Tuesday 14 May 2013

Tak Mungkin Bersatu : Bab 11


     





    “Hai, Cik Airis Qaisara,” sapa Haikal dengan senyuman yang melebar pada wajahnya. Seronok sungguh dia apabila dapat bekerja sekali dengan sahabat baiknya itu. Dia duduk menopang dagu pada dinding kubikel Qaisara. Diperhatinya Qaisara yang berbaju kurung bunga kecil-kecil berwarna jingga dan bertanahkan warna kuning. Matanya yang bercelak dan bibirnya yang dioles dengan sedikit pelembab bibir menyempurnakan penampilan gadis itu. Tudung bawal berwarna jingga terang melengkapkan lagi kecantikan yang sedia ada padanya.


     Qaisara angkat muka. Dia menjeling geram. Psiko betul mamat ni. Rimas!


    “Awak tak ada kerja ke?” Qaisara bertanya dengan kasar. Wajahnya sudah menyinga. Kalau staf lain nampak macam mana? Aku ni baru dua hari kerja sini, tahu! Malaslah nak buat onar awal-awal ini.


     Haikal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. ‘Awak’? Sejak bila Sara pandai ber’saya awak’ dengan aku ni? Tak pernah-pernah!


   “Kau tak kenal aku ke?” Soal Haikal dengan muka penuh kehairanan. Matanya dikecilkan seolah-olah terdesak mahukan kepastian.


   “Awak kan Encik Khalis. Lebih kurang macam ketua sayalah sekarang ni,” balas Qaisara sambil jari-jemarinya sibuk menari-nari di atas papan kekunci komputer riba.


     Haikal menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sekali lagi. Dia berdiri tegak sambil memikirkan sesuatu. Rupa-rupanya Qaisara tak kenal siapakah Encik Khalis yang dimaksudkan dalam mesyuarat kemarin. Tapi kan dah tengok rupa, tak kanlah tak kenal lagi?


     “Ada apa-apa lagi tak, Encik Khalis?” Tanya Qaisara tiba-tiba. Jelas riak wajahnya yang meluat dengan kehadiran 'Encik Khalis'. Dia mahu lelaki itu cepat-cepat beredar dari depan kubikelnya. 


    “Err.. Tak ada. Kalau ada apa-apa masalah awak boleh datang ke bilik kerja saya.” Haikal tersenyum lalu dia pun berjalan ke arah bilik kerjanya yang terletak di hujung tingkat empat bangunan itu.


     Qaisara mengeluh lega. Terhenti seketika aktivitinya yang tadi. Agaknya lelaki itu memang ada masalah jiwa, kot? 


**********



    Qaisara mengetuk pintu bilik Pembantu Ketua Pengarah itu beberapa kali sebelum dia terdengar ada suara menyuruhnya masuk dari dalam. Tombol dipulas lalu dia masuk dengan rasa kurang senang. Meluat betul nak menghadap lelaki sombong ini.


     “Duduk.” Sepatah perkataan keluar dari mulut lelaki berkaca mata itu. Matanya masih difokuskan pada skrin komputer riba.


     “Ada apa Encik Firas panggil saya?”


    Mendengarkan ada suara yang menyapa, Firas segera melarikan anak matanya dari skrin komputer riba kepada perempuan yang sedang duduk di hadapannya itu. Matanya terpesona. Kenapa kau nampak cantik sangat hari ini? Sebelum ini kau nampak biasa-biasa saja. Masa sekolah dulu, kau memang comel. Hinggakan nama kau meniti di setiap bibir lelaki. Kemarin memang kita ada berjumpa semasa mesyuarat diadakan, tapi aku tak sempat menikmati keindahan wajah kau pun. Lama matanya terpaku pada raut wajah jelita itu.


     Qaisara sudah tak senang duduk. Ada yang tak kena ke dengan penampilan aku hari ini? Celak aku comot ke? Semalam aku datang sini dengan muka yang 100% semulajadi, bedak pun aku tak pakai. Rupa aku dah ada macam badut ke sekarang ni?


     “Err.. Encik Firas ada kerja yang nak saya buat ke?” Soal Qaisara lagi. Dia tak betah diperhatikan sebegitu. Atau lelaki sombong ni dah mati keras, kot? Ish, menakutkan aje!


     “Lunch dengan siapa sekejap lagi?” Pertanyaan Qaisara menghalau lamunan di benak mindanya. Firas tersentak. Tersentak pun soalan yang entah apa-apa yang dia tertanya.


     “Hah?” Dahi Qaisara sudah kerut seribu. Panggil aku masuk bilik kerja dia semata-mata nak tanya soalan itu aje? Dia ni tersilap orang ke apa?


     “Eh, tak ada apa-apalah! Awak boleh keluar,” arah Firas teragak-agak. Dia termalu sendiri. Ingat nak suruh Qaisara semak senarai barang yang diperlukan untuk projek pembinaan di Kajang. Tapi tertanya benda lain pulak. Buat malu diri sendiri aje!


     Qaisara bangun perlahan-lahan. Pintu bilik itu dituju. Dia masih hairan. Orang-orang kat syarikat ini memang psiko-psiko belaka ke? 




No comments:

Post a Comment