berkameja merah muda dan kot hitam menutupi tubuhnya yang sasa. Tempat duduk di tepi Datuk Adi Dharma yang terletak di sebelah kiri meja mesyuarat diambilnya. Beberapa saat kemudian, pandangan mata lelaki itu membalas pandangan mata Qaisara. Senyuman manis dilemparkan olehnya lalu dia menundukkan kepalanya sedikit tanda menyapa Qaisara. Qaisara segera melarikan pandangan. Dia berpura-pura membuka buku catatannya. Malu! Macam mana lelaki itu boleh perasan?! Tampan! Tapi, macam kenal la lelaki ini. Siapa, ya?


    Qaisara angkat muka. Lelaki itu masih memandangnya sambil tersenyum. Qaisara memberanikan diri membalas pandangan lelaki itu dengan muka yang garang. Harap dia takut!


    Namun, lelaki itu masih  memandangnya malahan dia berani mengenyitkan matanya kepada Qaisara. Qaisara tersentak. Lelaki itu pula cuba menyembunyikan tawanya walaupun Qaisara tahu lelaki itu hendak tergelak. Qaisara sudah panas hati. Melampau betul lelaki ini!


       Hati Haikal sudah ketawa berdekah-dekah dalam dadanya. Apalah budak Qaisara ni! Nak buat lawak pun dalam bilik mesyuarat. Haikal masih tersenyum walaupun dia sudah berhenti menyakat sahabat baiknya itu. Matanya mula fokus pada komputer riba yang baru dihidupkan. Eh, tapi macam mana boleh ada Qaisara di sini?


       Qaisara merengus perlahan. Buku catatan dibuka pada muka surat yang kosong lalu pen dipegang kejap. Dasar lelaki gatal! Tapi, kenapa muka dia familiar sangat? Qaisara cuba mengingat siapa lelaki itu. Ha! Lelaki itu adalah lelaki yang di rumah Nek Milah tempoh hari! Juga lelaki yang sama di tepi tasik di masjid hari itu!


      Wajah lelaki itu yang sedang leka memandang pada skrin komputer ribanya dipandang lagi. Qaisara benar-benar yakin bahawa itu adalah lelaki yang sama di rumah Nek Milah dan di tasik tempoh hari. Tapi kenapa perwatakan lelaki itu seperti agak berbeza daripada yang dia pernah jumpa di dua tempat tersebut? Lelaki itu agak garang ketika di rumah Nek Milah. Lelaki itu kelihatan kusut dan berserabut ketika di tasik.


     “Assalamualaikum dan selamat petang. Pertama-tamanya, seperti yang anda semua dapat lihat ada muka baru dalam kalangan kita, Cik Airis Qaisara Mohd Kamal akan turut serta dengan anda semua dalam apa-apa projek yang akan dipertanggungjawabkan kepada syarikat kita nanti. Jadi, saya harap semua dapat beri tunjuk ajar kepada Cik Airis Qaisara.” Datuk Adi Dharma memulakan bicara. Qaisara mengukirkan segaris senyuman manis apabila semua mata tertumpu padanya. Semua mata kecuali mata milik Firas Daniyal!


     Lelaki gatal tadi turut memandangnya dengan pandangan yang Qaisara pun tak tahu nak tafsir bagaimana pandangan itu. Seperti pandangan yang terlebih mesra saja. Sudahlah lelaki itu senyum sampai ke teling. Lebar sungguh senyumannya! Seram!


    “Sementara ini, saya letak Cik Airis Qaisara di bawak tunjuk ajar Encik Khalis. Encik Khalis tiada masalah, kan?” Sambung Datuk Adi Dharma lalu matanya terarah pada Haikal.


     “Tiada,” jawab Haikal ringkas. Dia tersenyum senang hati. Rasanya hari itu adalah hari yang paling banyak dia tersenyum.


     Qaisara terpempan. Kenapa mesti aku diletakkan di bawah lelaki itu? Sudahlah macam psiko semacam aje! Tapi, oh, namanya Khalis. Padanlah dengan kekacakan wajahnya. Ewah! Merapulah kau, Sara! Tadi bukan main mengutuk dia gatal, sekarang puji dia kacak pulak!


    “Sebenarnya mesyuarat petang ini tak ada benda yang penting sangat pun. Cumanya kita nak tentukan sama ada design yang Encik Khalis sudah reka untuk projek muzium kita di Melaka itu boleh diterima atau tidak. Sebab itulah kita panggil semua arkitek syarikat ini untuk menilai dan memberi pandangan. Mesyuarat ini pun telah dicadangkan oleh Encik Khalis sendiri. Jadi, marilah kita dengar apa yang ingin dikatakan oleh beliau,” panjang lebar Datuk Adi Dharma menerangkan tujuan sebenar mesyuarat itu diadakan.


      Haikal bangun dari duduknya. Wayar projektor  LCD disambungkan pada komputer ribanya. Matanya kembali fokus pada skrin komputer sambil tangan kanannya lincah menari-narikan tetikus. Seminit kemudian, lukisan pelan bangunan muzium elok  terpancar pada skrin besar di hadapan meja mesyuarat itu. Suis lampu pantas ditutupnya lantas dia kembali berdiri di sebelah skrin besar itu.


    “Baiklah. Ini adalah rekaan saya untuk projek muzium kita di Melaka. Dalam rekaan bangunan muzium ini, saya menitikberatkan senibina dari Britain pada sudut luaran bangunan. Saya...”


     “Kenapa perlu digunakan senibina dari Britain sedangkan kita punya warisan kita sendiri?” Soal Firas. Dia tersenyum sinis. Ambik kau soalan maut! Kau ingat senang-senang aje kau nak menang?


      Haikal melepaskan keluhan halus. Kacau betul mamat ni! Aku tak habis cakap lagi dia dah menyampuk. Aku geramlah ni!


      “Jadi, Encik Firas nak kita pakai rekaan Melayu?”


    “Sudah semestinya. Kita ada warisan kita sendiri,” jawab Firas angkuh.


      “Contoh?” Soal Haikal kembali.


     “Kita bina muzium yang bentuknya seakan-akan rumah kampung atau istana Melayu pada zaman kegemilangan Melayu dulu. Macam Istana Seri Menanti.” Firas mengeluarkan buah fikirannya dengan begitu yakis sekali. Dia tersenyum bangga.


     “Bangunan muzium yang kita nak bina ini bukanlah muzium kecil yang hanya mempamerkan lukisan atau benda-benda kecil yang lain. Kalau tujuan muzium itu dibina hanya untuk mempamerkan lukisan atau benda lain, mungkin kita boleh terima. Sebabnya adalah senibina Melayu sendiri terdiri daripada kayu-kayan. Jadi, agak kukuhlah kalau kita nak pakai untuk tujuan sebegitu. Masalahnya tujuan muzium itu dibina adalah untuk mempamerkan kereta-kereta antik. Kita perlu berfikir dengan lebih cerdik sikit. Please, use your brain before you speak.” Haikal sempat mengenakan Firas melalui kata-katanya. Dia ingat dia aje yang pandai? Biar dia malu sikit!


      Firas terkedu. Kenapa aku tak tahu pun yang muzium ini hendak dibina untuk diletakkan kereta antik? Kalau aku tahu tak adanya aku beri idea macam tu. Bodohnya! Aku nak kenakan si Haikal tapi kenapa aku yang terkena balik!


    “Saya rasa kita tak perlukan explanation dari Encik Khalis lagi tentang senibina bangunan muzium ini. Sudah terang-terang hasil kerja Encik Khalis sangat bermutu,” celah Encik Alfian pula. Memang itu yang dirasakannya sejak awal lagi.


      Qaisara yang sedari tadi hanya menjadi penonton baru tersedarkan sesuatu. Akalnya sedang memikirkan seperti ada yang tak kena antara dua orang lelaki muda di dalam bilik mesyuarat ini.


    “Adakah Encik Alfian seorang saja yang berpihak kepada Encik Khalis?” Soal Datuk Adi Dharma mahukan kepastian.


    “Sebenarnya kami semua suka dan kagum dengan design Encik Khalis,” jawab Laila pula. Lima orang arkitek lain termasuk Encik Alfian sendiri mengangguk-anggukkan kepala tanda setuju.


      “Cik Airis Qaisara, apa pandangan cik?” Soalan yang ditujukan oleh Datuk Adi Dharma kepada Qaisara membuatkannya tersentak.


     “Saya masih baru untuk memberikan pendapat dalam projek besar sebegini. Tapi, bagi saya, design yang disiapkan oleh Encik Khalis ini sangat cantik. Kalau Encik Firas menentang hasil kerja Encik Khalis ini hanya disebabkan nak tegakkan Melayu kita, rasanya perlulah kena pada cara dan tujuan pembinaan bangunan warisan itu sndiri.” Qaisara melontarkan pandangannya pula. Ewah, Qaisara! Pandai kau bercakap, ya?


     Sekali lagi Firas terkedu. Dia tertunduk diam. Mereka berdua ini memang ada pakatan mahu mengenakan aku. Kalau sudah bersahabat baik, memang sentiasa bersatu hati!


     “Jadi, rasanya kita sudah tahu apa keputusannya, kan? Bolehlah kita bersurai. Assalamualaikum,” kata Datuk Adi Dharma lalu bangun dari kerusi.


      Qaisara masih lagi terkejut. Macam itu aje mesyuarat? Tak sampai sejam pun!


      Haikal tersenyum puas. Komputer ribanya kembali disimpan dalam beg sandang. Puas hati aku! Sekarang aku ada misi baru pula. Airis Qaisara.


    Semua orang pun beredar dari bilik mesyuarat tersebut. Firas Daniyal berjalan keluar dengan hati yang panas. Masa masih panjang untuk kau mendabik dada, Khalis Haikal. Fikiran jahat Firas berbisik halus.




Saturday, 11 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 9


      




    Butang lif ke tingkat 5 bangunan syarikat itu ditekan. Qaisara menarik nafas dalam. Rasa kecut perut menyerbu dirinya. Apa omputih cakap, ‘butterflies in stomach’. Tapi ini bukan setakat butterflies, elephants pun dah ada dalam perut ni! Keadaan lif yang berdindingkan cermin dan berpenghawa dingin itu pun sudah jelas menunjukkan bahawa Alam Damai Holdings ini merupakan sebuah syarikat yang sangat hebat. 
  

     Tudung biru bercorak bunga-bunga di kepala dibetulkan. Untung ada cermin dalam lif ni! Kot hitam yang menutupi blaus putihnya dibukakan butang. Lega! Kalau tidak badan ini terasa sangat sesak. Sudahlah tengah gelabah.


     Pintu lif terbuka. Qaisara mengintai keadaan ruang tingkat itu dengan hati yang cemas. Pintu kaca di hadapan lif itu dibuka perlahan-lahan. Terdapat sebuah meja panjang berdekatan dengan pintu kaca itu dan ada seorang gadis bertudung yang sedang menyusun kertas ke dalam sebuah fail. Penyambut tetamu barangkali. Tetapi kenapa perlu ada penyambut tetamu di tingkat ini? Kan sudah ada penyambut tetamu di tingkat bawah sekali? Sah-sah syarikat ini memang hebat! Sampai ada dua tempat sambut tetamu.


    “Assalamualaikum, cik. Saya datang untuk temuduga.” Qaisara menyapa gadis itu yang dilihat seperti seumur dengannya.


     “Datuk belum sampai lagi. Mungkin 15 minit lagi. Cik duduk dulu,” arah gadis itu sambil menunjukkan sofa panjang di sudut penjuru ruangan itu.


   Tanpa berkata apa-apa, Qaisara terus menghenyakkan punggungnya di tempat yang diarahkan. Dia tunduk melihat jam di pergelangan tangan kanannya. Sudah jam 9.05 pagi. Ingatkan aku yang lambat. Tapi nasib baik jugak orang yang nak temuduga aku tu tak datang lagi, kalau tidak mesti awal-awal lagi tak dapat kerja sebab aku lambat. Gumam hati Qaisara.


     Lima minit kemudian, kedengaran suara dua orang lelaki sedang bersembang masuk ke ruangan itu. Agaknya itulah Datuk Adi Dharma, kot. Qaisara memandang dua orang lelaki yang sedang menghampiri meja gadis yang disangkakannya penyambut tetamu itu tadi. Seorang daripada lelaki itu kelihatan seperti berusia dalam lingkungan 50-an manakala seorang lelaki lagi nampak sebaya dengan dirinya sendiri. Mestilah yang agak berusia itu Datuk Adi Dharma, kan.


     “Selamat pagi, Datuk, Encik Firas,” sapa gadis yang disangkakan penyambut tetamu itu dengan segaris senyuman.


     “Selamat pagi. Liyana dah sampai?” Datuk Adi Dharma membalas. Wajahnya kelihatan manis saja. Tak nampak garang pun. Lelaki muda yang di sebelah Datuk pula hanya berwajah serius. Sapaan gadis tadi juga tidak dibalas. Berwajah serius?! Gadis tadi menyebut ‘Encik Firas’! Qaisara kaget. Diperhatikan lagi tiga orang yang di hadapannya itu bercakap.


     “Belum lagi, Datuk. Awal pagi tadi Liyana call saya beritahu yang anak dia demam. Dia lambat sikit hari ini sebab dia nak hantar anaknya ke klinik dulu,” terang gadis itu panjang lebar.


     “Okey, tak apa. Bila Liyana dah sampai, awak suruh dia hantar schedule saya untuk hari ini ke bilik saya, ya?”


      “Baiklah, Datuk. Lagi satu, ada seorang perempuan datang untuk temuduga.”


      “Ayah, kita ada buka temuduga untuk apa? Setahu Firas, ayah tak ada cakap pun pasal nak cari staf baru, kan?” Celah lelaki muda yang sedari tadi hanya berdiam diri. Macam protes aje?


      “Okey, suruh dia masuk ke bilik saya,” balas Datuk Adi Dharma lalu berjalan ke arah lorong di sebelah kanan. Lelaki muda tadi hanya mengikut langkahnya. Kemudian, mereka bersembang lagi. Qaisara mengerutkan dahinya. Aku yang tercongok kat sini diorang tak perasan ke?


    “Siapa nama cik?” Soal gadis itu tiba-tiba. Qaisara terkejut. Entah bila dia duduk depan aku pun aku tak sedar.


   “Airis Qaisara Mohd Kamal. Boleh panggi Sara aje.” Qaisara tersenyum.


    “Saya Suri. Boleh panggil Kak Suri. Saya penyambut tetamu di tingkat ini,” jelas Suri dengan mesra. Qaisara mengangguk. Memang tiap-tiap tingkat ada penyambut tetamu ke macam mana?


       “Kakak ke? Macam sebaya aje kita ni?”


    “Jangan cakap macam tu, dik. Akak dah masuk 30 tahun dah. Cuma belum jadi puan lagi,” balas Suri tersipu malu. Wajahnya yang keanak-anakan memang selalu disangkakan seperti gadis awal 20 tahun. Itulah yang orang cakap penampilan boleh menipu. Kadang-kadang kita terjumpa lelaki tua tepi jalan pakai baju koyak-rabak aje, padahal CEO syarikat mana-mana. Kadang-kadang kita tengok muka orang tu macam baru habis sekolah aje, padahal anak lima orang dah.


     “Eh, awet muda!” Qaisara terkejut. Biar betul dah 30 tahun? Kalau letak muka aku sebelah muka Kak Suri ni sah-sah muka aku nampak lagi tua. Bukan tua, ya. Tapi, matang! Nak sedapkan hati aje sebenarnya.


    “Yalah tu. Sebenarnya akak pun tak tahu yang company ada panggil orang temuduga. Sara tengok iklan atau dapat surat tawaran?”


   “Saya dapat surat tawaran Rabu lepas. Saya pun tengah menganggur sekarang. Ini pun mencuba nasib aje,” beritahu Qaisara. Aku pun terkejut bila tengok ada surat tawaran kat peti surat. Tapi dah rezeki, cuba ajelah.


    “Okey, yang tadi itulah Datuk Adi Dharma. Dia orang Indonesia tapi dah lama menetap di Malaysia. Itu pasal namanya pelik sikit. Tapi dia memang baik gila. Tak garang langsung! Tengok macam tadi, PA dia si Liyana tu terpaksa datang lewat sikit sebab anak demam, dia tak marah pun. Kalau majikan lain mesti dah meletup! Cuma dia tegas sikitlah. Yang muda tadi tu pulak anak lelakinya, Encik Firas Daniyal. Dia ini, akak malaslah nak komen apa-apa!” Cerita Suri satu persatu. Memang tak tahu nak komen apa pasal si Firas itu! Sudahlah baru kerja tak sampai berapa hari, kerek aje lebih!


     Hampir jatuh pengsan Qaisara apabila mendengar segaris nama itu. Malapetaka apa pulak kali ni? Sudahlah dulu masa sekolah pun dah bernasib malang terpaksa berdepan dengan lelaki sombong itu!


    “Jomlah akak bawak Sara pergi bilik Datuk,” ajak Suri. 


    Mereka berdua pun berjalan menuju ke bilik Datuk Adi Dharma. Qaisara menyesal. Sangat menyesal kerana datang ke temuduga itu. Kalau boleh memang dia tak mahu ada apa-apa kaitan dengan lelaki sombong itu lagi. Tak apa, temuduga nanti aku buat sampai Datuk rasa tak rugi pun kalau tak ambik aku kerja. Kahkahkah!


**********


    Secawan kopi panas dicicip lalu dia tersenyum senang hati. Petang ini akan diadakan mesyuarat berkenaan dengan projek pembinaan muzium di Melaka itu. Keputusan mesyuarat itu jugalah yang akan menentukan siapa benar dan siapa salah. Puas Haikal memujuk Datuk Adi Dharma untuk melakukan mesyuarat tergempar itu. Pada awalnya, Datuk hanya menyuruh Haikal berbincang dengan Firas berdua saja. Tetapi dipujuknya Datuk sehingga lelaki tua itu bersetuju. Kalau nak harap berbincang dengan si Firas perasan bagus tu memang tak akan jadi apa-apa. Mesti dia nak aku ikut kepala angin dia aje. Kalau dah tak puas hati tu aku buat benda cantik tara mana pun dia tetap akan tentang.


    Haikal mencapai telefon pintarnya lalu nama ‘Baby Eryna’ dicari dalam senarai kenalannya. Nombor wanita itu didail.


    “Yes, abang sayang?” Sapa Eryna setelah menjawab panggilan lelaki yang paling disayanginya itu. Payah benar lelaki itu mahu menghubunginya. Dia yang selalu menelefon Haikal. Sibuk sungguh arkitek muda itu!


    “Wie geht es dir?” Haikal bertanya khabar.  Eryna sudah seminggu tidak menghubunginya. Tak tahan dengan rasa rindu yang semakin menggebu di hatinya, dia pun menelefon wanita yang jauh di tempat dia belajar dulu.


    “There’s nothing better when I’m near with you,” jawab Eryna nakal. Dia ketawa manja di hujung ayatnya.


    “Sweet talker!” Haikal tesenyum bahagia. Memang tiada seorang pun yang boleh membahagiakannya selain arwah mama, nenek dan Eryna. Semestinya dia tak akan lupa akan seorang lagi yang mampu membuat dia tersenyum sepanjang hari.


    Eryna tergelak kecil.


    “Abang ada presentation penting kejap lagi. Wish me luck. Do pray for me.”


   “Sure!”


    “Sayang abang ni bila nak balik temankan abang kat Malaysia ni?” Soal Haikal. Hari tu cakap macam nak balik dah tapi tak sampai-sampai pun. Rindunya!


    “So you can’t wait to see me?”


    “Of courselah, sayang!” Dia tersenyum sendirian. Memang kalau ada orang nampak dia dalam keadaan sebegini pasti orang akan mengatakan yang dia sedang mabuk cinta!


  “Oh my goodness! Abang, I gotta go now! See ya. Assalamualaikum. Always love you!”


   Talian dimatikan oleh si penerima panggilan. Haikal mengeluh. Baru nak lepas rindu!


    Haikal berdiri. Kot hitam yang tersangkut di penyandar kerusinya diambil lalu dipakai. Komputer riba dimasukkan ke dalam beg sandangnya lalu digalas keluar dari bilik kerja itu. Sebelum keluar, dia sempat mencapai kertas lukisan pelan bangunan muzium yang sudah ditolak mentah-mentah oleh Pembantu Pengarah syarikat itu. Kini, dia berjalan ke bilik mesyuarat dengan semangat yang berkobar-kobar dalam dada. 




Thursday, 9 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 8


        





    Haikal mencapai songkok lalu diletakkan di atas kepalanya sebelum terkocoh-kocoh dia menuruni tangga untuk mendapatkan Nek Milah. Nek Milah yang sedang duduk sambil membetulkan tudung yang dipakai terkejut melihat penampilan cucunya. Ini nak pergi kenduri kesyukuran atau nak pergi akad nikah?


     “Hai, segak semacam cucu nenek ni? Bersongkok siap,” sapa Nek Milah sambil tersenyum. Susah betul nak tengok budak Haikal ni berbaju melayu. Kalau pakai pun masa raya aje. Itupun tak sampai tengah hari dah tukar uniform.


     Haikal melihat penampilan dirinya pada cermin panjang di sebelah tangga. Baju melayu cekak musang berwarna ungu tua elok saja terletak pada tubuh tinggi lampainya. Warna baju yang gelap menonjolkan lagi kulitnya yang putih berseri.


    “Dah lama tak pakai baju melayu, alang-alang nak pergi kenduri Kal pakai ajelah baju ni. Lagipun ini kan baju raya tahun lepas, baru sekali aje pakai,” balas Haikal sambil mmbetulkan letak duduk songkok di atas kepalanya. Bersongkok aje pun, bukan bersampin. Kalau siap bersampin kotlah nenek nak terkejut.


   “Nenek ingat kamu tak nak pergi. Yalah, kamu kan sibuk mengalahkan bapa 10 anak.”


    “Nenek pandai perli cara halus! Double meaning lagi!” Haikal senyum meleret. Ayat-ayat nenek menikam sanubari sungguh! Hari ini memang Hari Perli Khalis Haikal Sedunia ke? Petang tadi kena perli dengan Amsyar. Sekarang dengan nenek pulak!


     “Eh, betullah! Duduk serumah pun dalam sehari tu belum tentu nenek dapat tengok muka kamu. Keluar kerja awal pagi masa nenek tengah mengaji, baliknya pulak lewat petang masa nenek dah berangkat ke surau. Bila nenek balik dari surau kamu pulak dah tidur.” Nek Milah sudah mula membebel serupa mak nenek. Eh, memang nenek pun! Haikal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Nenek ni, bila dah boleh jumpa bukan nak tatap muka aku puas-puas. Membebel pulak!


    “Eh, nenek tak pergi surau pulak malam ni?” Haikal cuba mengubah topik. Kalau tak diubah topik karang ada jugak yang kena perli lagi.


     “Kelas mengaji malam ni batal sebab ada kenduri kesyukuran di rumah Pak Cik Kamal kamu tu. Ni, siapa yang beritahu kamu pasal kenduri ni?”


     “Petang tadi, Kal singgah solat asar di masjid. Terserempak pulak dengan si Amsyar. Dialah yang mengajak.” Haikal mula hendak mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Nek Milah. Nampak macam panjang lagi aje nenek nak berbual dengan aku ni. Yalah, aku kan sibuk mengalahkan bapa 10 anak. Bukan senang nak duduk melepak macam ini. Hai, bilalah aku nak kahwin? Kalau dah kahwin bolehlah aku duduk melepak dengan bini aku setiap hari. Bukan nenek aje yang sedang menunggu bila cucu kesayangan ini nak kahwin, diri aku sendiri pun dok tertunggu-tunggu bila aku boleh berlatih lafaz akad.


    “Eh, duduk pulak dia! Nak duduk-duduk, bila pulak nak pergi rumah depan tu? Cepat!” Nek Milah sudah bangun dari duduknya lalu berjalan ke arah pintu utama rumah itu.


     “Ingatkan lama lagi nak bersembang. Kalau tidak boleh bancuh kopi dulu,” kata Haikal sambil membuntuti langkah neneknya.


   Setibanya mereka di rumah Encik Mohd Kamal itu, khemah-khemah yang tersedia sudah penuh dengan para tetamu. Nek Milah segera mendapatkan Puan Aminah yang sedang duduk bersembang dengan jiran-jiran di bawak khemah perempuan. Haikal yang tinggal sendirian mati kutu. Diperhatikan wajah-wajah yang ada di situ satu persatu. Tak kenal!


    “Haikal! Datang jugak kau, kan!” Sapa Amsyar dengan mesra. Mereka bersalaman seketika.


     “Mestilah datang! Kan nak mengeratkan silaturrahim antara jiran tetangga. Kalau aku tak datang, entah bila pulak boleh jumpa kau,” jawab Haikal panjang lebar. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam kocek baju melayu. Kekok di majlis sebegini sebenarnya. Kali terakhir pergi kenduri pun semasa dia baru menamatkan tingkatan 6 enam tahun yang lepas. Itupun setelah dikerah oleh nenek yang teringin sangat hendak makan kenduri kahwin sepupunya di Johor Baru. Siapa lagi yang hendak bawa nenek kalau bukan dia.


     “Sedar pun! Kau kan sibuk memanjang. Dengar kata kau tengah uruskan syarikat besar kat KL.”


     “Kau kalau tak perli aku memang tak lengkap hidup kau, kan?” Haikal menggeleng-gelengkan kepalanya. Agaknya kat dahi aku ni ada tulis ‘SILA PERLI SAYA’ kot!


     “Eh, jom aku teman kau makan. Aku pun tak makan lagi.”


     “Aryan dan Akif mana? Pak Cik Kamal?”


    “Aryan dan Akif dapat tugas jaga stok makanan. Ayah tengah layan orang-orang surau, tak silap aku. Jomlah makan. Lepas makan boleh aku kerah tenaga kau pulak,” Amsyar tersengih sambil menjungkit-jungkitkan keningnya. Eh, Haikal tak nak tanya pasal Sara ke? Sara balik pun tak ada dia tanya pasal Haikal. Bergaduh ke sebelum Sara berangkat ke UK dulu?


     “Jomlah. Aku pun memang tengah lapar!”


     Mereka berdua pun berjalan beriringan ke khemah lelaki untuk mengambil makanan. Haikal melihat-lihat lauk-pauk yang tersedia di atas meja buffet dengan rasa tidak sabar. Tak sabar nak makan! Ada kambing masak kurma, kari ayam, ikan goreng dan ulam-ulaman serta sambal belacan. Dah lama Haikal tak makan nasi dengan lauk-pauk sebegini. Betul-betul membangkitkan selera!


     Selepas mengambil makanan, Haikal dan Amsyar duduk di meja yang paling belakang. Meja yang depan-depan sudah pun dipenuhi oleh tetamu-tetamu yang lain. Baru hendak menyuap nasi, Haikal ternampak ‘seseorang’ sedang membawa beberapa kotak tisu ke khemah itu sambil tersenyum manis. Haikal terpesona!


    “Am, itu siapa?” Tanya Haikal sambil tangan kirinya menepuk-nepuk peha Amsyar yang duduk di sebelahnya.


    “Mana?” Mata Amsyar sudah meliar ke sekeliling untuk mencari gerangan yang dimaksudkan oleh Haikal.


     “Itu, yang tengah letak kotak tisu atas meja buffet tu!” Mulutnya memuncung pada perempuan yang memakai baju kurung bunga kecil berwarna sedondon dengan baju melayunya. Cantik sungguh perempuan itu! Haikal jarang tertarik pada perempuan. Tetapi perempuan ini sangat menarik pada pandangan matanya.


     “Itu? Itulah jodoh kau!” Jawab Amsyar lalu tergelak. Sengaja dia mahu menyakat lelaki itu. Kata BFF tapi baru tak jumpa enam tahun dah tak kenal.


     “Kau ni, seriuslah!” Marah Haikal. Matanya dibeliakkan tanda dia benar-benar serius.


     “Kan aku dah kata, manalah tahu kau datang sini boleh jumpa jodoh. Itulah dia!” Amsyar gelak mengekek. Suka benar dia dapat mengenakan Haikal begitu.


     “Aku nak baliklah!” Rajuk Haikal. Kerusi ditolakkan ke belakang perlahan-lahan. Geram dengan Amsyar. Aku serius dia boleh main-main pulak!


     “Eh, jangan! Nanti orang kata aku tak pandai layan tetamu pulak. Itu Saralah! Kau ni, BFF sendiri pun tak kenal,” balas Amsyar. Itu pun nak merajuk. Perangai serupa dengan Sara!


     “Biar betul? Kenapa sekarang dia cantik?” Hampir nak terkeluar biji mata Haikal dari soket matanya. Matanya masih tidak lepas-lepas memandang Qaisara yang sedang sibuk melayani para tetamu. Ayu gila! Cara jalan, cara cakap, hatta cara senyum sekalipun nampak lain sangat. Nampak lemah lembut! Dan, perempuan itulah yang menjadi model pintu pagar rumahnya tempoh hari!


   “Oh, jadi adik aku tak cantik la sebelum ni?” Serkap Amsyar. Dilihatnya Haikal memandang Qaisara tidak kelip-kelip. Pelik! Aku tengok si Sara tu sama aje macam dulu. Apa yang budak Haikal ni terkejut sangat?


   “Eh, sebelum ni dia comel aje. Tak sampai cantik lagi. Tapi sekarang dah cantik sangat! Kau tak cakap pun yang Sara dah balik?”


   “Aku ingat kau dah tahu. Kau kan BFF dia. Ini pun kenduri kesyukuran sebab sambut budak kecik tu balik.”


     “Enam tahun dia di UK, enam tahunlah kami tak berhubung. Dia nampak lain!”


     “Nak aku panggilkan dia?” Soal Amsyar lalu menghabiskan suapan terakhirnya. Patutlah pelik aje dua orang ni, betul-betul lost contact rupanya. Aku dah habis makan. Budak Haikal ni mula makan pun belum!


     “Eh, tak payah! Dia sibuk tu,” jawab Haikal lalu menyuapkan nasi berlauk ikan goreng bersama ulam kacang bendi dicecah sambal belacan ke mulutnya. Makan malam pada hari itu memang terbaik!


     Selesai makan, Haikal menemani Aryan makan pula sambil duduk berbual sementara Amsyar mengganti tugas doktor muda itu untuk menjaga stok makanan. Sambil-sambil berbual tu, matanya masih sempat mencuri-curi pandang pada wajah perempuan yangs angat dirinduinya itu. Patutlah dia rasa rajin aje hendak pergi ke kenduri kesyukuran itu, rupanya ada hikmah.


   Malam itu, Haikal dapat tidur dengan begitu lena sekali. Kepulangan Qaisara sangat dinanti-nantikan olehnya. Tak sabar nak tunggu hari esok!




Wednesday, 8 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 7


        



     “Sara, angah pergi cari Tok Siak sekejap. Sara keluarkan dulu semua barang-barang ni,” arah Amsyar lalu keluar dari perut kereta dan berjalan masuk ke dalam masjid. Perodua Vivanya diparkirkan betul-betul di hadapan masjid untuk memudahkan mereka mengangkat kotak-kotak yang berisi sejadah dan telekung. Bukan sedikit yang ayah ingin sedekahkan. Berkotak-kotak jugaklah. 

        
     Qaisara masih berkira-kira sama ada dia mahu mengangkat kotak-kotak tersebut atau mahu menunggu Amsyar saja. Kalau nak angkat seorang diri nanti ada juga pinggang yang patah kot! Tunggu ajelah. 

     Petang-petang begini memang kawasan masjid selalu dipenuhi ramai orang. Yalah, kalau sudah dekat dengan kawasan rekreasi, kan. Tambah-tambah ada sebuah tasik pula di sebelah masjid ini. Kalau nak tenangkan fikiran memang inilah tempat yang terbaik.


     Qaisara menyandarkan badan pada kereta milik abang keduanya itu sambil berpeluk tubuh. Nyaman sekali angin petang ini. Indah sungguh pemandangan di tepian tasik ini. Matanya asyik memandang ke arah tasik sehinggakan dia terperasankan seorang lelaki yang sedang duduk di atas kerusi batu sambil kedua-dua belah tangannya diletakkan ke belakang kepala. Masih berpakaian pejabat. Entah mengapa lelaki itu sangat menarik perhatian Qaisara ketika itu. Dipandangnya lelaki itu dari jarak yang jauh. Tiba-tiba lelaki itu bergerak-gerak. Perasan dirinya diperhatikan oleh seseorang, mungkin. Bimbang ditangkap oleh lelaki itu, Qaisara segera mencari-cari bayang Amsyar. Nasib baik Amsyar dah dekat. Lega. 


     “La, kenapa tak angkat lagi?” Soal Amsyar kehairanan. Sudahlah dilihatnya Qaisara dalam keadaan kalut. Macam ada sesuatu yang sedang disembunyikan.


     “Kalau orang nak angkat sorang memang kenduri malam ini kita buat kat hospital ajelah, ye? Berat oh!” Jawab Qaisara. Matanya masih menjeling-jeling ke arah lelaki yang sedang berjalan menuju ke sebuah kereta yang terletak tidak jauh dari tempat mereka sedang berdiri itu. Eh, Toyota Vios?! 


     “Sara angkat mana yang larat dulu, nanti angah angkat mana yang berat.” Amsyar memberikan arahan sebelum dia berjalan ke arah yang sama seperti lelaki tadi. Angah kenal dengan dia ke?


     Satu persatu kotak berisi telekung dan sejadah yang ringan-ringan diangkat oleh Qaisara ke dalam masjid. Diserahkan kotak-kotak tersebut kepada Tok Siak yang sedang mengecop barang-barang tesebut dengan label masjid.


     “Haikal, tak sangka boleh jumpa kat sini!” Haikal baru saja ingin masuk ke dalam keretanya apabila dia disergah oleh Amsyar sebegitu. Memang selesai solat asar tadi dia singgah duduk di tepi tasik itu untuk meredakan rasa tensyennya. Jumpa jiran depan rumah di masjid daerah? Yang di rumah tak adanya nak terserempak pun, kan. Boleh macam tu?


     “Sibuk sikit sekarang ni. Kerja memang banyak sungguh. Pening aku!” Haikal menyambut huluran tangan Amsyar sambil tersenyum mesra. Dia dan Amsyar memang sudah seperti kawan walaupun umur mereka berbeza setahun. 


     “Biasalah tu. Aku pun stress macam kau jugak. Tapi aku buat-buat tak stress aje. Kalau nak dilayan, sampai bila nak habis?” Nasihat Amsyar. Memang itulah petua hidupnya. Kalau stress, buat-buat tak stress aje. Senang hidup! Buat apa nak serabut kepala fikirkan perkara yang memang sedia kusut? 


     “Itulah, aku kena timba ilmu dari kau ni. Tak pandai aku nak buat-buat tak stress ni. Datang sini pun sebab nak tenangkan jiwa dan raga ni.” Cermin mata hitam segera ditanggalkan lalu disangkut pada poket baju kemeja berwarna kuningnya. Nak bersembang tak elok pakai cermin mata hitam, nanti interaksi mata tak sampai. 


     “Malam ni jom la lepak sekali. Famili aku ada buat kenduri sikit. Ibu aku dah jemput Nek Milah dah pagi tadi. Ini aku jemput kau pulak,” pelawa Amsyar. Nanti dijemput satu taman, yang di hadapan rumah tak berjemput pulak.


     “Kenduri bersempena apa?”


     “Sajalah buat kenduri, nak berkumpul dengan jiran tetangga yang setahun pun belum tentu boleh jumpa.”


     “Kau perli bukan main lagi!” Haikal menampar lengan Amsyar. Menusuk kalbu betul perlian itu! Sibuk sangat ke aku ini?


   “Datanglah! Mana tahu boleh jumpa jodoh.” Amsyar cuba memancing minat Haikal untuk datang ke rumah malam itu walaupun dia sendiri pun tahu umpannya tidak mengena pada Haikal.  


     “InshaAllah. Kalau tak ada aral. Eh, aku balik dulu. Dah nak maghrib. Assalamualaikum!” 


**********


    Qaisara masih berkira-kira lagi mahu bertanyakan soalan itu kepada Amsyar atau tidak. Siapa lelaki tadi? Macam rapat aje dengan angah?


      Qaisara membetulkan duduknya. Amsyar yang sedang memandu di sebelah dikerling. Selepas selesai menyerahkan semua kotak-kotak yang dia mampu untuk mengangkat itu kepada Tok Siak tadi, Qaisara hanya duduk di dalam kereta saja sambil memerhatikan abangnya berbual mesra dengan lelaki yang sampai sekarang dia tak kenal siapa. Lelaki itu macam tak penting, tapi gaya dia menarik perhatian sungguh. Sudahlah kachak! Okey, abaikan ayat terakhir itu.


     “Sara ni kenapa? Ada benda nak cakap dengan angah ke?” Tanya Amsyar tiba-tiba. Pelik betul tengok si Sara ni. Macam ada buat salah aje.


    “Eh, mana ada. Memandai aje angah ni. Ni nak tanya, kawan angah ada yang nak datang ke malam nanti?” Pandai betul angah serkap jarang. Nasib baik aku ada idea bernas buat-buat tanya macam tu!


     “Tak ada pulak angah jemput. Semua jiran-jiran kita aje. Kenapa? Dah nak cari calon suami?” Amsyar gelak mengekek. Tak payahlah nak bersuamikan kawan-kawan aku, semua tak boleh pakai! Semua suka merapu macam aku jugak. Tapi aku ni tak adalah sampai tak boleh pakai. 


     “Bukanlah! Tanya aje.” Qaisara sudah mula rasa geram. Angah memang suka merapu!


      “Sara tak ajak BFF Sara datang malam ni ke?”


     “Alina? Kan dia dah pindah ke Melaka. Jenuh jugaklah kalau nak datang sini.” Qaisara memang ada memberitahu Alina tentang kenduri kesyukuran tersebut tetapi dia faham Alina tidak dapat menghadirkan diri kerana jarak yang agak jauh. Lagipun Alina pun baru saja tiba di rumahnya dari Pulau Pinang. Alina merupakan graduan dalam bidang farmasi dari USM Pulau Pinang.



       “Haikal?”


     “Lost contact dah, ” jawab Qaisara pendek. Entah apa cerita dengan kawan baiknya yang seorang itu pun dia tidak tahu. Haikal seperti menghilang begitu saja. Kalau dulu dia selalu berhubung dengan Alina melalui Skype semasa dia belajar di UK, tetapi dia tidak pernah berhubung dengan Haikal kerana tiada kemudahan internet dan telefon di rumah Haikal. Alina pula terus berpindah setelah tamat SPM, jadi Alina pun sudah tidak berhubung dengan Haikal lagi.


      Amsyar buat muka pelik. Duduk depan rumah aje pun boleh lost contact ke? Aneh-aneh sungguh!


   Sampai saja di rumah, Qaisara segera naik ke bilik untuk membersihkan diri dan bersolat maghrib. Amsyar pula membantu Aryan dan Akif menghidangkan makanan di meja buffet. Dah macam kenduri kahwin dah. Ada khemah siap! Ada dua buah khemah lagi. Selesai menghidang barulah tiga beradik lelaki itu membersihkan diri dan bersolat jemaah berimamkan Encik Mohd Kamal. Giliran Qaisara dan Puan Aminah pula membancuh minuman dan menyediakan pinggan serta cawan kertas untuk para tetamu yang akan datang selepas isya' nanti.




Tuesday, 7 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 6







     Pagi itu merupakan pagi yang indah buat Qaisara. Tidurnya sangat nyenyak dan aman. Tidak pernah dia berasa tenang sebegitu selama hayatnya. Mungkin kerana dia tidur di katil sendiri, di dalam bilik sendiri dan di rumah sendiri. Inilah yang dikatakan ‘rumahku syurgaku’, kan.


   “Sara, ibu suruh bangun mandi. Kita nak pergi beli ayam di pasar,” laung Amsyar sambil tangannya tidak henti-henti mengetuk pintu bilik Qaisara.  Orang baru balik dari UK ni ‘body alarm’nya lain sikit. Entah-entah aku kejut ni pun dia baru nak terlelap.


    Qaisara segera bangun dan berjalan ke arah pintu biliknya. Tombol dipulas dengan rasa sebal. Aku baru nak mimpi sampai ke bintang ada saja yang mahu mengacau! Ini ajelah yang tak seronok di rumah sendiri, pagi-pagi ada saja yang terlebih baik hati mahu mengejut bangun subuh. Orang ada jam locenglah!


    “Angah, baru pukul 6. Bilal pun belum pergi surau lagi. Bangun 6.45 pun sempatlah!” Ujar Qaisara sambil menggosok-gosok matanya.


   “Ibu cakap kalau lambat nanti ayam segar habis, tinggal ayam pencen pulak. Sara rajin ke nak merebus ayam-ayam pencen?”   


    “Iya, Sara pergi mandi dan bersiap, okey? Jangan bebellah! Lelaki membebel tak macho langsung!” Tangannya cepat saja menyentuh rambut Amsyar yang sudah disisir rapi. Dia tahu abangnya itu sudah mandi. Sengaja dia mahu menyakat.



   “Ish, janganlah! Orang dah mandilah!” Amsyar melarang lalu membetulkan rambutnya yang sudah  kusut dikerjakan Qaisara. Aset ni, kalau rosak habis saham jatuh.


     “Nak jaga sahamlah konon! Girlfriendnya tak ada pun.”


     Qaisara mencapai tuala mandi lalu mula membersihkan diri. Elok saja dia keluar dari bilik air, suara azan pun berkumandang. Selesai solat subuh berjemaah bersama-sama ahli  keluarganya, mereka bersarapan pagi pula. Tepat jam 7 pagi, mereka berempat pun keluar membeli bahan-bahan basah dan bahan-bahan kering untuk keperluan kenduri kesyukuran pada keesokan harinya.


     “Ibu, kenapa beli banyak sangat barang ni? Kita jemput satu KL ke?” Soal Qaisara kepada Puan Aminah dalam perjalanan pulang ke rumah dari pasar. Ibu beli barang mengalahkan orang buat kenduri kahwin!


     “Ibu jemput saudara-mara dan jiran tetangga saja. Tak adalah ramai mana pun tapi ayah kamu nak percepatkan kendurinya.”


      “Kenapa pulak nak percepatkan? Kan semua dah ambil cuti esok?”


     “Sebab esok ada ceramah selepas maghrib di surau. Kalau kita buat jugak kan bertembung dengan ceramah tu,” jelas Aryan pula. Matanya masih memberikan penumpuan yang sepenuhnya pada jalan raya.


       “Habis, nak buat kenduri tu bila pulak?”


       “Malam ni,” jawab Puan Aminah pendek.


    “Habis siapa yang nak kerjakan ayam, kambing dan ikan ni semua?” Soal Qaisara lagi. Kalau mereka berempat saja yang ingin menyiapkan segala lauk-pauk, memang kuruslah! Sudahlah ibu beli barang-barang ini semua untuk 200 orang makan. Kalau 50 orang, masih boleh dipertimbangkan lagi. Aku yang sememangnya kurus, boleh kurus lagi nanti. Ewah!


     “Ala, kita kan ada 4 orang. Kita bahagi la tugas. Lagipun, ayah dan achik balik tengah hari nanti. Kita boleh buat la. Chaiyok! Chaiyok!” Laung Amsyar dengan penuh semangat. Qaisara menggeleng-gelengkan kepalanya. Abang aku yang satu ini memang tak betul! Umur sudah 28 tahun tetapi perangai masih lagi seperti kanak-kanak 8 tahun.


    "Petang nanti Sara dengan angah pergi hantar sejadah dan telekung ke masjid, ya? Barang dah sampai kemarin. Tinggal nak dihantar aje," pinta Puan Aminah.


     "Masjid mana, ibu?" Aryan bertanya sambil tangannya memusing stereng kereta untuk membelok ke arah kanan.


     "Masjid yang kita selalu pergi solat terawih tu. Yang kamu dok pergi solat jumaat."


     "Yang tepi tasik tu?" Qaisara cuba mengingat rupa masjid itu. Sudah bertahun tidak menjejakkan kaki ke Malaysia, memang dia tidak berapa ingat. Yang dia ingat dia selalu melepak dengan Haikal dan Alina di tepi tasik itu setelah kepala mereka tepu dengan nota-nota pelajaran di sekolah menengah dahulu.


       "Iya."


     "Ayah yang sedekah ke?" Soal Amsyar pula. Dia pun sudah sedia maklum bahawa ayah memang suka bersedekah. Malangnya ayah tidak punya waktu untuk melakukan amalan itu sendiri. Jadi, si isterilah yang perlu menguruskan segala-galanya.


     "Ayah yang bagi duit, ibu yang order. Nanti dah selesai siapkan makanan kamu berdua pergi hantar," balas Puan Aminah sebelum menolak pintu kereta. Dah sampai rumah ni, tugas pun sudah bermula! 


**********          


     Haikal menarik nafas dalam. Pelan bangunan muziumnya yang baru saja ditolak oleh bos baru itu dijeling. Umur baru setahun jagung sudah jadi bos di sini! Aku yang agak lama bekerja ini lebih banyak pengalaman daripada dia. Giginya diketap geram. Sehari semalam dia bersengkang mata menyiapkan pelan bangunan muzium itu tetapi telah ditolak mentah-mentah oleh bos yang baru ditugaskan menguruskan syarikat besar itu hari ini. 


    Pada mulanya, lukisan pelan bangunan muzium itu dipuji melambung oleh Ketua Arkitek Syarikat Pembinaan Alam Damai Holdings itu, iaitu Encik Alfian. Entah dari mana datangnya budak mentah itu pun Haikal tidak tahu. Tiba-tiba saja meminta kertas lukisan pelan itu daripada Encik Alfian lalu mengarahkannya untuk membuat semula pelan bangunan muzium itu.


     Sedangkan bagi Haikal sendiri, pelan bangunan muzium itu sudah cukup sempurna. Seorang arkitek berkelulusan dari universiti terkemuka di Jerman sepertinya tidak mungkin akan membuat pelan yang halai-balai saja. Bukanlah dia mahu meninggi diri, tetapi dia tahu dan sedar akan kebolehan dirinya sendiri. Pertama kali Encik Alfian yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut melihat pelan bangunan itu pun dia sudah memuji-muji hasil kerja Haikal, ini pula budak mentah yang baru masuk kerja sehari.


     Dia merengus kasar. Hatinya masih belum puas. Dia bangun dari duduknya lalu menghayunkan langkah ke bilik Pembantu Pengarah Alam Damai Holdings yang terletak di tingkat 5 bangunan itu.


     Tanpa mengetuk pintu bilik terlebih dahulu, Haikal terus masuk dan berdiri betul-betul di hadapan meja bos barunya itu.


     “Kau tak puas hati apa dengan aku? Encik Alfian sendiri yang kata design aku dah cantik.” Haikal memulakan bicara. Sedaya upaya dia cuba mengawal kelantangan suaranya. Bimbang hal lain pula yang bakal terjadi antara mereka berdua.


     “Aku bos kau. Kau wajib patuh setiap arahan aku,” balas lelaki berkaca mata itu sambil tersenyum sinis. Kepalanya masih tidak diangkat. Laju saja tangannya menandatangani dokumen-dokumen penting yang baru  diserahkan oleh ayahnya, Datuk Adi Dharma sebentar tadi. Perlu ke layan orang yang pentingkan diri sendiri macam dia ni? Sekarang aku bos dia, suka hati akulah nak buat apa pun!


     “Firas Daniyal, tak semestinya kau boleh buat sesuka hati kau bila kau dah jadi bos kat sini.”


   Firas segera memanggungkan kepala. Pandangan matanya menikam renungan tajam Haikal.


    “Boss is always right, Khalis Haikal. Always remember that,” jawab Firas. Bongkak.


     “Kau tak payah nak berlagak sangat dengan aku! Kalau setakat pembantu aje aku tak hairanlah!” Haikal tidak dapat lagi menahan api amarahnya. Suaranya bergema di seluruh ruang bilik yang besarnya tiga kali ganda dari bilik kerjanya itu.


     “Kau keluar sekarang. Pergi buat balik pelan tu,” arah Firas. Matanya kembali diarahkan pada dokumen-dokumen di hadapannya. Hari pertama masuk kerja ini kena tunjuk bagus sedikit. Sudahlah ayah pergi mesyuarat di Pulau Pinang hari ini, jadi aku kena tunjuk yang aku boleh uruskan syarikat ini tanpa ayah.


     “Aku tak akan buat balik. Jangan ingat senang-senang aku nak tunduk kat kau.” Haikal menghempaskan pintu bilik itu lalu berjalan ke arah lif dengan hati yang panas. Butang ‘G’ ditekan seraya dia mencari-cari kunci kereta di dalam poket seluarnya. Kalau hati tengah bengang macam ni buat kerja apa pun tak akan menjadi. Baik aku pergi tenangkan diri dulu.


     Jam di pergelangan tangannya dikerling. Sudah jam 4.30 petang. Nak tenangkan diri apa kalau dah waktu macam ni, aku balik ajelah. Biar padan dengan muka Firas si perasan bagus tu.